Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Monday, January 12, 2009

MASYARAKAT ISLAM MASIH SAMAR FALSAFAH YOGA

KEPUTUSAN Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan senaman yoga yang diamalkan secara menyeluruh dan sistematik kerana bertentangan dengan syariat Islam serta boleh memesongkan akidah umat Islam bagi sesetengah pihak sungguh mengejutkan. Bagaimanapun, Dr Abdulfatah Haron Ibrahim, tegas menyatakan yoga adalah 100 peratus daripada ajaran agama Hindu. Beliau bukan saja seorang Profesor Usuluddin dan Falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan kertas kerjanya mengenai yoga dijadikan panduan kepada pengharaman yoga, malah beliau adalah pakar yoga yang mempelajari dan mengamalkan yoga secara serius. Dr Abdulfatah berhenti selepas mendapati senaman itu bertentangan dengan Islam. Ikuti pandangannya kepada wartawan Berita Minggu, Ziauddin Sharuddin dan Siti Nur Almizan Aripin.


BOLEHKAH Dr menerangkan secara terperinci mengenai aspek yoga yang bertentangan dengan Islam?

Sebelum menjawab soalan ini, saya berpendapat kita terlebih dulu perlu memahami aspek falsafah yang mendasari isu ini, iaitu agama. Islam adalah agama samawi, iaitu agama wahyu atau agama dari langit dengan Nabi Muhammad SAW diutuskan oleh Allah SWT untuk menyebarkan agama ini. Islam adalah agama yang mengatasi akal. Walaupun mempunyai akal, tetapi kemampuan manusia terhad dan tidak dapat melebihi had itu. Sebagai contoh, manusia tidak boleh menyatakan dengan pasti lokasi sempadan langit. Jika ada sempadan, apakah pula di sebalik langit?

Manusia tidak boleh jawab, tetapi al-Quran menjawab persoalan ini dengan menyatakan ada tujuh lapisan langit dan di sebalik langit ada arasy dan syurga. Ini adalah perkara ghaib yang orang Islam percaya kerana dinyatakan dalam peristiwa israk mikraj, iaitu perjalanan Nabi Muhammad SAW dari bumi naik ke langit hingga Sidratul Muntaha. Peristiwa ini juga adalah antara mukjizat Rasulullah SAW.

Yoga mempunyai kitab suci seperti Bhagavad Gita, tetapi siapa yang tulis? Ada saintis Barat mengkritik sumber agama Hindu yang mempunyai perkara samar-samar. Memang benar agama Hindu adalah lebih awal ribuan tahun berbanding Islam, tetapi ada pelbagai kontroversi dalam kitab itu yang diragui dan nilainya tidak sama dengan al-Quran.

Siapakah pengasas agama Hindu yang tidak mempunyai nabi. Apabila tidak ada nabi, tetapi berfikir mengenai perkara yang di luar kemampuan orang biasa faham, ini adalah falsafah, iaitu mengenai sesuatu hakikat di sebalik alam nyata atau metafizik. Kesimpulannya, Islam adalah agama samawi yang mempunyai nabi, manakala Hindu adalah agama falsafah yang tiada nabi.

Apakah aspek lain yang perlu difahami berhubung isu ini?

Aspek kedua ialah demokratik dan aristokratik. Islam adalah agama demokratik. Dalam antropologi, ada tujuh fenomena sosial, iaitu politik, ekonomi, sosial, sains, falsafah, kesenian dan agama. Konsep fenomena sosial berbeza antara Barat dan Islam. Dalam Islam, semua fenomena sosial tertakluk kepada hukum syariat agama Islam. Oleh itu, timbul hukum wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Seluruh kehidupan orang Islam 24 jam sehari semalam terikat dengan hukum itu.

Islam itu demokratik. Nilai kemuliaan pada pandangan orang Melayu adalah berdasarkan beberapa aspek seperti bangsawan, gelaran dan nama baik. Hukum syarak pula melihat kemuliaan pada ketakwaan, istiqamah, beriman dan beramal.
Hindu pula adalah agama aristokratik. Ada empat kasta tetapi sebenarnya ada lima kerana yang kelima tidak termasuk dalam kasta. Saya memetik kenyataan majalah National Geographic dan Understanding Oriental Philosophy, iaitu sejak 1,500 tahun lalu, masyarakat kasta di India percaya ketentuan sejak azali bahawa manusia yang dilahir di dunia ini adalah tidak sama. Mereka terpaksa masuk ke dalam satu daripada empat kasta.

Dari kepala adalah kasta brahman, dari tangan adalah kesatria (pemerintah dan tentera), dari paha adalah vaisya (saudagar dan peniaga) dan dari kaki adalah sudhra (buruh). Walaupun Mahatma Gandhi adalah pejuang kemerdekaan India, beliau adalah dari vaisya menyebabkan orang dari kasta brahman dan kesatria tidak boleh tunduk kepadanya. Di India, orang yang mengamalkan yoga adalah dari kasta brahman dan kesatria.

Kembali kepada persoalan dasar, apakah yang menyebabkan yoga boleh menggugat akidah umat Islam?

Dalam agama Hindu, manusia pada mulanya bersatu dengan tuhan. Kemudian muncul eon (legenda), suatu benda yang menjauhkan sedikit demi sedikit manusia dari tuhan hingga mereka lupakan tuhan. Ini menyebabkan manusia perlu melawan nafsu hasil daripada eon itu. Yoga yang bermaksud 'yuj' adalah satu bentuk amalan kerohanian Hindu dan juga Buddha yang sebenarnya adalah serpihan daripada agama Hindu.

Pengamal yoga yang dipanggil yogin berusaha membebaskan fikiran untuk mencapai samadhi atau bersatu dengan brahma. Ini adalah falsafah yoga, iaitu bersatu dengan brahma, perkara yang jelas bertentangan dengan Islam.

Berdasarkan matlamat senaman yoga yang mahu bersatu dengan brahma, sebab itu adalah janggal jika ada bukan Hindu terikut-ikut, sedangkan ada banyak senaman lain.

Timbul persoalan di kalangan segelintir pihak mengenai bagaimana melakukan yoga bertentangan dengan Islam?

Segelintir pihak yang membantah keras mendakwa 'kami tidak menjadi Hindu pun.' Nasihat saya, tidak ada pihak yang boleh pertikaikan kerana tiada jaminan pengamal senaman itu tidak terjebak ke dalam mantera atau elemen falsafahnya. Bolehkah mereka memberi jaminan? Dalam satu laporan media massa, seorang pengamal yoga menunjukkan satu gerakan yoga, tetapi itu bukan yoga tetapi senaman biasa. Orang itu keliru antara senaman biasa dan yoga.

Mungkin kepada orang ramai, apabila disebut senaman yoga ialah asana yoga. Asana bermaksud posisi tubuh (postures) yang sebenarnya bukan hanya gerakan badan dan cara pernafasan, tetapi membabitkan akidah umat Islam.

Ada pelbagai jenis senaman asana yoga. Ada yang kata 84 dan ada yang kata 32 jenis asana yoga. Saya kemukakan beberapa contoh asana yang setiap posisi tubuh mempunyai makna.

Padmasana, iaitu melambangkan keheningan, kejernihan dan keyakinan diri. Dalam mitos kejadian brahma, dia dikatakan terbit dari bunga teratai yang keluar dari pusat vishnu. Yuga-Mudra pula adalah asana yang melambangkan sujud kepada tuhan yang jelas membabitkan perkara agama atau ketuhanan.

Garudasana, iaitu nama burung khayalan berkepala rupa manusia tunggangan tuhan vishnu apabila naik ke langit. Vishnu biasanya digambarkan dengan bunga teratai. Contoh asana yang saya katakan ini menunjukkan wujud unsur agama Hindu-Budha, iaitu bunga teratai, asana sujud dan asana garuda.

Bagaimana pula dengan jenis yoga lain?

Selain asana, ada lima lagi jenis yoga, iaitu hatha, karma, bhakti, jnana dan raja.

Hatha adalah gabungan ha yang bermaksud matahari dan tha yang bererti bulan. Ini bermaksud menyatukan matahari dan bulan melalui jalan pernafasan. Yoga ini semata-mata mengenai fizikal. Hatha bermaksud menguasai pemikiran melalui cara pernafasan tertentu.

Karma ialah yoga sebab musabab, iaitu untuk melatih hidup tidak mementingkan diri, berkhidmat untuk manusia, masyarakat dan negara di mana anda berada. Yoga ini adalah latihan penyucian diri dan melalui meditasi, mengangkat darjat diri ke tahap tertinggi. Hasil latihan ini menjadikan hati lembut dan melayakkan diri mengamalkan bhakti.

Bhakti adalah yoga ibadat atau yoga cinta ilahi. Dengan ini terbuka hati dan akal kepada martabat kehidupan tertinggi, mengajar beribadat kepada tuhan dan menyerah diri sepenuhnya kepada tuhan.

Jnana melayakkan kita memeriksa diri dengan minda yang terlatih dan daya tinggi melakukan penumpuan kepada hikmat manusia berada di dunia, manakala raja sebagai lanjutan mengenai intuition yang membawa kita kepada maha mutlak. Raja yoga membimbing seorang pengamal yoga (yogin) mencapai samadhi (bersatu) tertinggi, boleh bersatu dengan mutlak (brahma).

Bagaimana mantera yang dilafazkan ketika mengamalkan senaman membahayakan akidah?

Dalam agama Hindu, 'om' dikatakan kalimah kekuasaan maha suci, mantera paling handal berbanding yang lain. Dalamnya terkandung segala nama tuhan dan mengandungi banyak rahsia terpendam. Cara menyebut kalimah ini hendaklah dikeluarkan daripada belakang kerongkong, dihembus ke mulut, keluar dari mulut dan selesai apabila bibir tertutup huruf 'm' yang terhenti dan dengungan bunyi suara berterusan. Ini membabitkan semua anggota yang mengeluarkan perkataan dan suara yang mengandungi banyak nama tuhan.

Aum pula adalah mengandungi 'a' yang melambangkan kejadian terkandung dalam diri brahma, u melambangkan vishnu, tuhan pemelihara dan m ialah shiva yang melambangkan tuhan pembinasa. Brahma, vishnu dan shiva adalah satu dalam tiga dan digelar trimurthi atau tetiga. Bagaimanapun, ada banyak lagi tuhan atau dewa Hindu dan sukar dikira.

Alasan yang diberikan pengamal yoga ialah mereka melakukannya semata-mata untuk kebaikan kesihatan?

Jika yoga baik untuk kesihatan, mungkin WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) akan mengeluarkan kenyataan bahawa jika hendak melihat model orang yang sihat adalah pergi ke India kerana mereka bersenam yoga dan sihat. Perkara itu tidak berlaku. Ini yang menyebabkan saya menulis mengenai yoga. Saya cuma membuat perbandingan dan pembaca jika faham, fahamlah. Maksud saya, fikirlah sendiri sama ada yoga bagus atau tidak.

Saya mengemukakan kes ini kepada pihak berkuasa agama kerana seseorang menimbulkan perkara yoga yang saya bantah kerana ia adalah perkara Hindu. Di antara hujah saya ialah siapakah yang boleh menjamin apabila (pengamal yoga) disuruh bernafas dan sebut om ... aum. Selain itu, adakah pengajar Yoga adalah seorang Islam yang betul-betul Islam atau bukan Islam. Batas senaman yoga ialah jika setakat menggerakkan badan semata-mata tiada mantera atau lain-lain, jika larat buatlah.

Jika pengamal yoga menyatakan bahawa dua atau tiga jenis penyakit dapat diubati, saya hendak kata ini belum boleh dijadikan kaedah yang boleh diterima pakai oleh semua orang. Kenyataan itu adalah pengalaman peribadi. Jika betul-betul serius, pergilah ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) atau mana-mana badan lain untuk membuat penyelidikan.

Saya juga mengikuti sejarah pengubatan India sebagai pengetahuan umum. Saya mendapati India mengeksport ubat herba tradisional, ayurveda namanya dan bukan yoga.

Persoalannya jika yoga berusia ribuan tahun, mengapa orang India sendiri tidak bercakap mengenai senaman yoga boleh menyembuhkan penyakit tertentu. Sepatutnya nyatakan bahawa senaman yoga memberi faedah kepada kesihatan, tetapi mengapa orang India yang berpengalaman dengan sejarah begitu lama tidak menyebut mengenai yoga.

Masyarakat berpendapat yoga baik untuk kesihatan. Mereka melakukan senaman tanpa mantera. Buku mengenai yoga juga banyak di pasaran dan tidak memasukkan mantera?

Yoga adalah 100 peratus daripada ajaran Hindu. Bagi menjawab soalan ini, secara analogi saya nyatakan bahawa arak haram kerana memabukkan. Ada orang menyanggah dengan menyatakan tidak mengapa minum sedikit arak kerana tidak memabukkan. Benar! Tetapi arak tetap arak dan hukumnya haram.

Begitu juga dengan yoga yang haram kerana mengamalkan ajaran Hindu. Walaupun diamalkan sedikit tetapi yoga tetap yoga.

Memang benar di pasaran tempatan ada banyak buku yoga, tetapi masyarakat tidak mendapat gambaran tepat kerana maklumat dalam kebanyakan buku bahasa Inggeris mengenai yoga terhad kepada aspek tertentu, tetapi buku itu menggunakan nama yoga.

Gambaran mengenai yoga yang tidak lengkap menyebabkan masyarakat melenting apabila mendengar fatwa mengharamkan yoga. Saya terfikir juga, adakah orang Melayu membaca buku yoga yang lengkap. Saya fikir tiada atau adakah buku itu dijual di pasaran. Mungkin ada, tetapi adakah betul-betul yoga yang lengkap.

Bagaimana amalan senaman (posture) yoga jika dilakukan boleh menyebabkan pengamalnya terpengaruh atau terjejas akidah?

Secara asasnya, posture mempunyai meditasi. Ketika meditasi, kita diajar mengenai maksud perkataan om atau aum dan menggunakan intuition (ilmu yang terus datang ke hati daripada tuhan). Dalam Theory of Knowlegde, manusia tahu melalui senses (pancaindera) . Kedua, melalui perantara yang bagi orang Islam adalah al-Quran dan hadis. Ketiga adalah melalui akal. Keempat dan yang dipertikaikan adalah manusia mengetahui melalui intuition (ilham laduni).

Intuition sebagai sumber pengetahuan menimbulkan debat yang berpanjangan dan tiada penyelesaian. Akidah Islam menolak intuition sebagai sumber pengetahuan kerana tidak meyakinkan dan tidak dapat dikongsi bersama.

Dalam kitab Jawi disebut sebagai ilham laduni, tetapi akidah Islam tidak menerimanya. Tasawuf menerimanya. Kita boleh mengguna lima pancaindera yang sihat, kita boleh menggunakan akal yang sihat dan normal serta boleh menggunakan al-Quran dan hadis. Intuition datang sekali-sekala ke dalam hati orang tertentu dan berbeza mengikut individu. Oleh itu, kita tidak boleh menjadikan intuition sebagai sumber ilmu untuk semua golongan.

Dalam kes yoga, jika tiada intuition, maka tidak ada yoga. Apabila ada intuition, meditasi dilakukan hingga sampai ke tahap nirguna brahman, tahap yang tidak wujud perbezaan dan segala-galanya adalah satu. Jika sampai ke tahap itu, Hindu adalah agama falsafah. Tidak semua akal manusia boleh menguasai pemikiran.

Adakah masalah yang berlaku ini kerana pemahaman umat Islam sendiri terhadap pengertian akidah yang tidak difahami sepenuhnya. Main cakap dan buat sesuka hati tanpa memikirkan tindakan boleh menjejaskan akidah?

Barangkali mereka bercakap dengan perkataan yang menyerupai agama lain (sembahyang atau apa saja). Perkataan atau sangka dalam hati, maka terjejas akidah seseorang. Jika dia tidak tahu? Maknanya suatu masalah besar. Tidak semua orang alim dan kadang-kadang alim itu juga terbatas. Masalah ini tidak boleh kita jawab dalam ruangan terbatas ini.

Secara mudah, kita beritahu saja bahawa menjejaskan iman itu tiga perkara iaitu iktikad di hati, dengan perbuatan dan perkataan yang menyalahi akidah syariah Islam.

Jika kita buat secara sedar tetapi tidak tahu, jangan hendak cuba sama sekali. Saya rasa setiap individu boleh membezakannya, oleh itu setiap anggota masyarakat perlu mengambil tahu. Dalam masyarakat Melayu seperti di kampung, semua penduduk tahu, terutama penghulu dan imam. Kepemimpinan kampung perlu mengambil tahu hal anak buah.

Ini tidak berbeza di bandar. Masing-masing perlu mengambil tahu antara satu sama lain. Kita tidak boleh hidup terpencil. Apabila terperinci dan timbul tanda tanya seperti ini (isu yoga), bertanyalah kepada orang yang tahu.

Dalam isu yoga, sesetengah orang memberi komen berdasarkan lidah tidak bertulang, bukan ilmu pengetahuan. Apakah bahayanya jika ini berlaku?

Kita sudah tahu sekarang, mana yang boleh dan tidak boleh. Jika yoga menimbulkan kontroversi, kita boleh memilih senaman lain. Di Bandar Baru Bangi, suri rumah yang tidak bekerja atau pesara menubuhkan badan berlatih senaman Cina seperti tai chi, watakung dan chikung yang tidak membabitkan unsur agama.

Tetapi yoga mempunyai latar belakang yang dipertikaikan, iaitu kaitan dengan agama Hindu-Buddha yang kita tidak tahu selama ini. Sekarang sudah heboh dan kita tahu perkara sebenar, jadi pilih senaman lain.

Jika senaman biasa, orang kampung setahu saya tidak memerlukan senaman kerana bekerja menggunakan tulang empat kerat, tapi orang bandar semua menggunakan mesin yang menjadikan mereka pemalas. Ramai menjadi buncit dan gemuk.

Ada kemungkinan kritikan terhadap pengharaman yoga mempunyai kaitan dengan perniagaan berkaitan yoga. Akur terhadap fatwa bermakna sedikit sebanyak menjejaskan perniagaan.

Ini adalah antara faktor yang menyebabkan yoga merebak kerana bertujuan untuk mencari keuntungan.

Saya andaikan perniagaan itu (berkaitan yoga) tidak besar. Jika tidak besar, ada lagi perniagaan lain yang boleh diusahakan. Jika sudah membahayakan masyarakat, lebih baik tidak diusahakan. Pada saya, kita mesti tahu dan belajar ilmu yoga untuk dijadikan sempadan. Mengetahui ilmu yoga boleh dianggap sebagai fardu kifayah supaya kita tahu untuk dijadikan sempadan dan bukan untuk diamalkan.

Pengajaran yang boleh dipelajari daripada isu ini?

Adakah kita hendak mendidik orang lain. Pada saya, kita tidak boleh hanya berkata 'jangan.' Jika kita kata 'jangan,' ini gantinya. Sekarang jika rakyat yang mahukan senaman tertarik dengan yoga dan pihak tertentu mendapati yoga mempunyai kaitan dengan agama, cari alternatif lain yang tidak terbabit dengan agama.

Sekarang tuan-tuan, orang Islam saja, ini alternatifnya (merujuk kepada senaman alternatif mengganti yoga). Barangkali pendidikan jasmani saja sudah cukup. Apa yang saya maksudkan, kita boleh mencadangkan kepada pihak berkuasa agama supaya menyediakan alternatif agar tempat yang kosong itu tidak lompang.

Oleh: Dr Abdulfatah Haron Ibrahim

0 comments: