Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Monday, April 23, 2012

PRU13: Ketidakhadiran pemerhati dan agen calon beri laluan kepada PRU terkotor

Berikutan Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan Pilihan Raya (Pindaan) 2012 diluluskan pada petang semalam di Dewan Rakyat, Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) berpendapat, rakyat Malaysia bakal menyaksikan pilihan raya umum terkotor dalam sejarah Malaysia apabila RUU tersebut dikuatkuasakan sebagai satu akta nanti dan pelaksanaannya terpakai semasa PRU-13.

Memandangkan PRU-13 kian menghampiri, Dewan Rakyat semalam pada hari terakhirnya pula tergesa-gesa meluluskan sebanyak LAPAN rang undang-undang sampai ke saat terakhir majlis dewan ditutup tirainya, antaranya termasuklah RUU Kesalahan Pilihan Raya (Pindaan) 2012 yang mengandungi pindaan tertentu yang penuh dengan pertikaian dan mampu mengubah wajah proses PRU-13.

Pindaan yang paling signifikan dan harus diberi perhatian sepenuhnya adalah berkenaan dengan subseksyen 26A(2) dan (3) di bawah barung hendaklah diadakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya, di mana kehadiran pemerhati di barung adalah tidak lagi dibenarkan. Pindaan yang membatalkan kehadiran pemerhati dalam barung bercanggah dengan prinsip demokrasi yang bersifat partisipasi dan bakal mencorakkan proses pilihan raya yang memihak kepada rejim pemerintah.

Seperti yang turut dinyatakan dalam pindaan sub seksyen yang dinyatakan di atas, alasannya bagi meniadakan peruntukan bagi membenarkan kehadiran pemerhati adalah bagi menangani kesesakan dan kesukaran yang timbul semasa petugas pilihan raya melaksanakan tugas mereka. Alasan ini adalah amat tidak munasabah. Sekiranya kesulitan sedemikian timbul dalam proses mengundi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seharusnya mengkaji semula mekanismenya kerana kesulitan sedemikian sesungguhnya merupakan masalah teknikal yang boleh diatasi melalui penambahbaikan prosedur dan bukannya dengan menolak kehadiran pemerhati yang jelas bercanggah dengan aspirasi rakyat terbanyak apabila konteks tuntutan dan gerakan BERSIH diambil kira.

Di samping itu, pindaan Seksyen 14(1A) yang bertujuan membenarkan mana-mana ejen tempat mengundi (ETM) atau ejen mengira undi (EMU) bagi seseorang calon untuk bertugas di tempat mengundi hanya pada waktu yang ditetapkan SPR atas alasan bagi mengelakkan kesesakan kelihatan tidak adil kepada mana-mana calon, terutamanya calon bebas dan calon parti oposisi. Kehadiran ejen-ejen bertugas tersebut adalah penting dalam menyemak dan mengimbang segala proses mengundi pada hari pengundian bagi memastikan keadilan proses pilihan raya. Tanpa kehadiran ejen-ejen tersebut, SPR yang terletak di bawah jagaan Jabatan Perdana Menteri dibiarkan menguasai proses pengundian.

Seperti yang umum sedia maklum, sistem pilihan raya sedia ada dalam Malaysia sememangnya terbelenggu dengan pelbagai ketidaktelusan dan ketidakadilan. Isu seperti senarai pendaftaran pemilih yang tidak bersih, undi pos, pengundi hantu dan sebagainya telah pun menghalang kelancaran dan keadilan pilihan raya sekian lama ini. Hal ini juga merupakan daya pendorong utama yang menggerakkan perhimpunan BERSIH 3.0 terus mara. Kini, tambahan pula dengan pindaan-pindaan yang diluluskan, ia bakal menjadi pemangkin kepada pilihan raya yang paling bergelumang.

Selain pindaan yang dipertikaikan, pindaan-pindaan yang lain adalah berhubung dengan jarak, di mana kehendak jarak lima puluh meter yang sedia ada dari sempadan mana-mana tempat penamaan, mana-mana pejabat yang dibuka, ditubuhkan atau disenggarakan semasa tempoh berkempen, dan juga mana-mana orang menunggu atau berdiri-diri dari sempadan pusat mengundi semasa hari pengundian dipanjangkan kepada jarak tidak kurang daripada satu ratus meter. SPR turut diberi kuasa untuk menentukan apa-apa jarak lain yang sesuai di bawah subseksyen baru.

Selain itu, subseksyen 11(1)(c) di bawah Hukuman dan ketidakupayaan kerana perbuatan rasuah yang pada asalnya menyatakan mana-mana orang yang "mencetak, menerbitkan, mengedarkan atau menampalkan atau menyebabkan supaya dicetak, diterbitkan, diedarkan atau ditampalkan apa-apa iklan, surat sebaran, pelekat atau poster yang berkenaan dengan mana-mana pilihan raya dan yang tidak mengandungi pada mukanya nama dan alamat pencetak dan penerbitnya"; yang akan diambil tindakan sekiranya disabit kesalahannya telah disingkirkan dalam pindaan yang baru atas alasan sukar dikuat kuasa.

Memandangkan proses pilihan raya masih dipenuhi dengan taktik kotor dan pembohongan yang jelas mencabuli hak rakyat dalam menyertai dan mengundi dalam pilihan raya - khususnya masalah senarai daftar pemilih yang tidak bersih dan penggunaan senarai daftar pemilih berlainan pada hari pengundian, sekiranya pindaan-pindaan yang menafikan kehadiran ETM, EMU atau wakil politik dan juga pemerhati dalam barung mengundi pada hari mengundi dikuatkuasakan, jelas dakwaan bahawa PRU-13 akan menjadi pilihan raya yang terkotor itu bakal menjadi kenyataan yang cukup menyedihkan.

*Kajian Politik untuk Perubahan (
KPRU - Political Studies for Change) merupakan sebuah pusat kajian yang baru dan kritikal. KPRU ditubuhkan pada era pasca 8 Mac dengan tujuan membawa idea perubahan kepada rakyat Malaysia melalui kajian dan sesi dialog.

0 comments: