Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Saturday, December 4, 2010

Kuasa Beli Rakyat Turun Mendadak atau Kos Sara Hidup Naik?

BARU-BARU ini, saya berkesempatan melawat seorang rakan yang bertugas di Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang terletak di Kuala Lumpur. Setiap kali lawatan dibuat, kelihatan ramai orang yang keluar masuk di ibu pejabat AKPK tersebut.


Mereka adalah golongan yang meminta nasihat daripada kaunselor-kaunselor bertauliah AKPK mengenai cara-cara untuk menyelesaikan masalah kewangan yang membelenggu diri mereka. Peranan yang dimainkan oleh AKPK cukup besar. Saban tahun, beribu-ribu orang yang memohon nasihat kewangan daripada AKPK.

Sebagai agensi di bawah Bank Negara Malaysia (BNM), bolehlah dikatakan AKPK telah banyak membantu menyelesaikan masalah kewangan rakyat Malaysia. Perkhidmatan yang diberikan pula adalah percuma.

Masalah kewangan tidak mengenal sempadan negara. Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja hatta negara sekalipun. Masalah kewangan jugalah yang merupakan antara punca utama penceraian.

Ini bermakna masalah kewangan perlu ditangani bermula dari rumah lagi. Tetapi malangnya, angka-angka terbaru menunjukkan sebaliknya seperti hutang isi rumah rakyat Malaysia pada tahun 2009 berada pada tahap yang tertinggi di Asia.
Menurut laporan tahunan 2009 BNM, hutang isi rumah rakyat Malaysia berada pada paras 76.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Adakah ini bermakna rakyat Malaysia suka berhutang berbanding rakyat negara Asia yang lain? Berhutang kini cukup mudah kepada sesiapa sahaja. Lebih-lebih lagi dengan menggunakan cara moden untuk berhutang seperti penggunaan kad kredit seolah-olah ia menunjukkan kemewahan dan gaya hidup seseorang.

Mungkinkah ada faktor lain yang menyebabkan rakyat Malaysia terpaksa berhutang seperti kenaikan kos sara hidup yang tinggi pada masa kini sehingga menyebabkan kuasa beli rakyat Malaysia turun mendadak?

Secara jujurnya apa yang kebanyakan kita rasai, kos sara hidup pada masa kini mengalami peningkatan berbanding pada masa yang lalu. Kadang kala kenaikan kos sara hidup ini tidak boleh diterima oleh akal kerana pendapatan rakyat Malaysia masih berada pada tahap yang sama tetapi kos sara hidup meningkat begitu ketara.

Secara logiknya jika ringgit semakin kukuh kuasa beli rakyat Malaysia akan semakin meningkat. Seterusnya akan memperkukuhkan ekonomi isi rumah rakyat Malaysia. Malangnya, perkara ini tidak terjadi. Di manakah silapnya?

Adakah ini bermakna, lebih baik ringgit berada pada tahap yang rendah agar eksport negara akan dapat ditingkatkan seterusnya memperhebatkan lagi perdagangan negara kita?

Inilah strategi yang digunakan oleh kuasa-kuasa besar di dunia seperti Amerika Syarikat (AS) dan China agar mata wang mereka berada pada tahap yang rendah. Perang mata wang di antara mereka menyebabkan China dipersalahkan sedangkan AS juga berminat supaya mata wang mereka berada pada tahap yang rendah.

Tetapi sekali lagi persoalannya, perkara ini tidak berlaku di Malaysia. Ketika kerajaan berusaha untuk mempertingkatkan pendapatan rakyat Malaysia melalui Model Baru Ekonomi (MBE) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP), adalah wajar ia seiring dengan peningkatan kuasa beli yang tinggi. Fokus utama adalah kos sara hidup.
Justeru, jika kerajaan telah menubuhkan makmal-makmal khas berkaitan dengan ekonomi seperti makmal rasionalisasi subsidi, usaha ini seharusnya dipanjangkan untuk menubuhkan satu makmal khas yang lebih utama lagi bagi meningkatkan kuasa beli rakyat pada kos sara hidup yang rendah.

Makmal ini berperanan untuk mengkaji bagaimana untuk mempertingkatkan kuasa beli rakyat selain daripada meningkatkan pendapatan rakyat Malaysia. Di samping itu, makmal ini perlu mencadangkan pelbagai mekanisme untuk memastikan kos sara hidup rakyat pada tahap yang rendah.

Mekanisme-mekanisme ini mestilah realistik dan praktikal, seterusnya dirasai oleh semua pihak terutama majoriti rakyat yang kebanyakannya berpendapatan rendah.
Dengan penubuhan makmal ini, kerisauan rakyat mengenai kos sara hidup yang sering membelenggu rakyat Malaysia dapat dikurangkan, seterusnya nikmat kemakmuran ekonomi dapat dirasai oleh mereka.

Rohami Shafie
Kolej Perniagaan (COB)
Universiti Utara Malaysia.

0 comments: