"Kerja ini mudah dilakukan dan mudah mendapat wang," ujar Leirvold dalam persalinan baju hujan warna hitam dan jingga serta sarung tangan getah rona biru.
Dia dilihat sedang memotong beberapa keping lidah ikan dalam masa beberapa minit di kilang ikan Marine Fresh yang beroperasi di sebuah kampung terpencil Napp. Kampung itu berpangkalan di pulau Lofoten, Norway dekat zon Artik.
Ikan kod timur Artik dipanggil skrei di Norway iaitu diambil daripada istilah lama. Ia bermaksud bonanza untuk nelayan bersama penduduk setempat yang menyukai filet. Sementara itu, lidah ikan berkenaan pula dianggap kulinari yang memberi peluang kepada anak-anak memperoleh wang poket.
Mickael Feval, seorang chef dari Paris yang popular dalam panduan Michelin cukup bersemangat ketika memulakan trip ke Lofoten untuk mengkaji keistimewaan ikan itu.
Tekstur menakjubkan
"Bezanya, ikan ini dengan kod lain adalah ia berenang terlalu jauh untuk sampai ke Laut Barents. Ia benar-benar membentuk otot dan teksturnya amat menakjubkan," katanya selepas memilih spesimen sendiri, sebelum terlibat dalam majlis makan malam di Lofoten.
Skrei tergolong dalam kategori ikan kod terbesar di dunia. Dianggarkan terdapat sekitar 1.7 juta tan ikan kod berkenaan di Lautan Barents.
Pada akhir bulan Januari hingga awal bulan April, jutaan skrei berenang menuju perairan pantai utara Norway dan hampir separuh daripadanya akan sampai ke pulau-pulau sekitar Lofoten yang mempesonakan.
|
|
Sebelum memasuki era milenium, eksport skrei kering bermula dari pulau-pulau itu dan kebanyakan hasil tangkapan tahunan dihantar ke seluruh dunia terutamanya ke Sepanyol, Itali dan Portugal.
Bagi penduduk pulau itu yang berpopulasi 25,000 orang, separuh daripada mereka berkecimpung dalam industri perikanan. Ironinya, skrei yang akan mati setiap kali musim sejuk menjadi antara detik yang diraikan.
"Pernah pada suatu ketika, kami hampir bertumbuk kerana berebut ikan skrei. Setiap orang inginkan ikan ini," tutur Bjoern Arne Bendiksen, mandur di kilang Marine Fresh di Napp, iaitu sebuah bandar yang diselaputi salji.
Kawal penangkapan
Di sebalik kebimbangan terhadap penurunan stok ikan kod di seluruh dunia, pihak Norway berusaha mengawal proses penangkapan skrei.
Individu yang bertanggungjawab dalam proses penangkapannnya menerima sijil perikanan peringkat tinggi daripada Majlis Pengawasan Marin (MSC). Pengiktirafan itu merangkumi pengendalian tangkapan dengan cara baik dan mematuhi rang undang-undang kesihatan serta alam sekitar.
"Stok tangkapan ikan ini datang daripada etika penangkapan yang baik. Anda boleh menikmatinya tanpa rasa bersalah," terang Fredrik Myhre yang turut menyatakan pakar marin bersama pihak Tabung Alam Sedunia (WWF) sedang merangka proses pemuliharaan perikanan dan persisiran pantai.
Berdasarkan Organisasi Jualan Nelayan Norway yang menetapkan kuota penangkapan ikan, kira-kira 75 peratus yang ditangkap di utara Norway akan mendarat sebelum 1 Mei ini.
"Jika kamu tidak mencari duit pada musim sejuk maka kamu tidak memperoleh sumber kewangan pada tahun itu," jelas Bendiksen.
Pada tahun lepas, sebuah kapal nelayan di Norway berjaya menarik lebih 340,000 tan metrik ikan kod bernilai hampir empat bilion kroner (RM2.12 bilion). Menurut organisasi jualan, pada bulan Mac tahun lalu saja sebanyak 50,000 tan metrik hasil tangkapan ikan kod telah diraih.
Pada tahun ini, lautan sekitar Lofoten nampaknya akan dipenuhi dengan ikan skrei. Ini bermakna jumlah pendapatan golongan nelayan kecil akan bertambah.
Penduduk tempatan cukup menggemari lidah. Mereka sering menggoreng lidah yang bersalut serdak roti sehingga menyerupai kekapis. Generasi muda yang bekerja memotong lidah dianggarkan mampu memperoleh sebanyak 50,000 krone (RM26,400) pada musim yang baik.
Kanak-kanak berusia enam tahun sudah digalakkan menyertai tradisi berkenaan. Datuk Bandar Vagan iaitu sebuah bandar terbesar di Lofoten, Eivind Holst, menegaskan bahawa amalan berkenaan membantu membentuk keperibadian individu.
"Ini ialah sekolah yang terbaik," jelas Holst yang mula memotong lidah seawal usia remaja. Dia menyangkal bahawa tradisi tersebut menggalakkan buruh kanak-kanak.
Kanak-kanak selalu merayu untuk mengambil bahagian memotong lidah selepas pulang dari sekolah. Ibu bapa menggalakkan anak-anak menyertainya, asalkan sesi persekolahan diutamakan terlebih dahulu.
0 comments:
Post a Comment