Tarikh 14 Februari sudah sebati dengan sambutan Hari Valentine ataupun Hari Memperingati Kekasih. Setiap tahun seluruh dunia, tidak terkecuali sebahagian masyarakat Islam sendiri, pasti meraikan kedatangan hari ini untuk menzahirkan rasa cinta pada pasangan masing-masing. Ada yang menghadiahkan bunga, coklat, cincin emas atau hadiah-hadiah lain, malah ada yang dengan bangganya melangsungkan majlis perkahwinan atau pertunangan pada tarikh ini. Media massa pula galak mempromosikan sambutan Hari Valentine melalui pelbagai bentuk propaganda.
Perlu diingatkan bahawa menyambut Hari Valentine hukumnya haram bagi semua orang Islam. Dari segi asal-usul peristiwa, Hari Valentine adalah suatu perayaan yang berdasarkan tradisi bangsa Romawi kuno di mana setelah mereka memeluk agama Nasrani, maka sambutan tersebut berubah menjadi 'acara keagamaan' yang dikaitkan dengan kematian St. Valentine. Tokoh yang bernama St. Valentine ini pula adalah seorang paderi Nasrani yang telah dihukum bunuh kerana tindakannya membela cinta sepasang remaja pada zamannya.
Nabi SAW dengan tegas telah melarang kita daripada meniru budaya Yahudi dan Nasrani dalam hadis yang bermaksud, “Nescaya kamu akan turut jejak langkah mereka (Yahudi dan Nasrani ) sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga kamu akan turuti mereka walaupun mereka masuk ke dalam lubang biawak. Lantaran sahabat bertanya: Adakah mereka itu Yahudi dan Nasrani? Baginda menjawab: Siapa lagi kalau bukan mereka.”
Menyambut Hari Valentine jelas bertentangan dengan syariat Islam kerana budaya yang diimport dari Barat ini menghalalkan perhubungan bebas antara lelaki dan perempuan atas dasar suka sama suka. Islam mengharamkan sambutan sedemikian bagi menghalang berlakunya perkara yang lebih buruk. Dengan membatasi perhubungan lelaki dan perempuan, masing-masing dapat memelihara kehormatan diri dan seterusnya memastikan kesejahteraan dalam masyarakat.
Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Dan janganlah kamu menghampiri zina sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan keji dan satu jalan yang jahat.’’ (al-Isra: 32)
Mafhumnya, Allah s.w.t. tidak mengharamkan zina semata-mata malahan apa sahaja yang boleh membawa kepada zina hukumnya juga haram.
Apa yang jelas dalam sambutan Hari Valentine ialah pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan. Justeru bagi menzahirkan rasa cinta, pelbagai aktiviti dilakukan yang secara jelas haram dan bertentangan dengan hukum Islam. Kebiasaannya pasangan kekasih akan mengadakan pertemuan kononnya demi melahirkan perasaan cinta masing-masing. Pada waktu itulah syaitan akan menghasut mereka supaya melakukan perkara-perkara terkutuk seperti zina.
Kesimpulannya, sambutan Hari Valentine sama sekali bertentangan dengan akidah dan syariat Islam. Perayaan ini tidak lain hanyalah tradisi yang diimport dari Barat yang jelas tidak menggambarkan norma-norma budaya masyarakat Islam Melayu. Diingatkan sekali lagi bahawa haram bagi orang Islam meraikan Hari Valentine kerana ia boleh membawa kepada murtad yakni terkeluar daripada pegangan Islam.
Friday, February 12, 2010
Kutbah Jumaat 12/2/2010 - Haram Menyambut Hari Velntine
Posted by Suhaimi at 2:59 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment