Assalamualaikum warahmatullah,
Islam menuntut umatnya supaya bekerja dan berusaha untuk bebas daripada belenggu kemiskinan. Peringatan itu maha penting kerana kemiskinan sebenarnya boleh menggelincirkan iman seseorang.
Ini kerana bagi seseorang yang lemah imannya akan sanggup menggadaikan akidahnya dengan melakukan pekerjaan yang terlarang serta menuturkan kata-kata yang menolak kebeswaran Allah seperti menafikan keadilan Allah dan sebagainya.
Manusia digalakkan mencari kerja yang halal, yang sekaligus akan menjadi ibadat selagi dilakukan dengan niat yang baik dan tidak melanggar hukum-Nya. Rezeki yang berkat adalah rezeki yang dicari dengan titik peluh sendiri, bukan dengan cara menunggu pemberian orang lain seperti meminta sedekah, derma dan sebagainya. Apatah lagi jika tubuh badan masih kuat dan sihat, perbuatan meminta-minta sebegitu amat dilarang keras oileh Islam kerana ia merupakan perbuatan yang memalukan dan menghina Islam itu sendiri.
Malah Rasulullah SAW sendiri memberikan peringatan mengenai perbuatan ini melalui sabdanya, “Seseorang yang terbiasa dengan meminta-minta, dia akan datang pada hari kiamat tanpa secebis daging pun di wajahnya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Mensyukuri rezeki menambahkan berkat
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, “Makanan untuk seorang mencukupi untuk dua orang dan makanan untuk dua orang mencukupi untuk empat orang dan makanan untuk empat orang mencukupi untuk lapan orang.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Setiap Muslim hendaklah mempunyai sifat qanaah iaitu redha dan menerima apa yang ada tanpa banyak menuntut perkara yang bukan keperluannya. Lawan bagi sifat qanaah ialah tamak yang menjadikan seseorang itu sentiasa cemburu dan dengki dengan rezeki yang diperolehi oleh orang lain. Salah satu cara untuk menanamkan sifat qanaah kepada diri dan keluarga ialah dengan sentiasa mengucapkan ‘alhamdulillah’ di atas setiap perbuatan atau perkara baik yang diterima.
Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya, “Tiada seorangpun yang berdoa kepada Allah dengan suatu doa, kecuali dikabulkan-Nya dan dia memperolehi salah satu daripada tiga keadaan, iaitu dipercepatkan penerimaan doanya di dunia, disimpan (ditunda) untuknya sampai di akhirat atau diganti dengan mencegahnya daripada musibah (bencana) yang serupa.” (Hadis riwayat at-Tabrani)
Rezeki adalah ketentuan Allah SWT. Untuk menambah keberkatannya hendaklah membiasakan diri dengan sifat pemurah dan tidak bakhil untuk bersedekah kepada orang lain kerana hal ini akan memberikan ketenangan kepada diri malah akan lebih disayangi oleh masyarakat kerana sesungguhnya, harta yang kita miliki terdapat hak-hak orang lain di dalamnya yang wajib kita tunaikan. Kekayaan yang sejati adalah kekayaan iman yang tercermin dari kesederhanaan hidupnya dan kesederhanaan itu tercermin dari sifatnya yang qanaah.
Dari Abu Hurairah r.a. berkata bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : Allah telah berfirman, “telah berfirman Allah kepada malaikat pembahagi (pengedar) rezeki kepada bani Adam: mana satu hamba-Ku yang kamu temui menujukan harapannya kepada Aku semata, maka jaminkanlah rezekinya langit dan bumi. Dan mana satu hamba-Ku yang kamu temui sedang mencari rezekinya, sesungguhnya dia sedang menuntut keadilan, maka lorongkanlah jalan-jalannya tetapi jika dia menuntut selain dari itu, maka biarkanlah antara mereka dengan apa yang mereka tuntut itu, kelak mereka tidak akan memperolehi lebih daripada apa yang telah Aku tentukan untuk mereka itu.” (Hadis riwayat Abu Naim)
Bila Allah Taala cepat memakbulkan doamu, maka Dia menyayangimu, bila Dia lambat memakbulkan doamu, maka Dia ingin mengujimu, bila Dia tidak memakbulkan doamu, maka Dia merancang sesuatu yang lebih baik untukmu.
Oleh itu, sentiasalah bersangka baik pada Allah dalam apa jua keadaanpun, kerana kasih sayang Allah itu mendahului Kemurkaan-Nya....
Renung-renungkan!
Saturday, March 20, 2010
Mencari Keberkatan Rezeki.
Posted by Suhaimi at 12:06 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment