Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Monday, March 29, 2010

Angkara Buluh Betong

Sejurus tiba di Kampung Sungai Tinggi, Trong, Perak pada jam 6.15 petang semalam, saya mudah menghidu masalah dihadapi penduduk tempatan.

Nelayan dan pemilik kedai makan, Abu bakar Osman, 54 tahun kelihatan tidak sabar ingin berkongsi kisah duka. Menurutnya, lebih 700 nelayan Melayu mencari rezeki di Sungai Jarum Mas, menangkap hasil laut menggunakan bot kayu dan fiberglass kini terhimpit.

“Masalah dia di sini lebih 70 orang Myanmar dok kerja dengan taukeh Cina guna pukat rawa sorong atau ada panggil pukat sodok. Pukat sorong ni dok musnahkan semua, anak ikan, udang dan ketam. Guna buluh panjang 42 kaki lebih, depa sodok abih semua khazanah laut kita,” ujar Bakar dengan nada kesal.



Gambar: Bot Sorong

Saya mendengar khusyuk perjelasan bekas tentera itu.

“Dulu nelayan kawasan ni guna bot pukat hanyut dan bila dah tak pakai sepatutnya Jabatan Perikanan lupuskan, kena musnahlah. Tapi taukeh ‘tukar kulit’ jadi bot sorong. Bot ni haram, tak boleh guna,” celah rakannya, Hasni Salleh, 42 tahun.


Gambar: Hasni (kiri) dan Abu Bakar (kanan)

Jam 6.30 petang semalam saya dan krew 999 menyusuri Sungai Jarum Mas bersama Bakar, Hasni dan beberpa nelayan tempatan. Sepanjang perjalanan menuju ke laut kami saksikan lebih 50 bot sorong di tepi sungai.

“Itu kongsi nelayan Indonesia, hak tu pulak Myanmar. Hari ni saya dapat maklumat kata banyak bot keluar ke laut. Kurang-kurang pun 50 ada. 80 persen nelayan ni semua orang asing, Myanmar, Thailand, nanti kita tengok sata lagi. Depa ni, bukan kata laut, sungai pun depa sodok, bukan depa kisah,” terang Bakar.

Beberapa kali bot sorong dipandu laju nelayan Myanmar memintas sampan kecil kami naiki. Terasa riak air menggoncangkan sampan fiberglass berharga lebih RM20,000 kami naiki.

“Cuba you bayangkan, kawasan paya bakau ni, tempat pembiakan ikan dan hidupan laut lain. Kalau anak ikan, udang, depa sodok, musnah, apa lagi kami nak tinggalkan untuk anak cucu kami nanti di kemudian hari?,” soal Hasni.


Gambar: Puluhan bot sorong

Saya terdiam dan tidak mampu menjawab soalan itu.

Hampir 30 minit menyusuri sungai di kiri kanan ditumbuhi pokok hutan paya bakau, jam 7.45 malam kami tiba di Pulau Pasir Hitam. Penerbit 999, Shahnun Hanif, menaiki bot berasingan dan tiba lebih awal menghampiri saya di jeti simen.

“Saya dah kira, at least ada 15 bot tengah ‘tolak’ pukat sekarang ni,” ujar penerbit berusia 43 tahun terbabit.

Kenyataan Shahnun sekaligus menyakinkan saya, kehadiran kami belum dapat dikesan tonto dan 4 taukeh bot terkenal di kawasan sama.

Dalam gelap malam kami kemudian menghampiri bot sorong milik nelayan tempatan, turun ke laut bersama anak remaja, 17 tahun. Alangkah terkejut saya melihat ‘kehebatan’ bot menggunakan pukat haram bernilai RM15,000 itu. Anak ikan, udang dan obor-obor, semua terperangkap dan sebahagian dibiarkan mati di pelantar bot. Walhal mereka cuma inginkan udang kertas berekor merah berharga RM60 sekilogram di pasaran tempatan.

“Udang kertas taukeh hantar ke Singapura, kualiti dia tinggi sebab sungai dan laut di sini tak ada pencemaran,” jelas Hasni.


Gambar: Khazah laut

Jam 8.30 malam, anggota risik Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia, APMM Wilayah Utara bertugas menahan bot sorong dengan 2 awak-awak Thailand berusia 20 dan 25 tahun biarpun wajah mereka kelihatan jauh lebih tua.

“Berapa gaji sehari?,” soal saya.

“Tak tentu, tengoklah berapa banyak dapat tangkap (baca: udang dan ikan). Ada RM40, ada RM50,” balasnya.

Mereka pendatang haram, tidak kisah berhubung jumlah pendapatan, asalkan mereka dapat terus hidup sudah lebih daripada mencukupi.

“Kalau di negara kamu (baca: Thailand), kamu sanggup ke buat kerja salah macam ini?,” soal anggota APMM.

Kedua mereka menggelengkan kepala.

Setengah jam kemudian bot kedua ditahan selepas berlakunya adengan kejar-mengejar. 3 warga Myanmar dicekup petugas APMM.

“Saya datang kerja restoran di Penang tapi taukeh bilang orang sudah cukup orang, tak ada kerja. Kawan cakap mari sini. Sekarang sudah satu tahun lebih kerja sini,” kata lelaki berbaju putih sambil menghisap rokok.

Di belakang bajunya bertulis ‘Barisan Nasional’.

“Setahun kerja sini, awak pernah kena tangkap?,” soalan susulan saya kemukakan.

“Tak. Saya punya kawan 10 orang dari Myanmar, kerja bawah satu taukeh pun tak ada pasport,” ujar nelayan berusia 35 tahun itu, ringkas.


Gambar: Nelayan Myanmar pemusnah khazanah laut

Barangkali Jabatan Imigresen Perak mamai, polis di balai berhampiran pula terlena manakala wakil rakyat diulit mimpi indah. Justeru, mereka semua langsung tidak mengetahui kehadiran pendatang haram di kawasan itu.

Untuk rekod, purata nilai hasil tangkapan harian mereka, RM1,500.


Gambar: Rumah nelayan asing

Bagaimana pula dengan Jabatan Perikanan? Tidakkah mereka pernah terlihat puluhan bot sorong berulang-alik dengan 2 batang buluh betong dan beting besar dan panjang lebih 50 kaki terpacak keluar dari bot? Dimuatkan beberapa gambar sebagai rujukan kakitangan jabatan terbabit.

“Buluh ni, kalau nelayan beli daripada tuan tanah, depa bayar di antara RM5 dan RM10 sebatang, pi tebang sendiri. Kalau ambil di tanah kerajaan depa kena bayar cukai 25 setiap satu kepada Jabatan Hutan,” ujar Bakar.


Gambar: Bot dan buluh betong

“Murahnya,” celah saya.

“Tapi kita kena ingat, nak tebang dan angkat buluh, bukan senang Mazidul. Jadi di sini ada taukeh buluh, jual RM150 sebatang kepada nelayan,” jelasnya.

Saya dimaklumkan bekalan buluh terbabit antaranya didapati dari Tapah, Grik dan Cameron Highland, Perak.

“Saya tengok, nak banteras bot sorong tak susah, stop kan bekalan buluh betong, stoplah semua, betul tak?,” soal Hasni.

Betul! Saya amat setuju. Namun mungkin Jabatan Perhutanan tidak sedar berhubung hakikat, 2 batang buluh dengan cukai 50 sen mampu melacurkan sistem ekologi dan khazanah laut berharga secara berterusan khususnya di Sungai Tinggi.

Diharapkan paparan 999 kelak akan membuka mata sekaligus menyedarkan pelbagai pihak berkuasa agar segera bertindak. Operasi bot sorong harus diberhentikan dan pendatang haram harus diberkas. Tindakan itu, InsyaAllah akan mengukirkan senyuman di wajah ratusan nelayan Melayu.

Melayu selama ini melihat hak mereka dicuri di hadapan mata.




Sumber : Mazidulakmal Blog

0 comments: