Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Friday, January 7, 2011

Prinsip Raja Berperlembagaan - Anwar: Sultan perlu dapatkan nasihat MB

Sumber merdekareview

Perbincangan tentang institusi Raja Melayu dalam alaf ke-21 perlu mengambil kira faktor sejarahnya. Malaysia bukan satu-satunya negara yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan - Yang Di-Pertuan Agung sebagai Ketua Negara, sementara kuasa raja tertakluk kepada perlembagaan. Raja yang berkecuali dari politik kepartian, dijadikan lambang tertinggi dalam sesebuah negara.

Di Malaysia, institusi Raja sering diheret ke gelanggang pergelutan politik kepartian. Bukan itu sahaja, pada ketika kuasa hampir dimonopoli sepenuhnya kerajaan UMNO-Barisan Nasional, pembangkang dan masyarakat sivil yang kebuntuan menjadikan istana sebagai pangkalan untuk menyekat kuasa regim BN. Misalnya, perhimpunan dan perarakan untuk menuntut pilihan raya yang adil dan BERSIH pada tahun 2007.

Strategi ini semestinya mengundang risiko. Bukan tugas yang enteng untuk meletakkan garisan pada batas "sistem Raja berperlembagaan", terutamanya dalam konteks masyarakat yang sarat dengan pelbagai akta untuk digunakan terhadap mereka yang berbicara mengenai kuasa institusi Raja. Pengaruh institusi Raja semakin terserlah, antaranya ketika rampasan kuasa kerajaan negeri Perak, sebelum kemelut perlantikan Setiausaha Negeri Selangor, baru-baru ini.

Ketua Pembangkang Parlimen, Anwar Ibrahim berulang kali menegaskan "semangat prinsip Raja Berperlembagaan", dalam wawancara bersama MerdekaReview di ibu pejabat PKR, semalam. Ahli politik yang cuba menampilkan diri sebagai pemimpin negara masa depan ini menghadapi desakan golongan pendukung politik baru yang progresif, di samping perlu berhati-hati dengan sentimen "kemelayuan" yang tidak boleh diperlekehkan.

Antara Rakyat dengan Raja

"Dia harus ditangani dengan hikmah. Mempertahankan hak rakyat dan juga memuliakan institusi raja," jawab Anwar dengan cermat, menjelaskan bagaimana convention perlantikan SUK selama ini menyaksikan hak rakyat diputuskan seperti mana yang diusulkan Menteri Besar, dan kemudian nama itu mohon perkenan Raja.

Beliau menyambung, "Dalam kes ini, usul Menteri Besar tidak berlaku. Maka kita sukar menerima. Di mana ada kuasa rakyat di sini? Apa erti pilihan raya? Apakah ini bermakna kita mengetepikan perkenan Raja? Tak benar. Tetapi bagaimana perlantikan dibuat tanpa usul daripada rakyat? Itu prosedur dia."

Bagaimanapun, upacara angkat sumpah SUK baru, Khusrin Munawi, calon yang tidak direstui kerajaan negeri Selangor telah berlangsung di Istana Bukit Kayangan, sebelum wawancara ini dijalankan. Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim yang menegaskan bahawa "kerajaan negeri tidak mahu terlibat dalam sebarang bentuk majlis atau keraian berkaitan jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri" pada 3 Januari, akhirnya akur, walaupun mendakwa "hadir tidak bermakna rela" kemudiannya.

Anwar menjelaskan bahawa perbincangan dalam PR, bersama Lim Kit Siang (DAP) dan Hadi Awang (PAS) mencapai muafakat - menyerah kepada EXCO kerajaan Selangor untuk menyelesaikan kemelut ini.

Kehadiran halalkan perlantikan

Anwar: Kerana upacara itu bukan upacara angkat sumpah Setiausaha Kerajaan Negeri sahaja. Upacara itu upacara yang melibatkan banyak program lain. Keengganan kerajaan negeri hadir akan menimbulkan tafsiran yang berbeda. Bukan soal Setiausaha Kerajaan Negeri. Soal Setiausaha Kerajaan Negeri kita tegas. Tetapi nampaknya usul angkat sumpah itu dimasukkan sebagai salah satu upacara itu.

MR: Tetapi sebelum ini, MB dengan jelas mengatakan bahawa beliau tidak akan menghadiri upacara itu...

Anwar: Tetapi upacara itu disekalikan dengan beberapa upacara yang lain!

MR: Tetapi, kehadiran ini memberi laluan kepada Khusrin untuk menjadi SUK yang halal.

Anwar: Itu saya tidak... (mahu mendalami) macam mana implikasi dari segi undang-undang, tetapi kalau Setiausaha Kerajaan Negeri yang tidak diterima oleh kerajaan negeri, juga tidak mudah (untuk Khusrin).

PR berganjak langkah?

Bagaimanapun, kesudahan isu perlantikan SUK semalam mungkin mengundang persepsi di kalangan sesetengah pengamat politik, bahawa PR telah berganjak langkah.

"Pendirian kita jelas. Kita tidak setuju dengan cara mengetepikan suara rakyat. Itu prinsip dia. Tetapi kita tidak mahu langkah kita itu memberikan tafsiran berbeda, terutama kerana upacara istana itu tidak hanya angkat sumpah Setiausaha Kerajaan Negeri. Kenyataan MB itu merujuk kepada upacara angkat sumpah. Tetapi upacara angkat sumpah itu disekalikan dengan upacara yang melibatkan institusi Raja yang lain, jadi itu menyukarkan kedudukan Menteri Besar dan kerajaan negeri, dan saya faham bahawa ia menimbulkan juga sedikit kerumitan tambahan kepada kita. Tapi saya yakin kerana kerajaan negeri masih punya suara yang besar," jelas Anwar.

Beliau kemudian menuding jari kepada Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional, "Ini peranan Dato Seri Najib yang cuba nak merampas Selangor setelah setahun, dua tahun ini gagal. Ini helah tambahan. Ini kita tahu. Ini usaha, helah UMNO untuk rampas secara haram. Jadi, oleh yang demikian, kita akan mempertahankan (kerajaan negeri Selangor)."

Apabila keputusan MB semalam dipertikaikan sebagai memberi ruang kepada UMNO-BN untuk menggunakan institusi Raja untuk menekan PR sebaliknya, Anwar berkata, "Itu bukan bagi ruang, itu perlembagaan. Kita nak pilih. Kalau saudara buat andaian begini, makna seolah-olah kita memilih untuk menolak institusi Raja-Raja. Ini perangkap yang dimainkan oleh mereka."

"Ada orang yang bersuara kita harus tegas. Tegas, betul. Tetapi tegas sehingga menyebabkan kita dilihat sebagai menentang institusi Raja juga tidak sihat. Sebab pendirian kita pertahankan institusi ini. Jadi, jangan kita terperangkap. Oleh kerana kita nak keras, keras itu menyebabkan kita terperangkap, kerana suara rakyat sekarang masih mahu pertahankan semangat perlembagaan itu. Tapi, semangat perlembagaan itu tidak bermakna kesediaan kita menerima kenyataan bahawa institusi Raja diheret oleh mana-mana pihak," tekan Anwar.

Tentang kenyataan Suhaimi...

Sama ada perlantikan SUK Selangor ini konspirasi UMNO-BN untuk merampas kuasa, ia terserah kepada masa untuk menjawabnya. Namun, apa yang pasti, ia membuka gelanggang pertarungan politik, dan akhirnya ADUN Sri Muda-PKR, Suhaimi Shafiei menjadi sasaran baru, atas tuduhan "menghina Sultan".

Utusan Malaysia pada 6 Januari 2011, memberi liputan penuh pada muka surat ketujuh, untuk mengecam kenyataan Suhaimi (gambar kanan), di samping menyiarkan tulisan asal blognya. Antara kenyataan Suhaimi berbunyi, "baginda DYMM Sultan Selangor selaku Raja Berperlembagaan hendaklah mendapat nasihat dan bertindak mengikut nasihat MMKN (Majlis Mesyuarat Kerajaan) dalam menjalankan fungsi baginda seperti yang dinyatakan dalam peruntukan fasal 55(1) dan (1A), Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959."

Meskipun tidak bersetuju sepenuhnya kenyataan Suhaimi, tetapi Anwar mempertahankan kenyataan Suhaimi pada bahagian di mana Sultan perlu mendapat nasihat daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, ditafsirkannya sebagai "maksud Raja Berperlembagaan".

Beliau mempersoalkan, sejak bila Utusan Malaysia tidak menyerang PKR/PR? "Cuba baca Utusan masa dia menyokong pinda perlembagaan. Cuba baca Utusan masa dia menyerang Raja, itu jauh lebih parah daripada kenyataan Suhaimi. Jadi, kalau Utusan mahu ambil tindakan kepada Suhaimi, Utusan juga harus diambil tindakan, dan juga semua ucapan Presiden UMNO dulu...patut diambil tindakan."

Cubaan PR menarik sokongan Institusi Raja

Walaupun demikian, sesetengah pengamat politik mungkin menganggap PR juga pernah menunjukkan kecenderungan untuk menarik sokongan institusi Raja, khususnya sekitar rancangan rampasan kuasa pada 16 September 2008. Ia mungkin bertujuan untuk mengimbangi kuasa UMNO-BN, namun ia sering berakhir dengan kesudahan yang memihak kepada UMNO.

"Kita pertahankan prinsip perlembagaan, iaitu kedudukan dan kedaulatan Raja-Raja. Ada juga usaha UMNO untuk mengheret institusi Raja, mendukung mereka dengan menanam rasa cemas atau takut, seolah-olah Pakatan Rakyat, terutama dengan adanya DAP, sebagai tidak menghormati Raja atau akan mengingkari kuasa Raja. Ini sebab kita nak pertahankan (institusi Raja)," Anwar menafikan andaian yang dilontarkan di atas.

"Yang kita pertahankan prinsip itu sahaja. Tidak lebih dari itu. Kita tidak mahu pulihkan kerajaan di mana Raja-Raja berkuasa, kerana itu sudah meninggalkan semangat prinsip perlembagaan dan raja berperlembagaan. Kalau dia katakan Raja yang melantik (dalam isu SUK), mana ada prinsip raja berperlembagaan di situ?"

Wartawan MerdekaReview membangkitkan ucapan dasar Presiden dalam Kongres PKR pada November 2008, yang menyebut kesediaan PKR untuk "mengembalikan kekebalan Raja-Raja".

Anwar bagaimanapun mendakwa bahawa "istilah itu mungkin dipertikai", sebelum menekankan, "Kalau kita pilih untuk mempertahankan institusi Raja berperlembagaan, institusi Raja itu mesti dimuliakan. Kalau tidak institusi itu tidak ada kesan. Tetapi ia tidak bermakna kuasa itu berbalik kepada Raja. Ini tahun 2010, ia tidak masuk akal untuk rakyat dipinggirkan."

Ketika dibangkitkan rancangan 16 September yang diuar-uarkannya itu turut menyebut langkah "mengadap Yang Di-Pertuan Agong", Anwar tetap mempertahankan bahawa perlembagaan menuntut prosedur mendapat perkenan Agong untuk menubuh kerajaan baru.

Beliau tidak melihat bahawa langkah ini bertentangan dengan politik baru yang didukung Pakatan Rakyat, "Politik baru tidak pernah mengatakan tidak mahu perkenan Raja."

Namun apabila wartawan membangkitkan situasi di mana Akta Hasutan 1948, Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) digesa untuk digunakan, setiap kali apabila isu institusi Raja disentuh, Anwar berkata, "Yang itu kita tidak pernah setuju. Itu Utusan punya politik. (Politik) Lama. Kami kata orang nak bagi pandangan, teguran, tak ada salah. Sebab itu kita besarkan kenyataan Profesor Aziz Bari dan sebagainya untuk memberi pandangan yang berbeda."

Beliau menegaskan bahawa PR tidak menghina mana-mana institusi, tetapi memberi hak kepada rakyat untuk menyuarakan pandangan. Secara terus terang beliau berkata, "Saya ikut perlembagaan sahaja. Saya juga tahu bahawa seluruh perjuangan kebangsaan Melayu juga mahu merdeka. Bebaskan diri dari kuasa mutlak Raja. Dari segi sejarahnya itu kita akui, tetapi institusi (Raja) itu kita pertahankan." (Bahagian pertama, bersambung)

*Wawancara ini dijalankan oleh Chan Wei See (Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina), Lim Hong Siang (Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia) dan Ong Vic Kee (Wartawan MerdekaReview, edisi bahasa Cina), di pejabat Anwar Ibrahim pada 6 Januari 2011.


0 comments: