Sumber Mkini
Mahal murah sesuatu barang bukan pada harganya, tapi kemampuan pengguna.
Kemampuan pengguna pula bergantung kepada pendapatan.
Atas dasar itu, harga bagi banyak barang pengguna di Malaysia mahal berbanding negara kaya.
Ia menjadi lebih mahal apabila nilai ringgit merudum kerana banyak barang yang kita guna, diimport.
Harga seliter petrol RON 95 di negara kita baru naik 20 sen atau hampir 10 peratus kepada RM2.30 pada 1 Februari.
Bagi penduduk Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan) anggaplah ini hadiah Hari Wilayah daripada menteri anda, Datuk Seri Adnan Mansor.
Per kapita kita rendah
Pada harga itu, petrol di Malaysia lebih mahal daripada Singapura, Australia dan banyak negara kaya di dunia.
Pendapatan per kapita nominal rakyat Malaysia AS$10,878 dan harga minyak dalam dolar Amerika yang perlu dibayar, AS$0.51 seliter.
Pendapatan per kapita nominal rakyat Singapura AS$53,053 dan harga minyak dalam dolar Amerika AS$1.44 seliter.
Pendapatan per kapita nominal rakyat Australia AS$51,593 dan harga petrol AS$0.83 seliter.
Nak lebih mudah faham, saya katakan macam ini. Pendapatan seorang rakyat Singapura AS$50 dan dia kena bayar AS$1.44 untuk seliter.
Pendapatan seorang rakyat Australia lebih kurang sama dengan Singapura dan dia bayar hanya AS$0.80 seliter.
Tapi seorang rakyat Malaysia yang pendapatannya AS$10 kena bayar AS$0.51 seliter.
Pendapatan per kapita nominal Singapura 4.9 kali lebih tinggi daripada Malaysia, tapi harga minyak di Singapura hanya 2.82 kali lebih tinggi daripada di Malaysia.
Pendapatan per kapita nominal rakyat Australia 4.7 kali lebih tinggi daripada Malaysia, tapi harga minyak di Australia hanya 1.62 kali ganda lebih mahal daripada Malaysia.
Kalau harga minyak di Singapura 4.9 kali ganda lebih mahal daripada di Malaysia barulah kita kata harga di Singapura mahal dan harga di Malaysia murah.
Beban harga minyak
Jadi berdasarkan pendapatan, rakyat Malaysia terpaksa belanja lebih banyak pendapatan mereka untuk beli petrol berbanding rakyat Singapura dan Australia.
Singapura dan Australia dekat lima kali ganda lebih kaya daripada Malaysia.
Begitu jugalah kalau kita banding dengan banyak negara yang selama ini pemakan dedak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kata harga petrolnya mahal.
Sebenarnya berdasarkan tahap pendapatan per kapita kita, sama ada nominal atau mengikut Pariti Kuasa Membeli (PPP), harga bagi banyak barang pengguna di negara kita lebih mahal daripada Singapura dan negara-negara maju lain.
Maksudnya kalau kita belanja 100 unit mata wang yang serupa untuk membeli-belah di Malaysia, Singapura dan Australia, kita akan dapat lebih banyak barang di Singapura dan Australia.
Tapi kalau kita banding diri kita dengan negara yang lebih rendah pendapatan per kapita macam Indonesia, Filipina dan Thailand, betullah harga petrol kita lebih murah.
Harga minyak mentah di pasaran dunia semakin naik. Itu kita tak nafi. Malah baik untuk kita kerana kita eksport minyak mentah. Tapi kenaikannya tidaklah sampai 9.5 peratus macam kenaikan harga petrol pada 1 Februari lalu.
Alasannya, harga runcit petrol kita bukan berasaskan harga minyak mentah tapi harga minyak yang diproses. Macam-macam pulalah alasan jenis dedak yang digunakan untuk tipu rakyat jelata.
Selain kenaikan harga minyak mentah, kita juga tanggung beban kejatuhan kadar tukaran ringgit. Nilai ringgit sudah merosot lebih 20 peratus berbanding dolar.
Lagipun kita tak boleh banding dengan Singapura. Ia negara kecil. Rakyatnya kurang guna kenderaan sendiri. Mereka guna kenderaan awam. Kalau mereka guna kereta pun, jarak dari satu tempat ke satu tempat tidaklah jauh macam di Malaysia.
Jadi kalau kita kira semua faktor, khususnya tahap pendapatan, kita akan dapati harga petrol di negara kita tidaklah murah malah mahal.
Lagi mahal petrol dan lagi tinggi kos sara hidup lagi ramailah orang yang tak mampu duduk di bandar atau guna kereta. Lagi ramai duduk jauh dari bandar dan guna motosikal lagi ramailah mati atau cedera akibat kemalangan jalan raya.
Itulah yang sudah jadi dengan janji rakyat didahulukan pencapaian diutamakan.
DATUK A KADIR JASIN adalah Tokoh Wartawan Negara dan bekas ketua pengarang Kumpulan New Straits Times. Beliau kini adalah ahli majlis tertinggi BERSATU. Artikel ini pertama kali dimuat-naikkan di blognya.
Tulisan ini adalah pandangan dan pendapat peribadinya dan tidak semestinya mencerminkan mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini. Baca Seterusnya......