IPOH - Seorang pelajar Maahad Tahfiz al-Quran dan Hadis Al-Ansari, Muhammad Ubaidillah Mohd Zamri, 12, tidak sempat menghabiskan laungan azan Maghrib kerana terpaksa menyelamatkan diri dari dihempap pokok kelapa dalam satu kejadian ribut.
Dalam kejadian pada jam 7.15 petang kelmarin, dia cedera di bahagian muka akibat terkena serpihan siling yang pecah ketika berlari keluar bersama 39 pelajar lain.
Menurutnya, dia bersama rakan-rakan berada di ruang rehat sekolah berkenaan setelah ruang solat basah terkena tempias hujan lebat berserta angin kuat.
“Ruang solat basah menyebabkan kami beralih ke ruang rehat. Kemudian, ustazah mengarahkan saya supaya azan sebelum berbuka puasa bersama pelajar lain.
“Ketika saya sedang azan, terdengar bunyi hentakan kuat menyebabkan sekolah kami bergegar dan siling mula runtuh.
“Kami berlari menyelamatkan diri dan ketika itulah saya rasa perit di muka,” katanya di sini, semalam.
Pengerusi sekolah berkenaan, Azhari Abu Hassan melahirkan rasa syukur apabila semua pelajar dan tenaga pengajar terselamat dari kejadian ribut itu walaupun sekolah berkenaan uzur.
“Rumah yang diwakafkan kepada kami akan dibersihkan secara gotong-royong dan akan menempatkan sementara pelajar ini di rumah rakan. Alhamdulillah semua mereka selamat,” katanya.
Sekolah berkenaan antara 24 rumah di Kampung Ulu Chemor yang mengalami kerosakan pada bahagian bumbung dan dinding akibat ribut yang melanda, malam kelmarin.
Sementara itu, seorang mangsa, Nor Hisyam Mustafa, 42, ketika menceritakan saat cemas bersama sembilan ahli keluarganya sempat berlari keluar dan melaungkan azan apabila pokok durian berusia lebih 40 tahun menghempap bilik tidur mereka.
“Saya terperanjat apabila seluruh rumah tiba-tiba bergegar dengan bunyi angin kuat sebelum sebahagian bumbung bilik tidur tercabut.
“Tidak lama kemudian, pokok durian turut tumbang dan menghempap bumbung bilik. Saya terus bingkas mencari ahli keluarga lain, kerana takut berlaku kejadian lebih buruk,” katanya yang mengalami kerugian lebih RM3,000.
Kejadian itu dianggap paling buruk pernah dialaminya.
0 comments:
Post a Comment