Sumber KOSMO
Pertikaian pemilikan tanah
BERDIRI di dalam air separas lutut, Men Chhoeuy, 60, menggunakan pencangkuk untuk menyelongkar rumah kayu kecilnya yang terletak di tepi tasik di Phnom Penh, ibu negara Kemboja.
Dia merupakan penduduk terbaru yang terpaksa mengalah dengan sebuah syarikat swasta yang dituduh menyumbat pasir ke dalam rumah-rumah di tasik ekoran projek mengisi pasir di kawasan seluas 130 hektar dekat tasik berkenaan untuk membuat laluan kepada pembinaan bangunan tinggi dan pusat beli-belah.
"Ramai jiran-jiran sudah pun berpindah," kata Men Chhoeuy sambil meneruskan kerja-kerja pembongkaran di utara tasik Boeung Kak, salah satu ruang terbuka luas yang masih tinggal di Phnom Penh yang pernah menjadi penempatan kira-kira 4,000 keluarga.
Pasir yang dipam pihak pemaju telah meningkat beberapa minggu kebelakangan ini dan sejumlah rumah turut dipenuhi pasir, meninggalkan hanya bumbung rumah untuk pemiliknya berlindung dan menyelamatkan barang-barang mereka yang mampu diselamatkan.
"Pesanan yang dihantar kepada penduduk yang masih ada di tasik ini ialah mereka harus menerima ganti rugi yang ditawarkan kepada mereka atau rumah mereka akan ditanam di dalam lumpur," kata Pengarah Eksekutif Bridges Across Borders Cambodia, David Pred.
Kerajaan menyewakan kawasan berkenaan tiga tahun lalu kepada Shukaku Inc., sebuah syarikat pemaju swasta yang dikuasai parti politik pemerintah, sekali gus mengabaikan tuntutan tanah oleh penduduk.
Menurut penduduk dan kumpulan hak asasi, tindakan mengisi tasik tersebut dengan pasir menyebabkan paras air meningkat dan memasuki rumah-rumah dengan lumpur sekali gus mewujudkan keadaan yang tidak selesa dan tidak sihat.
"Shukaku menghalau penduduk secara paksa dengan mengepam pasir dan lumpur ke dalam rumah mereka," kata Pengarah Serantau Pusat Kumpulan Tekanan Antarabangsa Untuk Hak Perumahan dan Pengusiran (COHRE), Rolando Modina.
Diusir secara paksa
Masalah pertikaian tanah merupakan masalah utama di Kemboja.
Komunis Khmer Rough memansuhkan pemilikan tanah semasa pemerintahannya dari tahun 1975 hingga 1979. Bahkan, kebanyakan dokumen perundangan hilang sehinggalah berlakunya perang sivil.
Tahun lalu, kerajaan meluluskan undang-undang baru membenarkan perebutan hartanah peribadi untuk projek pembangunan awam yang mengecewakan para aktivis.
"Perampasan tanah umpama penyakit kanser yang memakan Kemboja," kata Pred.
"Pengusiran secara paksa dipandu oleh spekulasi pelaburan yang rancak di pasaran hartanah Kemboja, ditambah dengan endemik rasuah dan kelemahan sistem undang-undang.
"Penduduk miskin bandar dihalau dari rumah mereka di Phnom Penh yang kini menjadi harta eksklusif orang kaya," katanya.
Ibu negara berkenaan kini dalam proses pembangunan besar-besaran selepas projek-projek tersebut dilengah-lengahkan semasa krisis kewangan.
Di luar bandar, tanah pertanian disita dalam beberapa kejadian dan diberikan kepada pemaju besar seperti syarikat gula dan getah.
Pada tahun 2009 sahaja, sekurang-kurangnya 26 kes penyitaan berlaku menyebabkan kira-kira 27,000 orang di seluruh negara hilang punca pendapatan, berdasarkan laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN) yang dikeluarkan pada September lalu.
"Kaedah di mana tanah diuruskan dan digunakan kerajaan untuk pelbagai tujuan berterusan menjadi masalah utama rakyatnya. Rampasan tanah oleh pihak yang berkuasa dilihat menjadi perkara biasa," katanya.
Mengosongkan rumah
Shukaku menawarkan beberapa pemilik rumah tasik (bukan semuanya) ganti rugi kewangan bernilai AS$1,500 (RM4,701) hingga AS$8,500 (RM26,639) untuk mengosongkan kawasan tersebut, tetapi pengkritik mengatakan wang tersebut tidak mencukupi.
"Saya terpaksa menerima wang ini kerana rumah saya telah dibanjiri pasir," kata Men Chhoeuy sambil memberitahu wang sejumlah AS$8,000 (RM25,072) itu terpaksa dibahagi-bahagikan dengan tiga keluarga lain yang berkongsi rumah dengannya.
"Saya tidak tahu ke mana hendak pergi sekarang. Dengan duit ini kami tidak dapat berbuat apa-apa," tambahnya.
Penduduk telah meninggalkan tasik berkenaan setiap hari tetapi Pred menganggarkan masih terdapat kira-kira 1,500 hingga 2,000 buah keluarga yang masih tinggal, kebanyakan mereka penduduk miskin yang tiada arah tujuan.
Shukaku, yang diberikan tempoh sewaan selama 99 tahun untuk projek pembangunan tidak mahu memberikan sebarang komen.
"Tolong berbincang dengan kerajaan," kata jurucakap syarikat berkenaan, Lao Vann.
"Kami tidak tahu apa-apa...kami dibenarkan oleh kerajaan untuk membangunkan kawasan itu," tambahnya.
Gabenor daerah Daunh Penh, Sok Sambath berkata, pembangunan itu adalah perkara yang baik untuk kawasan berkenaan dan penduduk perlu menerima ganti rugi yang diberikan.
Kebanyakan penduduk yang tinggal di sekitar tasik berkenaan mula menetap di situ sejak tahun 1980-an selepas kejatuhan Khmer Rouge.
Menurut laporan UN, di bawah undang-undang Kemboja, seseorang yang tinggal di satu-satu kawasan selama lima tahun atau lebih mempunyai hak ke atas tanah berkenaan tanpa pertikaian. Bagaimanapun, terdapat masalah untuk melaksanakan undang-undang tersebut.
Pemilik rumah-rumah tasik sejak beberapa bulan kebelakangan ini menganjurkan banyak demonstrasi tetapi tindakan mereka tidak didengari, malah dengan cepat mereka dihalau pihak polis.
Namun, bukan penduduk sahaja yang mengeluh. Baru-baru ini, kawasan timur tasik Boeung Kak yang popular sebagai tumpuan pelancong dan mempunyai banyak rumah tetamu serta bar yang membarisi pesisir tasik turut terjejas.
Tasik itu kini dipenuhi bukit pasir dan telah kehilangan tarikannya. Pelancong tidak lagi berminat untuk datang dan hotel pula ditutup.
"Lima bulan lalu kawasan ini begitu meriah dan berkembang. Kini, ia sudah mati," kata seorang pengusaha rumah tetamu yang telah mengusahakan rumah tetamu Simon's II selama tujuh tahun, Harry Bongers, 59.
"Saya sudah membuat keputusan untuk menutup perniagaan ini dalam masa sebulan," kata lelaki berketurunan Belanda itu.
0 comments:
Post a Comment