Volvo V60 Plug-in Hybrid merupakan kereta diesel plug-in hybrid pertama di dunia dan model termaju pernah dikeluarkan oleh Volvo – sebuah kereta eletrik, hibrid dan ‘muscle car’ yang digabungkan menjadi satu. Dengan hanya satu sentuhan butang, pemandu boleh memilih salah satu jenis kereta yang mereka mahu pada bila-bila masa. Harga untuk model plug-in hybrid dengan enjin diesel pertama di dunia ini ditetapkan dari £45,000 dan £50,000 di UK. Jualannya akan bermula pada tahun 2012 dengan keluaran terhad 1,000 unit mulai November 2012. Ia akan ditawarkan bersama spesifikasi Pure Limited, yang mana termasuk tahap kemasan tertinggi SE Lux.
Versi produksi V60 Plug-in Hybrid akan dilancarkan dalam hanya satu warna – Electric Silver. Kereta tersebut turut dibezakan oleh rim 17 inci dengan rekaan aero, hujung ekzos bersepadu dan beberapa bahagian badan dengan tampilan berwarna hitam berkilat, seperti jeriji dan spoiler depan aerodinamik. Lencana “Plug-in Hybrid” boleh dilihat di bahagian paling bawah pintu bonet belakang dan versi lebih kecil pada sayap depan berdekatan cermin sisi pandang belakang. Selepas kumpulan pertama 1,000 unit untuk model 2013, pengeluaran V60 Plug-in Hybrid akan meningkat kepada 4,000 ke 6,000 unit untuk model 2014.
Kira-kira 30 peratus daripada jumlah keseluruhan pengeluaran akan memasuki pasaran Sweden dan negara-negara Nordic lain, selebihnya adalah Jerman, Switzerland, Belgium, Perancis, Netherland dan UK yang masing-masing akan berkongsi antara 5 dan 15 peratus bahagian pasaran.
Pemandu boleh memilih tiga jenis mod pemanduan yang diperlukan melalui tiga butang yang sama sekali akan membezakan perwatakan kereta: Pure, Hybrid atau Power. Mod Pure digunakan untuk corak pemanduan dengan kuasa eletrik sepenuhnya. Jika sumber kuasa eletrik dicas dari sumber lain, jarak perjalanannya boleh mencapai sehingga 50 km tanpa sebarang pelepasan gas CO2 dari hujung ekzosnya. Jarak perjalanan menggunakan kuasa eletrik bergantung kepada bentuk muka bumi, iklim dan gaya pemanduan.
Bagi mod Hybrid, ia merupakan penetapan standard apabila kereta dihidupkan. Enjin diesel dan motor eletrik saling beroperasi bersama-sama untuk memastikan keseimbangan pemanduan yang menyenangkan dan mesra alam sekitar. Pelepasan gas CO2 (NEDC, mixed driving cycle for certification) hanya 49g/km dengan jarak pemanduan mampu mencapai sehingga 1000 km jaraknya. Dalam mod Power, teknologi yang ada pada kereta mampu memberikan kuasa paling maksimum yang diperlukan. Enjin diesel dan motor eletrik mempunyai kuasa kuda keseluruhan 215+70 hp dan tork maksimum 440+200Nm. Kepantasan kuasa tork yang dihasilkan oleh motor eletrik mampu memberikan pecutan dari 0 – 100km/j dalam tempoh hanya 6.2 saat.
V60 Plug-in Hybrid boleh dicas semula dari soket kuasa biasa (230V/6A, 10A atau 16A) di rumah atau di tempat meletak kereta. Masa pengisian berbeza-beza mengikut sumber kuasa. Cas penuh akan mengambil masa kira-kira 4.5 jam. Masa lebih pendek 3.5 jam dengan sumber cas 16A, sementara pengecas 6A mengambil masa 7.5 jam.
0 comments:
Post a Comment