Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Monday, March 5, 2012

Peneroka Buat Laporan Polis Terhadap FELDA Ekoran Pekeliling Paksa Peneroka Serah Dokumen

Temerloh - Lapan peneroka sekitar kawasan Jengka membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah (IPD) di sini semalam berikutan tindakan pengurusan Felda menghantar pekeliling meminta peneroka-peneroka menyerahkan dokumen penting berikutan langkah penyenaraian di Bursa Malaysia.

Laporan tersebut menamakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad dan pengurus-pengurus Felda yang mengeluarkan pekeliling berkenaan untuk disiasat.

Antara lain pekeliling tersebut meminta peneroka menyerahkan salinan kad pengenalan berwarna, geran ladang dan rumah, maklumat pentadbir tanah, maklumat anak, status bank, salinan akaun Maybank dan nombor keahlian Koperasi Permodalan Felda (KPF).Serentak dengan kekeliruan dihadapi peneroka berikutan pekeliling yang mula diedarkan sejak dua minggu lalu itu, mereka mendesak pihak polis menyiasat tujuan dokumen tersebut diperlukan.

Mereka juga mendesak polis menyiasat sejauh mana kebenaran pekeliling berkenaan kononnya peneroka dijanjikan dengan durian runtuh berikutan penyenaraian saham sedangkan mesyuarat agung luar biasa KPF telah dibatalkan. Polis juga diminta menyiasat kebimbangan dan kemungkinan geran hak milik peneroka akan dicagar untuk tujuan tertentu di sebalik penubuhan Syarikat Tujuan Khas (SPV).

Jurucakap warga Felda yang membuat laporan polis berkenaan, Aris Fezul Ismail berkata, mereka amat dukacita disogokkan dengan gambaran akan mendapat durian runtuh dalam bentuk saham dan wang tunai melalui pekeliling berkenaan.

“Peneroka terpedaya dengan menuruti semua kehendak pengurusan Felda tanpa memikirkan risiko apabila dokumen yang sangat penting seperti geran hak milik diberikan.

“Jadi terdapat sebahagian warga Felda yang keliru dengan pekeliling tersebut, adakah pengurusan Felda hanya menjadi alat kepada agenda pemimpin tertentu yang menegaskan penyenaraian FGVH akan tetap diteruskan,” katanya.

Aris berkata, sehingga hari ini tidak ada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pegawai tertinggi Felda, justeru polis diminta menyiasat sejauh mana kebenaran pekeliling tersebut bagi mengelakkan peneroka terpedaya dengan tawaran durian runtuh.

Sementara itu kira-kira 200 peneroka hadir memberi sokongan.

Turut hadir Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman, peguam Harris Abdullah, Ketua Pemuda Pas Pahang Shahril Azman Abdul Halim serta ketua-ketua peneroka.

Dalam pada itu Mazlan menyokong tindakan warga Felda membuat laporan polis supaya siasatan dibuat kerana semua dokumen penting yang diminta boleh dimanipulasi untuk tujuan tertentu.

“Saya juga mendesak pekeliling yang amat mengeliru dan membimbangkan peneroka ini ditarik balik dengan segera oleh Felda atau laporan polis akan dibuat seluruh negara,” tegasnya. -SH

0 comments: