Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Wednesday, April 7, 2010

Selepas 31 tahun Rossem tidak boleh berkartun lagi di Utusan (Kostabel Jabit)

Oleh ROSSEM

Mala[rossemkartunis.jpg]m itu, hari sudah lewat, kurang lebih jam 11.00 malam, 24 Mac 2010 saat mahu masuk kamar tidur, tiba -tiba nada dering telefon tangan berbunyi, menandakan satu khidmat pesanan ringkas (SMS) telah masuk. Setelah membuka dan membaca paparan yang tetera di skrin, hati sedikit kaget “Saya diarahkan oleh Ketua Pengarang untuk menamatkan kartun En Rossem di Mingguan Malaysia bermula minggu ini. Terima kasih sumbagan anda – Rashid”.

Dalam kekagetan itu, saya masih mampu bersabar bahkan tersenyum. Ingat masa lampau yang manis. Kenangan indah yang kini akan menjadi nostalgia.

Terbayang teman-teman lama di Utusan Melayu (UM) yang sebahagian besarnya sudah bersara. Teman-teman itu antara sosok-sosok yang memberi tempat kepada saya berkarya di surat khabar berbahasa Melayu paling terpengaruh di Malaysia.

Nama-nama seperti Haji Abu Hassan Yusof, Samson Mohd Nor, A. Shukur Lin (Almarhum), Kamaruddin Abu Bakar (Kab), Mas Yusof, adalah sosok yang terkait dengan penglibatan saya dalam bidang kartun di akhbar tersebut selama 31 tahun, sejak 1979 hingga Mac 2010.

Kerana nama-nama itu pernah memegang jawatan sebagai Pengurus Kreatif kepada penerbitan media tersebut, justeru mereka sangat rapat dengan saya, bahkan boleh dikatakan sebagai “guru” yang sedikit sebanyak menunjuk ajar selok belok berkartun dalam akhbar.

Kendati pun sosok-sosok itu dikira orang penting dalam melahirkan sekian banyak kartunis, kerana peranan mereka selain merekabentuk suratkhabar, majalah terbitan UM, juga mencari kartunis-kartunis yang sedia menyumbangkan kartun dalam akhbar, sama ada harian atau mingguan.

Dalam hal ini, misalnya, Haji Abu Hassan Yussuf, pada suatu hari dalam tahun 1979, telah meminta saya menyumbangkan kartun lereng dalam Utusan Malaysia, untuk terbitan setiap Sabtu.

Saya kemudiannya datang berjumpa beliau di studio kreatif UM, Jalan Chow So Lin, berdiskusi panjang lebar seputar karektur apa yang harus saya ketengahkan dan releven ketika itu.

Akhirnya beliau menyarankan agar saya melukis karektur seorang konstabel polis. Menurutnya, karektur itu sangat cocok dengan saya, kerana saya seorang anggota polis. Lagipun gelagat perjalanan hidup seorang polis sebelum ini tidak pernah dikartunkan orang. Saya bersetuju.

Selanjutnya kami berdua berbincang tentang nama karektur, kerana nama itu sangat penting. Popular atau tidak sesebuah lakaran kartun banyak bergantung pada nama karektur tersebut.

Akhirnya kami sepakat menamakan karektur kartun itu “Konstabel Jabit”.

Kisah perjalanan hidup seorang konstabel polis saat menjalani tugas-tugas kepolisan dan bagaimana ia mendepani masyarakat, cabaran serta cara penyelesaian pemasalahan publik.

Karektur tersebut akhirnya dikenali ramai. Diminati bukan saja oleh kanak-kanak bahkan semua lapisan masyarakat. Hari ini bila bertemu mereka yang seusia dengan kartun tersebut pasti tidak lupa nama Konstabel Jabit bersama lucuan yang dipersembahkannya.

Di waktu yang sama dan di kolum yang sama, ketika itu kartunis Rejadhad (Allahyarham) melukis watak tentera dengan judul Prabet Dabus. Pembaca melihat tentera dan polis akhirnya berpadu dalam lakaran kartun. Berjuang di medan yang sama yakni dunia surat khabar.

Selama 31 tahun mengabdikan diri melukis kartun di UM, tidak saja lewat karektur Konstabel Jabit yang dilakarkan buat tatapan pembaca setia akhbar itu. Ada karektur-karektur lain juga disumbangkan, seperti Pak Din Pencen (Utusan Melayu-Jawi), Si Akob (Utusan Pelajar), Mat Prihatin (Mingguan Malaysia).

Selain itu, majalah-majalah terbitan UM seperti Mastika, Qiblat dalan lain-lain juga pernah memuatkan kartun-kartun saya dalam tempoh yang panjang.

Semua itu sudah berakhir. Kini tinggal kenangan. Menjadi nostalgia. Kerana pada tanggal 21 Mac 2010, kartun saya Mat Prihatin sudah dimatikan.

Sebab-sebab kematian tidak diketahui. Walhal sebelumnya tiada tanda-tanda batuk dan terkena apa-apa virus berbahaya. Hari ini sehat, besok mati, itu fenomena biasa yang sering berlaku hari ini.

Saya tidak mahu bertanya sebab-sebab kematiannya, kerana menganggapnya tiada apa-apa manfaat. Kematian sudah berlalu, biarlah ia berlalu, tak perlu mundur ke belakang.

Yang mahu disebutkan ialah, saya punya warna politik yang berbeza. Tapi masih tahu diri dan tetap menganggap bahawa warna warni dalam politik itu seharusnya tidak menjadikan kita berbeza.

Dalam berkarya saya tetap menghormati misi dan visi sesebuah akhbar. Justeru sejak awal berkarya saya sering mengelak hal-hal yang bertentangan dengan inspirasi akhbar tersebut.

Dua minggu sebelum itu, koloum “Minda Dr. Maza” juga dimatikan. Apakah karya saya juga “ditakuti” pihak tertentu sepertimana mereka takutkan tulisan mantan Mufti Perlis yang kontroversi itu. Wallahalam!

http://kartunrossem.blogspot.com


0 comments: