Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Wednesday, March 7, 2012

Suhu jadi ‘musuh’ peladang rooibos


ROOIBOS yang sudah dikerat dikumpulkan untuk proses menjemur.

SECARA tradisi, penduduk tempatan akan mengerah keringat mendaki gunung-ganang dan memotong dedaun bak jarum halus dari pokok rooibos liar.

Ia akan digulung dan dimasukkan ke dalam beg-beg guni sebelum dibawa turun melalui lereng curam menggunakan keldai-keldai. Selepas dibawa turun, daun-daun itu akan dipotong menggunakan kapak dan diketuk dengan tukul sebelum dibiarkan kering di bawah pancaran matahari.

Hasil tuaian tahunan di ladang teh Groenkol Rooibos, di Western Cape, Afrika Selatan itu telah sekian lama melenyapkan rasa dahaga penduduk dunia terhadap teh belukar merah.

Bagaimanapun, perubahan iklim telah menjejaskan ekosistem tanaman mudah rosak itu sekali gus melahirkan kegusaran dalam kalangan para peladang.

Sejak 13 tahun lalu, eksport tahunan rooibos telah meningkat sebanyak empat kali ganda. Teh berkenaan sangat popular kerana mempunyai manfaat kesihatan dan mempunyai rasa menyegarkan sehingga menjadi kegilaan baharu di banyak negara.
http://cms.herbalgram.org/herbalgram/images/HG59/rooibos1.jpg
Teh rooibos menjadi semakin popular di negara Barat, terutamanya kelompok pengguna yang mementingkan kesihatan. Mereka yakin pada kandungan antioksida tinggi seperti aspalatin dan notofagin dalam teh rooibos.

Selain tidak mempunyai unsur kafein, paras tanin dalam rooibos juga rendah berbanding teh hitam teroksida penuh dan daun teh hijau tidak teroksida. Ia turut mengandungi beberapa sebatian fenol yang bagus untuk sistem tubuh manusia.

Meredakan saraf
http://www.spice4life.co.za/sites/tribaltactics.drupalgardens.com/files/styles/featured_article_image/public/images/articles/rooibos%20tea.jpg
Rooibos dilaporkan mampu membantu meredakan ketegangan saraf, alahan dan masalah penghadaman. Elemen xantine oksidase (XO) pada tumbuhan itu memainkan peranan menukar purina kepada asid urik sekali gus mengehadkan pengeluaran asid urik yang membantu rawatan gout.

Teh rooibos begitu istimewa apabila ia hanya tumbuh di rantau Western Cape dan tidak terdapat di mana-mana tempat di dunia.

“Ia merupakan spesies endemik di kawasan ini, ia tumbuh secara liar dan terdapat di sini sahaja.

“Jika anda mendaki bukit itu dan melihat di bahagian sebelahnya, anda akan medapati bahawa 90 peratus tumbuh-tumbuhan di situ tidak terdapat di tempat lain,” kata Chris Du Plessis, yang mengendalikan Eko Pelancongan Elandsberg.

Terdapat beberapa jenis tumbuhan yang boleh hidup dalam keadaan kering dan permukaan berpasir. Bagaimanapun, rooibos mampu berkembang dalam keadaan tersebut dan hidup secara simbiosis bersama mikroorganisma di dalam tanah.

Para peladang pernah mencuba menanam rooibos di Australia, Amerika Syarikat (AS) malah China tetapi percubaan mereka gagal sama sekali.

Seorang peladang tempatan, Willem Engelbrecht telah mewarisi ladang teh rooibos Groenkol daripada ayahnya. Sejak mengambil alih ladang berkenaan, dia menyedari terdapat perubahan ketara terhadap cuaca di ladang itu.

“Semenjak 10 tahun lalu, terdapat banyak perkara ganjil yang berlaku di sini,” kata Willem.

Kawasan tersebut telah melalui keadaan cuaca keterlaluan. Suhu pernah jatuh pada tahap beku ketika musim sejuk dan mencecah sehingga 48 darjah Celsius pada musim panas.

Kini, musim panas yang melanda kawasan berkenaan lebih panas manakala pada musim sejuk keadaan tanah menjadi lebih kering. Justeru, Engelbrecht perlu menyesuaikan teknik perladangan yang dipraktikkan sebelum ini.

Membajak tanah

“Pada masa lalu, kami membajak tanah tetapi sekarang kami kurang membajak malah menyimpan bahan di dalam tanah untuk mengekalkan kelembapan,” ujar Willem.

Sekiranya suhu terus meningkat, peladang-peladang seperti Engelbrecht akan berdepan kesukaran untuk meneruskan industri rooibos yang bernilai AS$78 juta (RM234 juta).

Pakar-pakar perubahan iklim memberi amaran Western Cape akan berdepan cabaran rumit pada 100 tahun lagi.

“Salah satu senario adalah peningkatan suhu sehingga tiga darjah Celsius di kebanyakan kawasan di rantau ini.

“Pada masa sama, rantau ini akan menjadi semakin kering. Secara umum, gambaran mengenai kesemua pedalaman Barat dan kawasan pesisiran Afrika Selatan bukan sesuatu yang positif,” kata Francois Engelbrecht dari Lembaga Penyelidikan Saintifik dan Industri Afrika Selatan.

Bagaimanapun, mereka yang bergantung kepada rooibos masih bersikap positif. Industri rooibos di kawasan Cederberg misalnya, terus rancak mengeluarkan 12,000 tan teh setahun malah separuh daripadanya dieksport. Ia mencukupi untuk membuat 4.8 bilion cawan teh sepanjang tahun.

Pengeluaran teh juga membuka peluang pekerjaan yang dianggarkan sebanyak 4,500 di kawasan berkenaan. Permintaan kerja adalah tinggi memandangkan proses penuaian dan pengeringan dilakukan secara manual.

“Rooibos semakin mendapat tempat di kebanyakan negara. Oleh kerana dia sedang berkembang daripada asas yang kecil, saya merasakan perniagaan ini menjadi semakin maju,” kata Francois.

Persoalan yang bermain dalam fikiran peladang seperti Willem adalah: Berapa lama kepesatan tersebut dapat bertahan sebelum perubahan iklim membunuh tanaman mereka?.

0 comments: