Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Tuesday, April 13, 2010

Akhbar didik artis atau artis ajar akhbar?

Oleh Lanh

SEBAGAI bekas petugas Berita Harian, akhbar yang menganjurkan pencarian Bintang Popular, terdetik juga di hati saya untuk mengikuti ‘kerja-kerja’ dilakukan bekas teman sekerja saya.

Sehubungan itu, pada malam Ahad, 4 April, sekalipun begitu letih dan mengantuk selepas mengharungi perjalanan jauh, saya gagahkan juga mata untuk menyaksikan siaran langsung Anugerah Bintang Popular dari Arena of Stars, Genting Highlands, di kaca televisyen. Sesekali terlelap jua, tetapi saya memaksa mata dibuka.

Waduh, Berita Harian menganjurkan pesta bagaikan Academy Awards dari Hollywood atau Bollywood. Namun begitu, terlalu kerap perkataan seperti ‘assalamualaikum’, dan ‘alhamdulillah’ diucapkan pemenang dan pengacara menyedarkan ia bukan siaran langsung dari bumi Amerika atau India.



Anugerah Bintang Popular adalah siaran langsung dari Kota Keriangan yang kedapatan sebuah pusat perjudian terbesar di rantau Asia Tenggara. Majlis dibuat di sebuah negara bergelar Islam contoh; tetapi berdasarkan apa dipersembahkan sukar menyatakan apa yang boleh dicontohi.

Apa yang jelas bintang, terutama sang wanitanya, berkilau-kilauan pada majlis itu. Habib Jewels menaja pemakaian dan perhiasan barangan kemas manakala pereka-pereka tersohor tanah air mencipta balutan pada tubuh sang bidadari. Hasilnya, melaramlah pengacara dan artis dalam pakaian tak cukup kain atau terlebih kain (jenis meleret) dengan kilauan intan berlian termasuk tiara di kepala.

Seorang pengkritik memberitahu penulis, Anugerah Bintang Popular ini menunjukkan semakin kelirunya masyarakat Islam terhadap agama mereka sendiri. Pengucapan kesyukuran ‘alhamdulillah’ oleh artis wanita dalam keadaan mereka berpakaian terdedah sana, terdedah sini, kelihatan amat janggal sekali.

Bagaimana mereka boleh mengungkapkan rasa kesyukuran itu sedangkan mereka tidak bersyukur dengan kurnia Allah (menganugerahkan tubuh badan sihat dan cantik) dengan menutup tubuh badan mereka?

Pengkritik ini berkata kini menjadi amalan biasa karyawan dunia hiburan seperti penerbit memanggil ustaz bagi majlis pelancaran pembikinan filem bagi diadakan kenduri doa selamat sedangkan pengisian filem dan penggambarannya bertentangan dengan hukum-hakam Islam seperti adegan suami isteri atas katil sedangkan pelakonnya tiada hubungan.

“Saya bimbang suatu hari nanti pembikinan filem porno pun akan diadakan majlis doa selamat,” katanya keras.

Majlis Anugerah Bintang Popular juga memperlihatkan betapa pengacara mempersenda-sendakan hukum Islam, mungkin pengacara tidak sedar kerana terlalu ‘syok’. Misalnya, suatu ketika Raja Azura dengan sengaja menarik pakaian bagi mendedahkan lagi tubuh seorang lagi pengacara yang katanya sudah seksi.

Nampaknya suruhan agama yang menyeru kepada umat Islam menutup aurat pun dilawak-lawakkan mereka; tidak gentarkah mereka kepada balasan neraka Allah SWT yang menurut satu riwayat, seksaan neraka paling ringan dilalui oleh Abu Talib iaitu bapa saudara Nabi s.a.w. yang menggelegak otaknya apabila dipakaikan terompah neraka?

Artis dan pengacara wanita memang gemar berpakaian seksi-seksi begitu tetapi sungguh malang sekali pihak penganjur (akhbar) gagal mendidik artis sebaliknya artis yang mendidik akhbar.

Ini berlaku kerana akhbar memberi ruang sebebas-bebasnya kepada artis untuk melaram dengan pakaian sebegitu dan mengeluarkan perkataan jahil sedangkan akhbar yang berintegriti akan mendidik masyarakat untuk memastikan mereka berada di jalan betul, bukannya menambahkan kerosakan dan kejahilan sedia ada.

Penganjur berwibawa menguasai suasana majlis dan bukan membiarkan artis yang boleh diragui ilmu agamanya menguasai keadaan. Apabila membiarkan artis bebas, maka berlakulah adegan songsang seperti seorang penyanyi gelek veteran yang boleh membuka pakaiannya satu persatu (sekalipun dia ada beberapa lapisan pakaian) dan kemudian berjoget berlenggang lengok dengan artis muda yang bukan saja boleh dianggapnya sebagai anak tetapi cucu.

Sewajarnya akhbar mendidik atau menunjuk jalan kepada artis bagaimana untuk terus menjadi artis tanpa membelakangi peraturan agama. Hiburan itu tidak salah, yang tidak betul adalah manusia yang menjayakannya. Renung-renungilah bagaimana seorang penyanyi tersohor dunia, Cat Stevens berjaya ‘mengislamkan’ seni persembahannya setelah menjadi seorang Muslim yang taat bernama Yusuf Islam.

Apa, adakah artis-artis termasuk artis veteran gelek yang terkinja-kinja di pentas hiburan atau artis perempuan yang bagaikan tak cukup kain itu lebih terkenal atau hebat daripada Yusuf Islam? Atau menyamainya? Jawapannya tidak sama sekali, Yusuf Islam tetap berwibawa dalam imej dan pembawaan Islamnya sedangkan ‘kita’ hanya juara kampung yang belum pun menang Anugerah Bintang Popular!

Bagi karyawan akhbar pula, di mana tanggungjawab kalian untuk melahirkan artis yang patuh pada agamanya? Sewajarnya andalah pembimbing artis, bukan mengikut kehendak artis. Jika zaman sebelum merdeka, akhbar menyemarakkan semangat rakyat menuju kemerdekaan, kini pada zaman menunju jahiliah (ada 275,000 anak luar nikah didaftarkan pada 2000-2008!), sewajarnya akhbar membimbing rakyat untuk kembali kepada fitrah, kembali kepada Islam.

Berhubung ‘berkuasanya’ pihak pentadbir, penulis tertarik apa yang berlaku pada konsert Jom Heboh di Kota Bharu pada malam 28 Mac lalu. Lihatlah betapa pentadbir dapat memberitahu penganjur perkara yang boleh dan tidak boleh dibuat pada konsert itu. Pentadbir memberikan syarat dan penganjur tiada pilihan kecuali mematuhinya.

Hasilnya, sekalipun konsert itu dibanjiri lautan manusia seperti di konsert di negeri lain, tetapi penonton kelihatan terkawal dengan wanita sesama wanita, makalala lelaki sesama lelaki dan orang berkeluarga bersama keluarga masing-masing.

Demikian juga artis yang membuat persembahan, kali ini membabitkan artis lelaki saja. Mungkin suatu masa nanti akan diadakan persembahan oleh artis perempuan untuk penonton perempuan saja dengan pakaian sopan, menutup aurat.

Demikianlah, Islam tidak menutup pintu kepada hiburan. Persoalan di sini mengapa akhbar (media massa) tidak membimbing artis ke arah dunia hiburan yang direstui Illahi sebaliknya mereka sama-sama hanyut, menuju kemurkaan-Nya. Kenapa diikuti kehendak artis yang mahu melaram dengan kemaksiatan sedangkan karyawan akhbar (media massa) sering mendabik dada berbangga sebagai penyuluh dan pendidik masyarakat?


Sumber : DD

0 comments: