Oleh S.M MOHAMED IDRIS
PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan supaya menguatkuasakan dengan segera Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 terhadap kedai, restoran dan kedai kopi yang mengenakan bayaran yang tinggi untuk air minuman.Pihak kementerian tidak seharusnya menunggu pengguna untuk membuat laporan dikenakan bayaran berlebihan tetapi menggunakan kuasanya di bawah Akta itu untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab itu.
Daripada laporan media, dinyatakan bahawa pengguna dikenakan bayaran sehingga RM1.50 untuk segelas air.
Menurut SYABAS, mereka mengenakan caj RM2.00 bagi 1,000 liter air di Selangor.
Berdasarkan kepada caj itu, segelas air (300 ml) yang biasanya berharga 50 sen di beberapa kedai sepatutnya hanya berharga RM0.0006 sen.
Ini bermakna restoran dan kedai memperolehi keuntungan 83,233% bagi setiap gelas air yang dijual. Ini merupakan satu rompakan di siang hari!
Pihak restoran berkata harga air meningkat memandangkan mereka terpaksa mengambil kira kos yang ditanggung.
Bagaimanapun, CAP merasakan ia bukanlah alasan yang wajar kerana sekalipun perbelanjaan yang ditanggung diambil kira, harganya masih tinggi.
Sebaliknya, sudah menjadi satu kebiasaan di sesetengah restoran dan kedai untuk menghidangkan air sebaik sahaja pelanggan mereka duduk.
Dalam kebanyakan kes, air tidak diminum memandangkan pelanggan memesan minuman lain dan air itu dibuang begitu sahaja. Dalam keadaan ini, air seharusnya dihidangkan jika pelanggan memintanya.
Oleh sebab itu CAP menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan tidak teragakagak untuk menguatkuasakan Akta itu.
S.M MOHAMED IDRIS
Presiden Persatuan Pengguna
Pulau Pinang
0 comments:
Post a Comment