Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Wednesday, February 15, 2012

Mimos Berhad: Semakan audit dapati lebih 200 ribu pengundi diragui

Semakan audit dapati lebih 200 ribu pengundi diragui

Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) mengenai pembaharuan sistem pilihan raya di negara ini dimaklumkan bahawa semakan audit yang dijalankan ke atas daftar pemilih mendedahkan wujudnya jumlah amat besar pengundi yang meragukan.

Mimos Bhd, sebuah syarikat teknologi milik penuh kerajaan yang membuat semakan audit itu pada taklimatnya kepada PSC berkata terdapat sekurang-kurangnya 230,000 pengundi yang mencurigakan.

Menurut ahli PSC Anthony Loke, taklimat telah diberikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Mimos, Abdul Wahab Abdullah semasa mesyuarat dua jam, semalam.

Turut hadir semasa mesyuarat dan taklimat berkenaan adalah pengerusi PSC Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili.

Loke berkata Mimos pada taklimatnya memberitahu pihaknya mengesan 820 kes di mana terdapat lebih daripada 100 pengundi yang menetap di alamat yang sama.

"Selain itu, kami mendapati 1,259 kes di mana antara 51-100 pengundi tinggal di alamat yang sama, 3,254 kes di mana terdapat antara 21-50 pengundi tinggal di alamat sama, dan 6,002 kes yang melibatkan antara 11 hingga 20 pengundi di rumah sama.

"Tempat-tempat ini termasuk kem tentera," katanya kepada Malaysiakini.

Turut dipertikaikan adalah alamat yang mencurigakan di mana pengundi didaftar dengan alamat yang tidak lengkap ataupun tidak sah. Sebagai contoh, katanya: "Tiada alamat atau rumah 62, Lembah Pantai dan E6, Seputeh".

Menurut Loke, PSC telah memberikan Mimos tempoh dua minggu untuk menjalankan semakan dengan Jabatan Pendaftaran Negara dan Suruhanjaya Pilihan Raya bagi mengemaskini nama-nama dan alamat mencurigakan itu.

"PSC itu tidak bincang lanjut bagaimana untuk membetulkan perkara itu dan Mimos akan kembali dalam masa dua minggu," katanya.

Belum boleh bubar parlimen

Memandangkan jumlah pengundi yang meragukan sebegitu ramai, Loke berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak perlu memastikan daaftar pemilih dibersihkan sebelum beliau membubarkan parlimen supaya pilihan raya umum dapat diadakan.

Pemimpin DAP itu berkata Mimos turut mengenal pasti 785 polis dan anggota tentera yang berdaftar sebagai pengundi pos dan pada masa yang sama, juga sebagai pengundi biasa.

Semasa laporan awal PSC dibentangkan pada Disember, selepas jawatankuasa itu mengadakan beberapa pendengaran awam, mereka telah membuat beberapa cadangan, termasuk semakan audit pengundi.

Mimos kemudian ditugaskan untuk memeriksa daftar pemilih bagi mengesan nama atau kad pengenalan yang sama ataupun bertindih, pengundi berusia lebih 100 tahun dan mengesahkan butiran pengundi dengan pangkalan data dari agensi-agensi kerajaan yang lain.

Loke juga mendedahkan bahawa Mimos berjaya mengesan 22,076 pemilih berdaftar yang berumur lebih 90 tahun. -mk

0 comments: