Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Sunday, October 24, 2010

Keistimewaan ikan pemalu - Kerapu

Oleh Kosmo




SEJAK Restoran Lucky di Ipoh, Perak beroperasi hampir tiga dekad lalu, masakan berasaskan ikan kerapu antara sajian yang sering menjadi buah mulut pelanggan.

Selain digoreng cili kering, stim, sup dan tiga rasa, kerapu disajikan istimewa bersama lebih 10 jenis bubur dan mi termasuk mi wantan dan mi udon.

Dua bulan lalu, restoran itu meraih perhatian rakyat Malaysia apabila menyajikan seekor ikan kerapu gergasi yang boleh dinikmati oleh lebih 400 orang.

Ikan kerapu sepanjang 2.5 meter dan seberat 148 kilogram itu dibeli pengusaha restoran itu pada harga RM8,000 daripada seorang nelayan yang berjaya menangkap ikan gergasi itu di Pantai Remis.

Ikan kerapu gergasi itu adalah yang kedua terbesar selepas ikan spesies sama seberat 170 kilogram (kg) yang diperoleh daripada nelayan sama kira-kira tiga tahun lalu.

“Bagi menjamin mutu, kami hanya mendapatkan bekalan makanan laut termasuk ikan kerapu secara segar pada setiap pagi daripada nelayan di Pantai Remis yang terletak kira-kira 120 kilometer dari sini,” kata pengusaha Restoran Lucky, Teoh Kar Hooi, 57.

Kar Hooi memberitahu, masakan kerapu dijual pada harga RM110 sekilogram atau RM11 bagi 100 gram. Ia akan dimasak mengikut permintaan pelanggan.




Ujarnya, berbanding kerapu bersaiz biasa, permintaan terhadap kerapu gergasi bersaiz 100 kg ke atas lebih tinggi.

Ia disebabkan tekstur lapisan antara kulit dan isi yang lebih kenyal dan manis hingga menjadi dambaan sesiapa yang memakannya.

“Namun, ikan kerapu gergasi tidak boleh didapati selalu. Seingat saya sepanjang 30 tahun restoran ini dibuka cuma lapan kali kami menyajikannya.

“Permintaan amat tinggi dan biasanya akan habis dalam jangka masa lima hari sahaja termasuk kerapu seberat 170 kg. Kerapu bersaiz biasa pula biasanya berjaya dijual hampir 8 kg sehari,” kata anak jati Parit Buntar itu.

Spesies

Kar Hooi berkata, kecuali insang, sisik dan isi perut, hampir kesemua bahagian dan organ kerapu gergasi boleh digunakan untuk masakan.

Beliau menerangkan, bahagian ikan kerapu gergasi yang paling berharga dan mendapat permintaan tinggi terutama di kalangan masyarakat Cina ialah tulang belakang. Tulang belakang kerapu gergasi akan dikerat-kerat kecil sebelum direneh dengan pelbagai herba Cina untuk dijadikan sup.

“Cara memakannya, sum-sum yang terdapat pada tulang belakang itu akan dihisap. Selain rasanya manis, orang Cina percaya ia mempunyai khasiat perubatan yang tinggi.

“Oleh itu, tak hairanlah ia sentiasa dicari biarpun harganya boleh mencapai RM200 semangkuk,” kata Kar Hooi.


SEORANG pekerja di Restoran Lucky di Jalan Pasir Puteh, Ipoh, Perak sedang menyiang ikan kerapu gergasi.


Ikan kerapu atau nama saintifiknya Epinephalus sememangnya sejenis ikan laut yang banyak mendiami perairan negara ini.

Di dunia, taburan ikan kerapu di kawasan semula jadi adalah sangat meluas meliputi kawasan berbatu dan terumbu karang Asia Tenggara, Australia, China, pantai timur Afrika dan Kepulauan Pasifik. Dianggarkan terdapat hampir 100 spesies ikan kerapu di seluruh dunia.

“Ikan kerapu yang mempunyai jangka hayat antara 10 hingga 15 tahun memang boleh menjadi begitu besar.

“Saya pernah menyelam di Pulau Redang, Terengganu dan menemui ikan kerapu sebesar manusia dewasa,” kata Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Datuk Ahamad Sabki Mahmood kepada Jurnal.

Selain ikan kerapu gergasi yang memberikan rezeki lumayan buat pengusaha restoran dan santapan mewah buat penggemarnya, ikan kerapu juga menawarkan sumber pendapatan menerusi kegiatan menternaknya.

“Permintaan semasa terhadap kerapu adalah sebanyak 20,000 tan metrik setahun dan terdapat peningkatan sebanyak 20 hingga 30 peratus dari tahun ke tahun. Harga jualan ikan kerapu hidup adalah antara RM45 hingga RM55 sekilogram.

Jutawan

“Justeru, kerajaan amat menggalakkan penglibatan rakyat dalam penternakan ikan kerapu,” ujar Sabki.

Menurut beliau, kini terdapat 3,566 penternak ikan kerapu di negara ini merangkumi orang perseorangan, syarikat dan persatuan.

Tiga spesies ikan kerapu yang popular diternak di negara ini ialah kerapu harimau, kerapu kertang dan kerapu hijau.

Terdapat dua kaedah popular penternakan iaitu sistem sangkar dan sistem kolam.

Bagaimanapun, kata Sabki, penternakan ini masih memerlukan kos pelaburan yang tinggi. Kerja menetaskan telur ikan ini agak rumit dan memerlukan kemahiran.

Tambahan pula, kadar survival ikan itu yang selamat menetas dan membesar sehingga bersaiz 2.5 sentimeter (sm) hanya lima peratus.

Maka, jelas beliau, untuk kemudahan, orang ramai yang berminat menternak ikan kerapu boleh mendapatkan ikan kerapu kecil yang telah menjalani proses penentasan di pusat-pusat penetasan ikan jabatan itu seperti di Pulau Sayak, Kedah, Gelang Patah, Johor dan Tanjung Demong, Terengganu.


JOHARI memberi ikan makan di kawasan kolam penternakan ikan siakap dan kerapu di Laguna Gong Batu, Setiu, Terengganu.


“Individu yang berminat untuk menternak ikan ini dinasihatkan untuk menternaknya ketika saiznya melebihi 12 sm.

“Ikan ini agak sukar untuk diternak jika dibandingkan dengan ikan marin lain seperti siakap kerana ikan kerapu bukan ikan yang aktif.

“Ia ikan pemalu, sensitif dan kalau di lautan ia suka duduk di dasar laut. Kena ada kesabaran dan kemahiran yang tinggi untuk menternaknya,” kata Sabki.

Sememangnya ikan kerapu mampu menjana pendapatan yang besar kepada penternaknya. Ia bahkan mampu membuat penternaknya bergelar jutawan.

“Berdasarkan maklumat prestasi, kos input dan harga pasaran semasa, penternak dapat memperoleh hasil jualan sehingga RM1 juta dengan menggunakan 50 unit sangkar bersaiz 6x3x3 meter.

“Pada masa ini dianggarkan lebih 95 peratus daripada ikan kerapu harimau di Malaysia dieksport secara hidup ke Hong Kong,” tambah Sabki.

Kawasan ternakan yang berpotensi adalah kawasan daratan yang mempunyai bekalan air masin, pesisiran pantai dan juga perairan laut.

Di Laguna Gong Batu yang terletak di daerah Setiu, Terengganu, misalnya, ikan kerapu diternak secara besar-besaran sejak beberapa tahun lalu.

Salah seorang penternak di situ ialah Hasan Chik yang kini berusia 47 tahun. Dia bekerja sebagai nelayan sejak berusia 14 tahun dan memperoleh pendapatan antara RM200 hingga RM300 sebulan.

Nelayan

Hidupnya menjadi lebih sukar apabila tidak boleh turun ke laut ketika musim tengkujuh yang biasanya bermula sekitar November hingga April.

Bagaimanapun, cahaya rezeki keluarga Hasan mula bersinar pada tahun 1996 apabila dia diberikan empat buah sangkar untuk menternak ikan kerapu di Laguna Gong Batu.


KAR HOOI sudah lapan kali memperoleh kerapu seberat lebih 100 kg.


“Sekarang saya mampu meraih pendapatan bersih antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan,” kata pemilik 30 sangkar ikan ini yang bernaung di bawah Persatuan Pengusaha Ikan Dalam Sangkar, Laguna Gong Batu.

Jelasnya, biarpun tidak terlalu mewah, rezeki yang diraihnya di kawasan air payau itu kini sudah jauh berbeza berbanding ketika menjadi nelayan dahulu.

Timbalan Pengerusi persatuan itu, Johari Awang Besar memberitahu laguna itu adalah kawasan yang sangat strategik untuk penternakan ikan payau iaitu kerapu dan siakap.

Persatuan yang ditubuhkan sejak empat tahun lalu bagi membela dan menyelaras para penternak itu kini mempunyai kira-kira 60 ahli yang memiliki sejumlah 1,500 petak sangkar.

Namun, cuma kira-kira 20 peratus sangkar digunakan untuk ternakan kerapu manakala selebihnya siakap.

“Pada masa ini kami mempunyai jadual giliran untuk menjual ternakan supaya bekalan yang kami ada boleh dibeli pemborong pada sepanjang masa,” kata Johari yang turut digelar jutawan kerapu.


0 comments: