LONDON - Chelsea seolah-olah telah memiliki tahap keyakinan tinggi menjelang pertembungan menentang Manchester United pada saingan Liga Perdana England di Old Trafford Sabtu ini.
Malam kelmarin, Chelsea begitu garang apabila membelasah Aston Villa 7-1 sementara United pula mudah menundukkan Bolton 4-0 awal pagi semalam.
Bagi penolong pengurus Chelsea, Ray Wilkins, dia yakin bahawa skuad The Blues mampu untuk mengekalkan prestasi cemerlang mereka itu apabila turun berdepan dengan United nanti.
|
|
"Kami akan bertandang ke Old Trafford dengan keyakinan tinggi kerana kami kini tampil dengan aksi terbaik merangkumi aspek bertahan dan menyerang.
"Kami kini kembali dilihat sebagai sebuah pasukan yang baik dan kem pasukan juga dalam suasana yang cukup gembira.
"Kami kini memiliki kelebihan jaringan tetapi saya masih berasakan banyak lagi rintangan yang perlu dihadapi pada baki perlawanan selepas ini," katanya.
Jelas pembantu kepada Carlo Ancelotti itu, pada aksi malam kelmarin, barisan Chelsea berjaya menampilkan aksi kelas pertama selain menjaringkan gol-gol yang cukup menarik dan hebat.
"Kemenangan ini cukup penting tetapi jelas ia sesuatu yang menggembirakan apabila kami dapat menjaringkan banyak gol," jelas Wilkins.
Pada perlawanan tersebut, selain empat jaringan Frank Lampard (gambar) yang dua daripadanya menerusi sepakan penalti, baki tiga lagi gol Chelsea dijaringkan Florent Malouda (2) dan Salomon Kalou (1) manakala gol tunggal Villa dijaringkan John Carew.
Sementara itu, pengurus Villa, Martin O'Neill menganggap kekalahan teruk tersebut merupakan hari yang paling buruk dalam kariernya. - Agensi
Sumber : Kosmo
0 comments:
Post a Comment