Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Thursday, November 20, 2014

Harga minyak RON97 sepatutnya sekitar RM1.80 - RM2

Sumber HARAKAHDAILY


Harga RON95 Turun
KOTA BHARU: Pemuda PAS Kelantan menyifatkan penurunan harga minyak RON97 sebanyak 20 sen malam tadi langsung tidak memadai berbanding kadar penurunan harga minyak dunia.Hal ini kerana harga minyak dunia USD75.64/barrel pada 18 November lalu.

Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari berkata, harga minyak RON97 pernah diturunkan sebanyak 15 sen ke paras RM2.55 pada 22 Ogos 2008 ketika harga minyak dunia USD114.59/barrel.

Katanya, akal yang waras boleh membuat penilaian iaitu kelihatan kepincangan sikap kerajaan ketika menetapkan harga minyak selaras harga minyak dunia.

“Pada saat kerajaan menetapkan harga minyak RON97 di paras RM2.55 harga minyak dunia sedang menjunam ke paras yang sangat rendah.

“Kalau dilihat kepada rekod kenaikan dan penurunan harga minyak sebelum ini tidak sepatutnya sekadar turun sekadar 20 sen sahaja,” katanya di sini.

Malam kemarin Persatuan Peniaga Petroleum Malaysia mengesahkan harga petrol RON97 turun kepada RM2.55 seliter mulai tengah malam tadi. Penurunan sebanyak 20 sen. Berdasar kepada harga petrol RON97 sekarang ia hanya lebih 25 sen daripada harga petrol RON95 yang mendapat subsidi kerajaan.

 Ahmad Fadhli berkata, penurunan ini telah dijangka berasas fenomena penurunan mendadak harga minyak dunia. Katanya juga kerajaan menghadapi tekanan bagi menggambarkan harga minyak RON97 diapungkan mengikut harga minyak dunia.

 “Kefahaman yang cuba ditanamkan dalam minda rakyat Malaysia kerana faktor nilaian mata wang yang berbeza adalah tidak berbangkit. “Jika dilihat kepada rekod pada 22 Ogos 2008 kadar tukaran USD berbanding Ringgit ialah USD1=RM3.33 manakala hari ini pada paras USD1=RM3.36,” katanya.

Kata beliau jika benar harga minyak RON97 diselaras mengikut harga minyak dunia, maka paras yang paling ideal ialah RM1.80 - RM2.

“Namun beranikah kerajaan Barisan Nasional meletakkan paras harga minyak RON97 lebih rendah dari RON95 yang kononnya diberikan subsidi. “Nyatalah sekarang rakyat sedang ditipu kerajaan Umno dan BN,” ujarnya.

Baca Seterusnya......

Thursday, November 13, 2014

KENA TEGUR DI PARLIMEN, TAK SAMPAI 24 JAM MENTERI TERUS TUKAR NO PLAT

KENA TEGUR, MENTERI TERUS TUKAR NO PLAT
Setelah dikritik oleh Ahli Parlimen Pembangkang, seorang menteri yang dikesan menggunakan nombor pendaftaran yang tidak mematuhi spesifikasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) segera memperbetulkan kesalahannya.

Menteri tersebut yang menggunakan kenderaan nombor pendafataran WYU 818 telah menukar nombor pendaftarannya tidak sampai 24 jam setelah dikritik.
KENA TEGUR, MENTERI TERUS TUKAR NO PLAT
Melalui pemerhatian Free Malaysia Today, kereta Alphard putih menteri itu dikesan lebih kurang pada jam 5.30 petang di lobi Parlimen, semalam.

Awal pagi itu, Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng mempersoalkan nombor pendaftaran kenderaan timbalan menteri dan menteri yang tidak mengikut garis panduan yang dibenarkan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Sebelum ini, JPJ telah menetapkan bahawa huruf, saiz dan jarak haruslah tidak mengelirukan penguatkuasa JPJ. Namun syarat itu telah dilonggarkan dengan mengatakan bahawa nombor pendaftaran kenderaan tidak boleh mengelirukan.

Walaubagaimanapun, kereta timbalan menteri yang bernombor pendaftaran WSW 505 masih menggunakan nombor pendaftaran yang tidak memenuhi spesifikasi JPJ.

Baca Seterusnya......

Punca pendapatan nelayan terjejas akibat projek penambakan laut.

Sumber Sinar

Nelayan mengadakan bantahan di Kampung Senibong, semalam.

PASIR GUDANG - Lebih 3,000 nelayan daripada 15 kampung terjejas didakwa akibat daripada projek penambakan laut yang telah dijalankan sejak Mei tahun lalu.

Ketua Umno Cawangan Kampung Senibong, Yacob Sahadan berkata, antara 15 kampung yang terlibat ialah Kampung Plentong Tengah, Kampung Bakar Batu, Kampung Senibong, Kampung Teluk Kabung dan Kampung Kuala Masai.

Menurutnya, pampasan sebanyak RM4 juta yang dituntut nelayan tidak diendahkan pemaju terlibat, sedangkan setiap hari nelayan semakin terbeban dengan desakan hidup untuk mencari sesuap nasi.

“Masalah ini semakin kritikal sejak enam bulan kebelakangan ini apabila enam sungai antaranya Sungai Batang, Sungai Pak Kolob dan Sungai Besar telah ditutup ekoran projek penambakan laut ini.

“Saya minta pihak kerajaan mencari jalan penyelesaian terbaik kerana ramai yang terjejas memandangkan nelayan adalah punca utama mereka mencari rezeki,” katanya ketika mengadakan bantahan bersama lebih 300 nelayan, di sini, semalam.

Sementara itu wakil orang asli Kampung Kuala Masai, Wah Bacik berkata, masyarakat orang asli hanya mengharapkan pendapatan sebagai nelayan.

Bagaimanapun, projek penambakan laut itu telah menyebabkan mata pencariannya terjejas, sedangkan tanggungan keluarga besar.

“Kalau dulu kita boleh dapat hasil sekitar RM2,000 sebulan, tapi sekarang ini nak dapatkan RM50 sehari pun susah.

“Bagaimana saya mahu bagi anak makan sedangkan saya mempunyai 11 anak untuk ditanggung,” katanya.

Seorang lagi nelayan Kampung Plentong Tengah, Musa Ahmad berkata, nelayan semakin tersepit dengan pembangunan yang dibawa kerajaan, sedangkan perkara itu sepatutnya dikaji terlebih dahulu kesannya secara mendalam.

Menurutnya, nelayan terpaksa menangkap ikan agak jauh dari pangkalan masing-masing, sedangkan hasil yang diperoleh tidak seberapa jika dibandingkan dengan kos minyak yang terpaksa ditampung.

“Saya dan rakan-rakan semakin terhimpit dengan situasi ini sedangkan anak-anak perlu disara dan diberi makan bukan dengan pasir.

“Kalau dulu dari jarak yang dekat kami sudah mampu mendapat hasil, tapi sekarang keluar jauh-jauh pun tidak berbaloi kerana kos minyak tinggi, sedangkan hasil yang diperoleh tidak seberapa.

“Saya mohon bantulah kami mencari jalan penyelesaian terbaik kerana kami ada keluarga yang perlu disara dan anak-anak ramai yang masih bersekolah,” katanya.

Baca Seterusnya......

Loporan audit Negara: 5 kelemahan urus tanah rizab Melayu

JOHOR BAHARU - Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013 Siri 3, mendapati sebanyak lima kelemahan yang dapat memberi kesan terhadap pengurusan Tanah Rizab Melayu di Johor, ditemui semasa mengaudit Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri berkenaan antara Januari hingga April tahun ini.

Laporan itu menyebut, kelemahan pertama ialah keluasan sebenar Tanah Rizab Melayu di negeri ini tidak dapat ditentukan disebabkan Daftar Kawasan Tanah Rizab Melayu tidak dikemas kini serta 767 permohonan Kemasukan Tanah Rizab Melayu yang telah selesai diwartakan tidak didaftarkan.

Selain itu, maklumat pewartaan pembatalan dan penggantian kawasan Tanah Rizab Melayu tidak dapat disahkan serta proses pewartaan bagi 518 permohonan Kemasukan Tanah Rizab Melayu lewat diselesaikan antara dua dan 17 tahun.

Sebanyak 108 dokumen hak milik Tanah Rizab Melayu juga tidak diendors mengakibatkan empat bidang tanah di Kluang dan Kulaijaya seluas 4.47 hektar telah dipindah milik kepada bukan Melayu.

Terdapat juga pecahan plot bagi pembangunan kawasan Rizab Melayu milik bukan Melayu tidak didaftarkan atas nama pengarah Melayu.

Kawasan Tanah Rizab Melayu milik kerajaan Johor, juga ada yang telah diusahakan dan diduduki tanpa kebenaran.

"Pengauditan yang dilaksanakan antara Januari hingga April 2014 mendapati syarat yang ditetapkan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri supaya 4,573 kelulusan permohonan kurniaan tanah seluas 9,284.02 hektar kepada orang Melayu pada 2011 hingga 2013 dijadikan sebagai Tanah Rizab Melayu adalah baik," menurut laporan itu.

Mengikut rekod PTG, sehingga Disember 2013, Tanah Rizab Melayu di Johor adalah seluas 429,386.77 hektar.

Jabatan Audit Negara turut mengesyorkan supaya PTG menyemak semula bilangan kawasan dan keluasan Tanah Rizab Melayu di Johor serta mengemaskinikan Daftar Kawasan Tanah Rizab Melayu supaya keluasan sebenar dapat ditentukan.

Ia juga mengesyorkan agar PTG mengadakan sebuah pasukan khas untuk mengemaskinikan semua rekod, endorsan dan pewartaan melibatkan kawasan tanah itu bagi memastikan objektif Tanah Rizab Melayu tercapai mengikut Enakmen Rizab Melayu Johor 1936.

PTG juga perlu menyediakan garis panduan pengurusan Tanah Rizab Melayu sebagai rujukan kepada pegawai baharunya dan pejabat tanah daerah bagi menjamin status pegangan hak milik Melayu terus kekal dan terpelihara.

Sementara itu, pengauditan yang dijalankan antara September dan November 2013 ke atas Johor Silica Industries Sdn Bhd (JSISB) milik Perbadanan Johor menemui bahawa stok pasir silika mentah di Johor semakin menyusut.

Jabatan Audit Negara mengesyorkan supaya syarikat itu yang mencatat keuntungan terkumpul berjumlah RM2.88 juta pada tahun lepas, mengambil langkah awal menyediakan perancangan strategik jangka panjang berkaitan jenis perniagaan yang akan dijalankan bagi menggantikan perniagaan sedia ada sekiranya kehabisan stok pasir silika.

Laporan itu juga menyebut, syarikat itu juga perlu meningkatkan stok bekalan pasir silika mentah sedia ada termasuk membeli daripada pihak luar bagi memastikan perniagaan sentiasa berjalan dan mendatangkan keuntungan.

Kegiatan utama syarikat JSISB ialah perlombongan, memproses dan membekalkan pasir silika industri berkaitan silika seperti pengeluar barangan kaca, pengeluar cat dan syarikat kontraktor. - Bernama

Baca Seterusnya......

Elaun Adun Melaka akan NAIK setaraf pegawai gred 52-54


MELAKA - Kerajaan Negeri Melaka bercadang menaikkan kadar elaun Adun negeri ini setaraf dengan gaji seorang pegawai kerajaan dalam gred 52 atau 54, persidangan Dun Melaka diberitahu hari ini.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata, pada masa ini Adun di negeri ini menerima elaun pada kadar RM4,800 sebulan atau setaraf dengan seorang pegawai kerajaan dalam gred 44.

Beliau berkata, cadangan dibuat selepas mengambil kira tanggungjawab dan perkhidmatan yang kini dipikul oleh Adun dan anggota exco kerajaan negeri bagi memenuhi harapan rakyat di negeri ini. 

"Saya telah berbincang dengan pegawai kewangan negeri mengenai taraf elaun Adun.

"Rupa-rupanya elaun mereka rendah, oleh itu kita cuba untuk mengangkat taraf elaun mereka," katanya ketika menggulung sesi perbahasan usul peruntukan RM55.06 juta dalam Bajet 2015 Negeri Melaka di sini.

Usul itu kemudian disokong oleh Datuk Lim Ban Hong (BN-Klebang) dan diluluskan dengan sokongan majoriti dewan.

Speaker Dun Melaka, Datuk Othman Mohamad selepas itu menangguhkan persidangan ke pagi esok. - Bernama

Baca Seterusnya......

Tuesday, November 11, 2014

Majoriti Penduduk Catalonia Setuju Bepisah Dari Sepanyol

Warga Catalonia berbaris untuk pungutan suara tuntut kemerdekaan dari Sepanyol. foto Reuters
Kerajaan Sepanyol menerima tamparan hebat apabila majoriti penduduk Catalonia memilih untuk berpisah dari Madrid.

Perkara ini berlaku ketika referendum tidak rasmi bagi mendesak Sepanyol bersetuju mengiktiraf kemerdekaan Catalonia atau Catalunya yang telah diadakan pada Ahad 9 November 2014 waktu tempatan. Dalam pungutan suara itu, dilaporkan 80 peratus penduduk Catalonia bersetuju untuk tidak lagi bergabung dengan Negara Matador.

Dalam penjelasan Naib Presiden Catalonia, Joana Ortega, penduduk yang membuat pungutan suara berjumlah kira-kira 2 juta orang. Walaupun begitu, beliau tidak menghuraikan butiran menyeluruh berapa jumlah pemilih yang berdaftar dalam referendum yang dianggap tidak sah oleh pemerintah Sepanyol itu.

Kemenangan tidak rasmi ini turut disambut baik oleh Presiden Catalonia, Arthur Mas. Beliau menyebut, keputusan berkenaan merupakan suatu kejayaan yang besar.

"Sebuah kejayaan yang lengkap, ini kerana pengundi (menuntut kemerdekaan) lebih dari dua juta walaupun pungutan suara ditentang Madrid," sebut Mas, seperti dipetik dari Russian Today, semalam.

Ini bermakna kelab bolasepak Barcelona FC bakal berdepan dengan risiko tersingkir dari Liga Sepanyol (La Liga) jika wilayah Catalonia merdeka sepenuhnya dari Sepanyol seperti dalam laporan WarkahDaily pada 9 Oktober lalu.

Barcelona merupakan ibu negeri bagi wilayah Catalonia.

Baca Seterusnya......

Monday, November 3, 2014

SEPULUH CABARAN TERBESAR EKONOMI MALAYSIA 2015


1. KENAIKAN KOS SARA HIDUP RAKYAT
Langkah Kerajaan menaikkan harga petroleum (naik 20 sen), tarif elektrik (naik 15%), harga gula (naik 30 sen), harga (naik 20 sen) dan kadar tol (minima 50 sen) sedikit sebanyak akan melonjakkan kos sara hidup semua rakyat. Paras inflasi rasmi terkini telah pun meningkat kepada 3.4%, tertinggi dalam setahun. Inflasi tidak rasmi/sebenar mungkin tiga kali ganda lebih 10% setahun.

Harga purata secawan kopi kini ialah RM1.60, harga nasi lemak ialah RM1.80 sementara sekeping roti canai sudah mencecah RM1.20 tidak termasuk GST

2. PARAS HUTANG KERAJAAN YANG TINGGI
Paras hutang kerajaan meningkat sejak tahun 1970. Hutang Kerajaan Persekutuan pada tahun 1970 hanyalah RM2 billion, pada tahun 1999 berjumlah RM95 billion tetapi sekarang telah mencecah RM568.2 bilion atau 53% daripada KDNK menghampiri had siling 55%. Pihak asing pula memiliki kira-kira 15% daripada jumlah hutang dalam negara. Keadaan ini boleh mempengaruhi kadar pertukaran wang asing negara.

Untuk rekod, kerajaan membelanjakan lebih RM10 bilion setahun hanya untuk membayar faedah hutang-hutang yang diambil oleh Kerajaan Persekutuan.

3. PARAS HUTANG ISI RUMAH RAKYAT YANG MEMBAHAYAKAN
Hutang isirumah rakyat Malaysia telah berganda kepada RM750 billion atau 76.2% KDNK dalam Julai tahun ini. Pecahan besar adalah pinjaman perumahan 29%, pinjaman kenderaan 51%, pinjaman peribadi 15% dan pinjaman pelajaran 33%. Ini bermakna rakyat Malaysia secara amnya membuat perbelanjaan dengan membazir dan tidak berhemah.

Jika tidak dikawal, lima tahun lagi hutang isi rumah di Malaysia boleh melebihi 100% kepada KDNK negara bermakna pendapatan yang diperolehi tidak cukup untk membayar hutang terkumpul.

4. PERTUMBUHAN EKONOMI DEKAD YANG LEBIH PERLAHAN
Jumlah keseluruhan ekonomi Malaysia (KDNK) tahun 2014 adalah RM1.07 trillion. Walaupun ekonomi global dijangka meningkat, pertumbuhan KDNK Malaysia purata sepuluh tahun lepas lebih perlahan hanya sebanyak 5% dan banyak didorong oleh permintaan domestik. Berbanding pertumbuhan KDNK purata sebanyak 7% pada tahun 1990an yang didorong oleh sektor eksport dan luaran.

Untuk rekod, semenjak 1945 ke tahun 1998, Malaysia adalah salah satu daripada 13 negara yang telah mencapai pertumbuhan mantap melebihi 7 peratus selama lebih daripada 53 tahun. Walaubagaimanapun selepas 1998, pertumbuhan ekonomi Malaysia telah jatuh dengan perlahan.

5. KOS PENGURUSAN KERAJAAN YANG TINGGI
Daripada tahun 1970 hingga 2013, jumlah perbelanjaan pengurusan kerajaan meningkat daripada RM2.2 bilion kepada RM216.2 bilion. Komponen yang terbesar ialah gaji kakitangan kerajaan. Untuk nota, Malaysia memiliki nisbah kakitangan kerajaan yang tertinggi di dunia seramai 1.4 juta atau 10% dari seluruh tenaga kerja di Malaysia.

6. BEBAN SUBSIDI KERAJAAN YANG TINGGI
Jumlah keseluruhan subsidi kerajaan telah meningkat dengan ketara daripada RM1.1 bilion pada 1999 kepada RM44.1 bilion pada 2013. Ini bermakna 20% dari cukai yang dikutip akan digunakan untuk subsidi rakyat. Subsidi ibarat ganja kerana ia sukar dihentikan apabila telah diberikan. Penamatan subsidi juga boleh mengakibatkan kos politik kepada kerajaan yang memerintah.

Dasar pemberian subsidi adalah dasar yang tidak efektif bagi rakyat miskin. Orang kaya menggunakan bahan api lebih banyak daripada orang miskin yang bermotosikal. Ini bermakna subsidi petroleum lebih banyak dinikmati oleh golongan kaya.

7. PRODUKTIVITI PEKERJA YANG KURANG CEMERLANG
Hanya 80 peratus dari tenaga kerja seluruh Malaysia mempunyai kelayakan pendidikan setakat Sijil Pelajaran Menengah (SPM). Menurut Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), tahap produktiviti pekerja negara ini adalah jauh lebih rendah daripada negara-negara seperti Amerika Syarikat, Jepun, United Kingdom, Korea Selatan dan Singapura.

Purata pekerja Malaysia mencatatkan nilai produktiviti hanya sebanyak RM43,952 setahun. Berbanding pekerja Amerika Syarikat mengungguli senarai dengan tahap produktiviti sebanyak RM285,558 setahun, diikuti oleh pekerja di Jepun RM229,568 dan Hong Kong RM201,485. Ini bermakna pekerja Malaysia bekerja dalam tempoh yang lebih panjang berbanding negara lain, namun menghasilkan pulangan yang lebih rendah.

8. BELANJAWAN MALAYSIA DEFISIT SETIAP TAHUN SEJAK 1998
Walaupun memiliki komoditi yang kaya seperti minyak dan kelapa sawit, Belanjawan Negara masih defisit selama 16 tahun berturut-turut semenjak krisis kewangan Asia. Untuk rekod, perbelanjaan subsidi untuk rakyat dikurangkan sebanyak RM 7.3 billion bagi tahun 2014. Walaupun paras defisit keseluruhan negara telah turun tetapi masih tinggi sekitar RM 36 billion.

Pada masa yang sama, lebihan akaun semasa (eksport tolak import) juga telah menurun dari RM102 bilion pada 2012 kepada RM37 billion pada 2013. Ini bermakna lebihan akaun sebanyak 3% daripada KDNK pada masa ini adalah kecil kerana Malaysia pernah mencatatkan lebihan akaun semasa sebanyak 10%.

9. KETIRISAN DAN KETELUSAN NEGARA
Dalam Indeks Persepsi Rasuah atau Corruption Perception Index yang dijalankan Transparency International, Malaysia menduduki tangga ke-53 daripada 177 buah negara. Kedudukan ini tidak segagah tahun 2003, Malaysia berada di kedudukan ke-37.

Untuk rekod, dalam Laporan Global Financial Integrity, Malaysia menduduki tempat ke-4 dari segi jumlah kumulatif pengaliran keluar dana secara haram yang berjumlah RM880 billion di antara tahun 2002-2011. Ini bermakna aliran keluar wang haram dari Malaysia mungkin lebih hebat daripada negara-negara seperti Filipina, Nigeria dan Venezuela.

10. KELEMAHAN RINGGIT DAN PENINGKATAN GAJI YANG PERLAHAN
Dengan matawang Ringgit Malaysia terus lemah dibandingkan dengan Dollar Amerika (terendah dalam enam bulan) dan Dollar Singapura (terendah dalam 15 tahun) juga menyumbang kepada lonjakan harga barang dan kos sara hidup di Malaysia. Kesan kelemahan ringgit menyebabkan penurunan kuasa beli individu. Maknanya, setiap ringgit pendapatan akan mampu membeli sedikit barangan dan perkhidmatan import berbanding sebelum ini.

Peningkatan kos sara hidup yang berlaku itu juga tidak selaras dengan kadar kenaikan gaji yang perlahan. Mengikut Payscale.com, kadar purata kenaikan gaji Malaysia hanya sekitar 3.5% berbanding Indonesia 9.8%, Singapore 12% dan Thailand 5.8% dalam tempoh sama.

Kesimpulan, ekonomi adalah tunjang turun naik sesebuah masyarakat, bangsa dan negara. Jika sepuluh isu ini dapat ditangani maka lahirlah negara mapan, ekonomi cemerlang dan rakyat gemilang.

Baca Seterusnya......