Beliau yang juga Mursyidul Am PAS berkata, isu pengisytiharan harta baginya adalah benda kecil berbanding apa yang disebutnya 'pengisytiharan taqwa' kepada Allah SWT.
“Nak isytihar harta itu perkara yang kedua, yang penting sekali isytihar ketaqwaan diri, sejauhmana diri kita taqwa kepada Allah, di sini silapnya golongan sekular.
“Tapi saya tak ada harta, istihar apa yang ada sajalah ada tanah sekeping dua peninggalan orang tua dulu,”ujarnya sambil ketawa kecil.
Beliau berkata demikian ketika ditanya wartawan tentang kesediaannya berbuat demikian jika ianya disyaratkan.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sebelum ini mencadangkan semua anggota pentadbiran persekutuan termasuk anggota kabinet membuat pengisytiharan harta kepada suruhanjaya itu.
Manakala, satu salinan perisytiharan itu pula perlu diserah kepada Perdana Menteri.
Mengulas lanjut, Tuan Guru berkata, perisytiharan harta belum tentu menjamin seseorang itu bebas dari segala rasuah dan salah guna kuasa.
Apa yang penting katanya, pengistiharan taqwa yang merupakan kunci kepada sifat amanah dalam diri manusia.
“Apa akan berlaku sekiranya seorang hakim yang tidak ada rasa taqwa, sudah tentu dia akan terlibat dengan rasuah, begitu juga seorang anggota polis atau keselamatan yang lain tidak ada nilai ketaqwaan, sudah tentu mereka akan terlibat dengan rasuah,”ujarnya.
Begitu juga seorang alim ulama yang tidak bertaqwa, golongan ini akan membuat keputusan yang tidak sama terhadap satu perkara khususnya berkenaan haram atau halal.
Katanya, cadangan pengistiharan harta sudah lama, bagaimanapun ianya masih gagal berikutan hingga kini masih berlaku kegiatan rasuah dan salahlaku lain.
Tegasnya, sekiranya ia wajib menurut undang-undang, beliau juga akan meminta anggota-anggota exco kerajaan negeri berbuat demikian.
Terdahulu, beliau menyempurnakan Penyampaian Watikah Perlantikan Penghulu Negeri Kelantan, di Putik, di sini tengah hari tadi.
0 comments:
Post a Comment