Oleh MOHD RASHIDI HASSAN
PENGANALISIS ekonomi berpendapat Belanjawan 2012 yang dibentangkan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak dengan jangkaan pertumbuhan ekonomi akan kekal pada kadar 5 hingga 5.5 peratus tahun ini dan dengan peruntukan RM232.8 bilion untuk tahun hadapan sebagai tidak realistik.
Belanjawan yang dibentang Najib di Parlimen 7 Oktober lepas, merupakan tahun ke-14 negara mengalami defisit berturut-turut.
Malahan, Pakatan Rakyat menjangkakan, selepas membentangkan belanjawan sebenar ini, kerajaan Umno-Barisan Nasional dijangka akan mengemukakan usul belanjawan tambahan, sebagaimana kelaziman sebelum ini.
Rakyat tidak harus lupa. Belanjawan yang disasarkan untuk negara bagi tempoh setahun-setahun sebagaimana biasa, bukannya suatu jangkaan atau unjuran yang tepat.
Kebiasaannya Kerajaan BN akan membentangkan usul belanjawan tambahan, apabila peruntukan yang dibuat pada belanjawan asal, selalunya tidak mencukupi.
Dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu, khususnya akibat krisis ekonomi Amerika Syarikat yang menyebabkan matawang dolarnya tidak stabil, Najib seharusnya mengambil langkah berhati-hati.
Pada waktu ini pasaran saham di Bursa Malaysia dan di kebanyakan pasaran dunia, berlegar dalam keadaan yang agak lembab dan berhati-hati. Harga saham yang didagangkan tidak berada di paras yang stabil, dengan kemungkinan ia akan menjunam lagi.
Pasaran yang tidak stabil ini mencorakkan masa depan ekonomi yang tidak menentu, ditambah dengan penggantungan negara kepada pasaran AS. Justeru kerajaan seharusnya lebih berimbang dalam merencanakan belanjawan.
Najib harus sedar, dalam keadaan sekarang ini, kemungkinan besar pendapatan negara akan terjejas akibat penyusutan dolar dan kekurangan kemasukan pelaburan terus asing serta kurangnya daya saing produk-produk negara di pasaran global.
Kerajaan BN pimpinan Najib seharusnya meneliti terlebih dahulu, pada sumber mana yang harus kerajaan bergantung, selain dari dana Petronas serta tabung dana amanah rakyat yang sering digunakan untuk perbelanjaan serta menampung pasaran.
Sebaliknya beliau cuba berlagak popular dengan mengumumkan pelbagai kenaikan dan bonus, sedangkan sumber kemasukan dana untuk menjana pendapatan negara tidak jelas.
Suatu aspek yang dikesampingkan Najib dan BN adalah persoalan keyakinan pelabur terhadap kestabilan sistem ekonomi dalam negara.
Pelabur sama ada dari dalam dan luar negara, mahukan kerajaan yang stabil. Mereka mahukan negara bersih daripada rasuah, salahurus serta tidak wujud sebarang pembaziran sebelum melabur.
Kelemahan jelas terbukti dalam kerajaan pimpinan Najib apabila teguran dan pandangan rasmi dari Ketua Audit Negara tidak diambil perhatian langsung.
Daripada laporan audit yang dibentangkan di Parlimen sebelum ini, kebanyakan agensi kerajaan dan kerajaan negeri di bawah pimpinan Umno-BN, didapati diurus dengan tidak cermat, wujudnya penyelewengan serta berlaku pembaziran.
Tiada maknanya bagi sesebuah kerajaan yang cuba mengula-gulakan rakyat dengan sedikit kenaikan dan faedah, sedangkan faktor asasi seperti gejala korupsi, kronisme dan nepotisme tidak mampu diatasi.
Lebih jelek lagi, belanjawan yang dibentang Presiden Umno yang juga Pengerusi BN, tidak mendapat sambutan dan sokongan dari kalangan anggota mereka sendiri.
Buktinya, selepas pembentangan Najib, tidak ramai yang bangkit menyokong berdasarkan laporan hambar media talibarut BN.
Anggota BN tidak menyokong kerana mereka sedar, belanjawan Najib tidak realistik.
0 comments:
Post a Comment