Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Thursday, March 1, 2012

Peningkatan Kutipan LHDN Tahun Lepas Pencapaian Luar Biasa - Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sempat bergambar bersama Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah (tiga, kanan) berlatarkan bangunan Menara Hasil, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) selepas perasmian menara tersebut di Cyberjaya, Khamis. Turut sama Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussein (kanan), Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Wan Abdul Aziz Wan Abdullah (dua, kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr. Mohd Shukor Mahfar (lima, kanan). Bangunan menara 20 tingkat ibu pejabat baru LHDN yang bernilai RM275 juta itu mula beroperasi pada Disember lepas, dan ia menyediakan 1,682 tempat letak kereta untuk kemudahan orang ramai berurusan dengan LHDN. - fotoBERNAMA
CYBERJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kejayaan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) meningkatkan kutipan hasil tahun lepas hampir 27 peratus lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya, merupakan satu pencapaian luar biasa.

Perdana Menteri berkata kejayaan badan itu mengutip hasil RM109.7 bilion tahun lepas, bukan sahaja membolehkan kerajaan menyediakan lebih banyak perkhidmatan kepada rakyat tapi ia juga dapat memberi rangsangan kepada sektor swasta untuk meningkatkan pelaburan mereka.

Katanya ia juga akan memberi keyakinan pelabur terhadap pasaran dalam negara selepas menilai kaedah pengurusan ekonomi negara, kerana dalam era global kini, faktor pasaran global adalah sesuatu yang amat penting.

"Kalau tidak ada keyakinan terhadap kita, rating Malaysia akan merudum," katanya semasa berucap merasmikan Menara Hasil, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Cyberjaya, di sini, Khamis.

Beliau memberi contoh beberapa negara Eropah, yang menghadapi kemelut ekonomi, disebabkan kegagalan mereka mengutip hasil menerusi cukai.

"Tapi Alhamdulillah di Malaysia oleh kerana asas pendapatan kita ini kukuh, kita dapat menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada rakyat. Adakalanya perkhidmatan itu dianggap sebagai hak tapi sebenarnya ia menjadi kenyataan disebabkan kebolehan dan kejayaan kita mentadbir urus negara," katanya.

Perdana Menteri berkata segala perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan kepada rakyat hari ini, antaranya seperti Klinik 1Malaysia, Kedai 1Malaysia, Sara 1Malaysia, Bantuan Rakyat 1Malaysia dan sebagainya, asasnya ialah kerana kerajaan mampu.

Beliau berkata itu sebabnya amat penting bagi LHDN memberi penerangan kepada rakyat melalui pendidikan, kempen dan penguatkuasaan undang-undang, supaya mereka yang sudah berkemampuan, sepatutnya membayar cukai.

"Bertindak supaya ada sedikit rasa gerun, jangan bertindak melebihi kuasa, tapi dengan cara yang berhemah tapi berkesan, ini cara yang saya yakin LHDN dapat lakukan.

"Kita tengok kalau ada rumah besar, kereta besar, tapi bayar cukai sedikit sahaja, orang macam inilah yang kita kena hambat (kejar) dia," katanya.

Najib berkata semua perkhidmatan buat rakyat tidak mungkin dapat disediakan jika kerajaan tiada tambahan hasil.

"Tidak mungkin kita meminjam duit daripada luar negara dari Bank Dunia, atau IMF, kononnya, sebagaimana dakwaan pembangkang.

Sekarang ini di hadapan pegawai LHDN ini, LHDN lebih tahu perkara ini, mereka dapat sahkan bahawa semua itu (dakwaan pembangkang) fitnah semata-mata," katanya.

Merujuk kepada program Bantuan Rakyat 1Malaysia, Najib berkata kerajaan menyediakan peruntukan RM2.6 bilion untuk membantu 5.2 juta isi rumah yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan, dan setakat ini 3.7 juta orang dikenal pasti layak menerimanya, dengan hanya 24,000 permohonan yang masih dalam proses pengesahan maklumat.

Selaras dengan kejayaan luar biasa LHDN dalam pelbagai urusannya, Perdana Menteri kemudiannya menjanjikan sesuatu buat badan itu.

"Mungkin tuan puan cakap, takkan terima kasih saja...Saya dah buat satu keputusan, saya serah kepada Ketua Pengarah LHDN untuk umumkan minggu depan.

"Saya sentiasa tekankan kepada produktiviti. Maknanya jika produktiviti meningkat, apatah lagi kalau melepasi KPI, maka mereka yang berusaha lebih gigih dan memperlihatkan keberhasilan yang lebih, kita patut beri pertimbangan khas kepada mereka," katannya.

Pada majlis yang sama, Najib turut melancarkan m-filing, produk terbaru LHDN, yang akan membolehkan individu pemastautin yang tidak menjalankan perniagaan mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan menggunakan peranti mudah alih yang disokong oleh kemudahan yang disediakan oleh iPhone, iPad, Android versi 2.2 (Froyo) ke atas, BlackBerry versi 6 keatas, Window Phone versi 7 ke atas.

Bangunan 20 tingkat ibu pejabat baru LHDN yang bernilai RM275 juta itu mula beroperasi pada Disember lepas. - BERNAMA

0 comments: