JAKARTA - Dendangan muzik rancak seperti dangdut serta irama muzik perlahan yang diperdengarkan kepada ayam pedaging oleh ratusan penternak di desa Sumbersuko, Tlogowaru, Bandar Malang, Jawa Timur dilaporkan berhasil meningkatkan mutu ternakan mereka sejak tiga tahun kebelakangan ini.
Sejak menggunakan teknik terapi muzik itu yang dimainkan 24 jam, para penternak di kawasan itu mendakwa mereka berupaya menuai hasil ternakan yang lebih sempurna, berbanding sebelum itu di mana jumlah ayam yang mati setiap kali musim tuaian agak tinggi.
Lagu-lagu rancak atau dangdut yang diperdengarkan kepada ayam-ayam itu bukanlah membuat mereka berjoget ataupun sebaliknya menjadikan mereka terlelap bila mendengar lagu berirama perlahan yang mendayu-dayu, tetapi muzik itu bertujuan menjadikan ayam ternakan mereka tidak mudah terkejut sehingga boleh menyebabkan kematian, agensi berita ANTARA melaporkan hari ini.
"Sejak menggunakan terapi muzik, kami berjaya menuai hasil ayam secara sempurna, dan dilakukan empat kali dalam setahun. Padahal, sebelum menggunakan terapi muzik, sekitar 30 peratus daripada 1,000 ayam kami mati setiap kali menuai hasil," kata Ahmad Fauzi, salah seorang penternak di kawasan itu.
Fauzi, 29, berkata terapi muzik untuk ayam sudah popular di kalangan penternak kawasan Tlogowaru sehingga ia tidak dianggap aneh bagi masyarakat tempatan, walaupun belum ada bukti perubatan tentang kesan terhadap kesihatan ayam yang mendengar muzik itu. - Bernama
0 comments:
Post a Comment