Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Tuesday, January 18, 2011

Bersih 2.0 Minta SPR Hentikan 'Permainan Silap Mata'

Sumber Kelab GB

Kota Bharu - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) kesal dengan kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang mengatakan badan itu sedang mengkaji sistem undi proksi.

Pengerusi Jawatankuasa Forum Bersih 2.0, Dr Abdul Halim Yusof berkata, sistem yang membolehkan seseorang pemilih diwakili mana-mana individu yang layak pada hari pengundian itu menambahkan ketidaktelusan dan ketidakadilan dalam proses pilihan raya.

Menurutnya, SPR memekakkan telinga dan memejamkan mata terhadap tuntutan yang sememangnya menjadi standard antarabangsa.

“Rakyat menolak undi pos, menuntut penggunaan dakwat kekal bagi mengelak pengundian berganda dan kini kami menolak sistem undi proksi.

“Sudah sampai masanya SPR berhenti bermain silap mata dan memperbodoh rakyat,” katanya pada sidang media sempena Forum Roadshow Bersih 2.0, di sini, semalam.

Forum tersebut akan diadakan pada 21 Januari ini di Balai Islam, Lundang, di sini, dan menampilkan tiga tokoh sebagai ahli panel iaitu Dr Toh Kin Woon, Dr Abdul Aziz Bari dan Datuk Husam Musa.

Bersih dilancarkan pada 10 November lalu, sebelum dilancarkan semula menjadi Bersih 2.0 serta dianggotai aktivis-aktivis organisasi masyarakat sivil (CSO) yang bebas daripada pengaruh politik.

Abdul Halim berkata, pilihan raya sepatutnya menjadi proses demokrasi yang mengiktiraf hak mengundi rakyat untuk memilih wakil mereka.

“Kami sekali lagi ingin menekankan tuntutan terdahulu seperti melakukan pembersihan dan penyemakan semula daftar pemilih bagi memastikan kesalahan dapat dihapuskan.

“Akses media mesti adil kepada semua pihak dalam pilihan raya dengan memberi peluang semua parti menjelaskan dasar dan manifesto masing-masing,” katanya.

Selain itu, katanya, bersih 2.0 turut menuntut pendaftaran automatik untuk semua pengundi yang layak, perubahan umur pengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun, persempadanan kawasan pilihan raya dilakukan secara profesional serta mengubah semula urusan kewangan pilihan raya bagi memastikan ketelusan politik wang. -SH

0 comments: