Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Sunday, October 24, 2010

Polis Lepaskan Tembakan Selepas Keretanya Dipotong

Oleh Kelab GB

Gara-gara cuba potong memotong ketika memandu kereta, seorang lelaki cedera di punggung selepas dipercayai terkena tembakan yang dilepaskan anggota polis.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi semalam di Batu 2, Jalan Kuala Krai dekat sini, mangsa yang berusia 20-an itu terpaksa dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II akibat kecederaan yang dialaminya dan dibenarkan pulang selepas menerima rawatan kecemasan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi (gambar) berkata, kejadian berlaku ketika mangsa bersama dua rakannya menaiki kereta jenis Perodua Kancil melalui Jalan Kuala Krai.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, kereta yang dinaiki mangsa dipercayai cuba memotong sebuah kereta Perodua Kelisa yang dinaiki dua anggota polis terbabit.

“Pada masa sama berlaku potong memotong dan secara tiba-tiba anggota polis terbabit dikatakan melepaskan beberapa das tembakan ke arah kereta mangsa. Tembakan itu mengena bahagian punggung dan mangsa mengalami luka,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Beliau berkata, pemandu kereta yang dinaiki mangsa kemudian berhenti di tempat kejadian dan anggota polis terbabit kemudian keluar dari kenderaannya lalu memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

“Selepas kejadian anggota polis terbabit kemudian melarikan diri dan mangsa kemudian dibawa ke HRPZ II oleh rakannya sebelum membuat laporan di Balai Polis Kota Bharu.

"Sebaik menerima laporan, polis Kelantan membuat semakan terhadap kereta Perodua Kelisa dan mendapati kenderaan itu milik seorang anggota polis yang berusia 28 tahun," katanya.

Menurutnya, anggota polis terbabit bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan, Pahang dan datang ke Kelantan untuk urusan perbicaraan di mahkamah.

“Polis Kelantan juga sudah menghubungi IPD Pekan dan memaklumkan mengenai kejadian itu,” katanya.

Katanya, pihaknya kini mengesan anggota polis terbabit dan sudah mengarahkan tindakan disiplin dikenakan terhadap anggota berkenaan.

Siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh. Jika sabitkan kesalahan boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun,” katanya. -SH

0 comments: