Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Monday, September 20, 2010

Menjadi Anak Derhaka Hanya Kerana Renungan

Oleh Hadzlan Hassan (Metro)

KUALA TERENGGANU: 20/9/10, Berang kerana direnung bapa ketika dia memarahi ibunya, seorang lelaki bertindak di luar dugaan dengan menerpa dan menendang bapanya yang berusia 71 tahun menyebabkan warga emas itu patah tangan kiri.

Semuanya bermula ketika adik suspek yang berusia 30-an sedang makan di dapur rumah di Kampung Jeram Hilir, Tepoh dan pada masa sama, abangnya yang berusia 43 tahun datang lalu memarahi ibu mereka dengan meluahkan kata-kata kurang enak didengar kerana tidak puas hati berikutan perselisihan faham antara mereka, Jumaat lalu.

Menurut sumber, pada masa sama bapa mereka yang berbaring di ruang tamu melihat kejadian menyebabkan dia yang bertentang mata dengan bapanya, meluru ke arah mangsa lalu melepaskan satu tendangan menyebabkan tangan kirinya patah.

Tidak cukup dengan itu, lelaki terbabit mengugut semua ahli keluarga yang berada dalam rumah berkenaan dengan pisau Rambo menyebabkan mereka tidak berani berbuat apa-apa.

Selepas suspek meninggalkan rumah adik suspek membuat laporan di balai polis berhampiran.

“Kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 malam dan adik suspek kemudian ke Balai Polis Batu Rakit kira-kira jam 10.30 malam untuk membuat laporan.

“Mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan akibat kecederaan dialaminya,” katanya.

Susulan laporan itu, katanya, polis menahan seorang lelaki terbabit bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.

Kejadian itu berlaku pada hari kelapan Syawal, ketika umat Islam masih lagi saling mengunjung serta memohon maaf sempena Aidilfitri.

Apa yang menghairankan, suspek bukan penagih dadah atau mempunyai rekod penyakit jiwa dan setakat ini polis percaya kejadian berlaku akibat rasa tidak puas hati hanya kerana direnung bapanya ketika lelaki itu memarahi ibunya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Terengganu, Superintendan Mohd Zani Che Din ketika dihubungi berkata, lelaki terbabit ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah.

“Tidak banyak yang dapat saya katakan, tetapi kes berkenaan kini dikendalikan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu dan suspek direman tiga hari bagi membantu siasatan.

“Polis juga masih menyiasat motif sebenar kejadian dan saya difahamkan, suspek bukan penagih dadah atau berada dalam keadaan khayal ketika kejadian,” katanya.

0 comments: