Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Wednesday, June 17, 2009

Bahaya Menggunakan Botol Plastik Dan Bekas Polisterin

Kecenderungan penduduk negara ini menggunakan botol air mineral plastik secara berulang kali untuk menjimatkan kos, sebenarnya boleh mengundang maut.
Ini kerana kajian menunjukkan penggunaan botol dan pembungkus plastik polyvinyl
chloride (PVC) berulang kali akan mendedahkan penggunanya terhadap unsur kimia seperti 'vinyl cloride monomer' (VCM) dan 'phthalates'. VCM dikenalpasti mengandungi karsinogen yang boleh menyebabkan barah.


Pensyarah Kesihatan Persekitaran di Jabatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti
Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Jamal Hisham Hashim,
berkata botol plastik air mineral atau minuman ringan hanya boleh digunakan
semula sekali atau dua sebelum dibuang.

"Selain VCM dan phthalates, bekas plastik mengandungi bahan logam berbahaya
seperti kadmium yang digunakan sebagai 'plastisizer' iaitu untuk meningkatkan
kualiti plastik supaya warnanya cerah dan tidak kekuningan biarpun lama
digunakan. Penggunaan secara berulang boleh menyebabkan kadmium di dalamnya
terhakis dan mencemarkan makanan atau minuman," katanya.

"Pembungkus makanan daripada bahan PVC sepatutnya tidak boleh mengandungi lebih
daripada satu miligram per kilogram (mg/kg) VCM.

"Makanan yang dibungkus dengan PVC dan dicemari VCM melebihi 0.05mg /kg tidak
sesuai dimakan kerana boleh mendatangkan kesan mudarat pada kesihatan," katanya.

Dr Jamal berkata, beg plastik makanan diperbuat daripada polyethylene (PE) dan
PE tidak mengandungi VCM. Jadi penggunaannya tidak menyebabkan barah, namun
masih tidak sesuai digunakan berulang-ulang.

Katanya, botol minuman diperbuat daripada polyethylene terephthalate (PET)
selamat digunakan dalam keadaan biasa, namun memanaskannya boleh mengeluarkan
'phthalates'.

Phthalates disyaki boleh meniru hormon manusia, tetapi ia tidak menyebabkan
barah, namun ia boleh mengganggu fungsi hormon manusia.

"Jika peraturan ini tidak dipatuhi, ia boleh mendatangkan kesan negatif kepada
pengguna. Peraturan mengenai pembungkus dan bekas makanan daripada PVC
terkandung di dalam Akta Makanan 1983 dan Peraturan Makanan 1985.

"Namun tidak ramai menyedarinya kerana kesedaran terhadap penggunaan barangan
plastik untuk pembungkusan atau menyimpan makanan atau air masih rendah,"
katanya.

Dr Jamal berkata, penggunaan botol plastik mengundang bahaya lain seperti
jangkitan kuman kerana bakteria boleh membiak berikutan bahan itu sukar dicuci
bersih dan melekat daki.

"Jika ragu-ragu mengenai jenis plastik yang boleh digunakan secara berulang
untuk menyimpan makanan, sila rujuk kepada Bahagian Kawalan Mutu Kementerian
Kesihatan," katanya.

Kenyataan Dr Jamal mengesahkan laporan Buletin Pengguna mengenai bahaya
penyalahgunaan botol plastik serta bekas makanan diperbuat daripada stirofom
dan polisterin.

Buletin itu diterbitkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal
Pengguna (KPDNHEP) dengan kerjasama Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia
(Fomca).

Pengarah Komunikasi Fomca yang juga Timbalan Ketua Sidang Pengarang Buletin
Pengguna, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata pihaknya mengetengahkan bahaya
penggunaan botol plastik berulang kali kerana ramai menggunakan botol air
mineral sebagai bekas minuman di dalam peti sejuk.

"Lebih berbahaya, ramai menjadikan botol itu sebagai bekas minuman anak ke
sekolah, bekal ke pejabat atau untuk beriadah. Sedangkan botol berkenaan hanya
boleh digunakan sekali atau dua atau paling lama seminggu sebelum perlu
dibuang," katanya.

Mohd Yusof berkata, kurang pengetahuan dan kesedaran menyebabkan banyak lagi
amalan rakyat negara ini mendedahkan mereka kepada pelbagai penyakit kronik.

Katanya, penggunaan kertas akhbar dan majalah, selain bekas makanan diperbuat
daripada stirofom atau polisterin, juga boleh mengakibatkan tersebarnya logam
ke dalam tubuh.

"Kertas akhbar dan majalah mengandungi timah hitam melebihi had dibenarkan.
Apabila timah hitam ini ada dalam tubuh, ia masuk ke saluran pernafasan dan
pencernaan, seterusnya sistem peredaran darah sebelum tersebar ke bahagian lain
seperti ginjal, hati, otak, saraf dan tulang. Ini cukup berbahaya dan tidak
boleh dijadikan pembungkus makanan.

"Bahan pembungkus stirofom dan polisterin pula kini cukup popular, tetapi
kajian mendapati ia mengandungi bahan unsur karsinogen," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn Bhd, Mohamed Siraj Razack, turut memberi
amaran mengenai bahaya penggunaan botol plastik, bekas menyimpan makanan serta
bahan pembungkus jenis stirofon atau polisterin yang disifatkannya pembunuh
senyap.

"Bahan berasaskan plastik itu boleh digunakan sekali dua saja. Jika dibasuh
berulang kali, bahagian dalamnya terhakis dan mengeluarkan bahan kimia yang
memudaratkan kesihatan," katanya.

Mohamed Siraj berkata, bahan kimia dalam bekas plastik mudah terhasil apabila
terkena cahaya matahari, misalnya botol mineral bagi mengisi air minuman yang
ditinggalkan dalam kereta.

"Bekas plastik terbabit sepatutnya dikitar semula untuk dijadikan barangan
berasaskan plastik lain yang tiada kaitan dengan makanan.

"Sebaiknya, untuk menyimpan makanan atau minuman, gunakan bahan dibuat khusus
untuk digunakan berulang kali, misalnya termos atau jenis plastik tahan panas
dan khusus untuk menyimpan makanan," katanya.

Mohamad Siraj berkata, kepanasan makanan atau minuman yang disimpan dalam bekas
plastik tertentu juga boleh menghasilkan bahan kimia yang memudaratkan
kesihatan, misalnya amalan minum teh tarik bungkus.

"Teh tarik seeloknya diminum menggunakan cawan kerana wap yang keluar daripada
plastik pembungkus yang bercampur dengan teh boleh menyebabkan tindak balas
kimia.

"Kari panas dibungkus menggunakan bahan plastik juga amalan tidak baik dan
kesannya sama seperti teh tarik bungkus," katanya.

Mohamed Siraj berkata, semua barangan plastik diterima oleh pusat kitar semula.
Sehubungan itu, kesedaran terhadap bahaya penggunaan bekas plastik secara
berulang akan mengalihkan perhatian pengguna untuk mengitar semula barangan
terbabit dalam menjaga alam sekitar.

0 comments: