Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Monday, April 30, 2012

Bersih 3.0: kekecohan berpunca dari tindakan Unit Cawangan Khas polis

KUALA LUMPUR - Pas mendakwa bahawa segala provokasi yang disaksikan semasa perhimpunan Bersih 3.0 semalam berpunca dari tindakan Unit Cawangan Khas polis, dan bukan disebabkan pihaknya.

Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, penyokong Bersih 3.0 tetap berada dalam keadaan terkawal walaupun jumlahnya mencecah puluhan ribu.

Malah menurut beliau, rempuhan yang berlaku di Dataran Merdeka jam 3 petang semalam dilakukan oleh individu profesional kerana mereka dapat boleh memotong kawat duri dalam tempoh singkat.

"Saya tegaskan tiada usaha dari pihak Bersih 3.0 yang mahu menceroboh, tidak ada. Saya dan beberapa pemimpin ada di situ, kami yang bertugas mengawal dan menghalang supaya jangan ceroboh Dataran Merdeka.

"Kekecohan ini berlaku kerana kawat duri itu dipotong, oleh itu pihak polis perlu siasat siapa yang memotong dan dakwa individu itu di mahkamah," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Lajnah Guaman Pas Pusat, Asmuni Awi berkata, anggota polis yang bertugas dalam Ops Aman di sekitar Dataran Merdeka bertindak di luar kawalan.

Pemotong kawat duri macam profesional
Menurutnya, pada hari tersebut beliau bertugas sebagai peguam dan disertai oleh 70 peguam lain bagi membantu peserta Bersih 3.0 sekiranya mereka ditahan.

"Walaupun saya memakai baju rasmi peguam saya, rambut saya juga ditarik, ditendang dan dikasari oleh anggota polis. Anak saya yang juga peguam turut dikasari.

"Anggota-anggota polis ini macam 'African wild dog', tidak berakhlak, malah lebih teruk dari polis Israel," katanya.

Katanya, ketika kejadian, beliau dikerumuni 10 anggota polis dan memukulnya.

Dakwanya lagi, ketika ditahan semua 'ground commander' telah hilang kerana tidak mahu bertanggungjawab.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Hatta Ramli pula meminta polis menangkap individu yang dikatakan bertindak mengasari polis di sekitar Sogo.

"Tangkap mereka ini, gambar semuanya ada, jika tidak dapat tangkap maka polis ada banyak kelemahan. Kalau tidak dapat tangkap... apa barang...," katanya.

0 comments: