Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Thursday, March 22, 2012

Kebersihan Masjid Singapura Setaraf Dengan Hotel Di Malaysia

Sumber busuk.org

Pengurusan bandar: M'sia boleh contohi S'pura


Tidak sampai lapan tahun sahaja lagi akan menjelanglah 2020. Mengikut perancangannya, bermula pada detik tersebut, Malaysia bakal memasuki satu lagi fasa baru iaitu menjadi sebuah negara maju. Akhbar Utusan Malaysia telah menyiarkan laporan khas tiga bahagian mengenai pengurusan bandar-bandar di negara itu dan termasuk tinjauan mereka mengenai sistem pengurusan bandar di Singapura. Kami menyiarkan sedutan laporan khas itu.

Sedutan laporan (bahagian pertama) 27 Februari:

MUNGKIN benar apabila ada pihak mendakwa pengurusan bandar di Singapura dan Malaysia yang hanya dipisahkan oleh Tambak Johor bagaikan 'langit dengan bumi'.

Singapura adalah sebuah negara maju, manakala Malaysia sedang menuju ke tahap itu. Namun, ia bukan alasan untuk kita mengambil ringan terhadap aspek kemudahan yang disediakan kepada rakyat.

Sebagai pembayar cukai, semestinya rakyat mahu perkhidmatan yang diberi adalah 'sama nilainya' dengan wang yang dikeluarkan. Malangnya, perkara begini seolah-olah sukar dicapai. Malah, hari demi hari, keadaan yang berlaku dikatakan bertambah teruk.

Jalan raya semakin banyak rosak. Walaupun ditampal beberapa kali, masalah serupa tetap berulang.

Dalam masa sama, isu sampah, tandas kotor, kereta diletakkan sesuka hati, pengangkutan awam, aktiviti ah long (tailong), bangunan usang dan sebagainya terus menjadi bualan.

Jika mahu mencari puncanya, pelbagai kepincangan boleh ditemui. Namun, tidak guna menuding jari kerana dalam hal ini semua pihak sebenarnya bertanggungjawab.

Secara perbandingan, jika Singapura mampu mengurus bandar rayanya dengan baik sekali, mengapa bandar-bandar di Malaysia tidak?

Hakikatnya, masalah jalan raya yang teruk terutama di Kuala Lumpur telah banyak kali dilaporkan.

Lebih membimbangkan, tinjauan di beberapa kawasan termasuk Johor Bahru, Petaling Jaya, Kajang, Ampang, Cheras, Shah Alam dan Klang baru-baru ini mendapati kepincangan yang berlaku kian 'membahayakan' bandar-bandar itu.

Sikap rakyat Singapura: Sementara itu, tinjauan dilakukan di Singapura pula mendapati, rakyatnya patuh kepada setiap undang- undang yang diperkenalkan.

Walaupun tidak dinafikan ruang untuk melakukan rasuah tetap ada, namun tiada siapa berani berkompromi dalam hal ini. Undang-undang negaranya sangat tegas. Penguat kuasa menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab. Rakyatnya berdisiplin.

Hasilnya, lahirlah sebuah negara maju yang bersih, teratur dan indah di pandangan mata.

Jika penguat kuasa di Malaysia boleh melakukan seperti penguat kuasa di Singapura, tidak mustahil bandar-bandar kita juga akan lebih indah, bersih dan ceria. Jika perbandingan dari aspek kemudahan yang terdapat di Malaysia diambil kira, kita lebih bernasib baik dibandingkan banyak negara lain.

Malangnya kelebihan yang ada tidak digunakan sebaiknya. Lantas ia turut mewujudkan fenomena atau pentafsiran 'kemudahan kelas pertama, mentaliti kelas ketiga'.

Sedarlah kita semua bahawa 2020 akan tiba tidak lama lagi.

Sedutan laporan (bahagian kedua) 28 Februari:

Bersih, sentiasa mematuhi undang-undang dan bersistematik. Itu yang dapat disimpulkan selama dua hari di Singapura.

Hari pertama ke Kota Singa, perjalanan kami menggunakan bas awam bermula dari Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru.

Perjalanan lancar sehingga ke Woodlands sebelum kami perlu turun untuk melalui proses imigresen dan menaiki semula bas sama menuju ke stesen MRT Kranji.

MRT: Maka bermulalah 'pengenalan' kami dengan Singapura, negara kecil tetapi menjadi contoh kepada banyak negara besar lain.

Menariknya, pengguna hanya perlu sekali membeli tiket untuk ke destinasi pilihan, walaupun terpaksa menunggu tren beberapa kali di stesen tertentu. Setiap stesen ada maklumat perjalanan dengan jelas termasuk tempoh diambil.

Sebaik saja menaiki tren, terpampang arahan melarang penumpang makan dan minum. Pesalah akan didenda.

Kemudahan di dalam tren juga mesra orang kurang upaya. Terdapat isyarat berlampu dan skrin elektronik di setiap perhentian dilalui. Pemberitahuan oleh pemandu dinyatakan dengan jelas dan berulang kali. Sistem kamera litar tertutup (CCTV) pula sentiasa memantau pergerakan setiap penumpang.

Kebersihan: Bangunan perniagaan dan kediaman juga kelihatan sentiasa 'baru' dengan taman menghijau untuk aktiviti riadah. Pun masih ada penduduk flat yang menjemur pakaian di tingkap, namun jumlahnya sedikit.

Suasana bersih dan teratur itu memang menarik perhatian pendatang kali pertama ke Singapura.

Kami kemudian berjalan kaki ke Geylang Serai untuk meninjau lebih dekat tahap kebersihannya. Setiap parit atau longkang tidak terdapat cebisan sampah.

Bas awam: Seterusnya kami gunakan bas awam. Seperti di Eropah, sistem pengangkutan awam di negara ini sangat efisien kerana MRT dan bas akan tiba hampir tepat mengikut waktu yang ditetapkan.
Suasana dalam bas amat bersih. Tiada sampah termasuk tiket bas dibuang sembarangan kerana dipantau CCTV selain peringatan kepada penumpang agar mengutamakan kebersihan.

Jalan raya: Hari kedua, kami memasuki Singapura menggunakan kereta. Perjalanan dari Woodlands ke Orchard Road kemudian menuju pula ke Arab Street dan sekitarnya berjalan lancar.
Di kebanyakan simpang, kelihatan 'polis trafik' atau pihak berkuasa sentiasa memantau tingkah laku pengguna jalan raya. Keadaan jalan raya begitu baik. Tiada laluan rosak atau berlubang kecuali kerosakan itu diperbaiki sempurna.

Sistem tol digunakan juga menarik. Tiada pondok tol kecuali hanya palang khas yang dibina dan setiap kenderaan melalui bawah palang khas itu dikenakan bayaran tol secara automatik yang bayarannya dibuat melalui 'autopas' (kad tunai). Penggunaan sistem tol melalui kaedah ini berjaya mengurangkan kesesakan.

Pengguna jalan raya bukan saja sentiasa mematuhi peraturan jalan raya bahkan sistem meletak kenderaan. Jika di Malaysia, kesesakan disumbangkan oleh tindakan 'double parking', di sini suasananya cukup jarang berlaku.

Sepanjang laluan tiada longgokan sampah seperti yang sering dilihat di bandar-bandar di Malaysia.

Benar, berada di Singapura membuatkan seseorang itu berasa setiap gerak-gerinya sentiasa diperhatikan. Namun, kejayaan pihak berkuasa menguruskan bandar, membentuk disiplin dan mengekalkan keindahan negara wajar dipuji.

Sedutan laporan (bahagian ketiga) 29 Februari:

Tandas awam dan masjid: Tandas awam antara tempat tidak digemari di Malaysia.
Berada berdekatan tempat itu sahaja menyebabkan kita perlu menutup hidung, apatah lagi jika terpaksa menggunakannya, dan ini bukan sahaja membabitkan tandas awam, tetapi juga tandas berbayar.

Peluang berada di Singapura baru-baru ini menjawab persoalan mengapa rakyatnya amat mementingkan kebersihan.

Menurut Pegawai Dakwah merangkap Imam Masjid Sultan Singapura, Encik Muhammad Khairun Nizam Ayob, kebersihan perlu dijadikan unsur terpenting dalam kehidupan kerana ia melambangkan tamadun sesebuah bangsa.

Tinjauan di beberapa masjid di negara itu jelas membuktikan kenyataannya. Bahkan, tahap kebersihannya setaraf hotel di Malaysia.

Sikap pekerja: Jika di Malaysia, isu sampah dan faktor kebersihan terus menjadi perdebatan, di negara ini pula ia telah lama diatasi. Malah setiap penduduk Singapura menyedari tentang tanggungjawab masing-masing.

Seorang pekerja kontrak pembersihan, Encik Ibrahim Abdul Hamid, 54 tahun, berkata beliau tidak berani mencuri tulang ketika bekerja kerana pihak berkuasa Singapura sentiasa memantau kerja-kerja yang dilakukan.

'Saya bekerja dari 6 pagi hingga 5 petang. Berehat pada masa yang ditetapkan sahaja. Di sini, tak boleh curi tulang kerana pegawai NEA (Agensi Sekitaran Kebangsaan) sentiasa meronda.

'Kalau mereka nampak tak buat kerja, ada laporan dibuat,' katanya sambil terus menyapu sampah.



0 comments: