Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Saturday, October 31, 2009

Kanak2 Dan Penyakit Diabetes (Kencing Manis)

DIABETES merupakan antara penyakit kronik yang paling biasa menyerang kanak-kanak. Ia boleh menyerang pada mana-mana usia, termasuk bayi dan kanak-kanak kecil.

Jika tidak dikesan dari peringkat awal di kalangan kanak-kanak, penyakit ini boleh menyebabkan kecederaan otak yang serius dan juga boleh membawa maut.

Namun, penyakit diabetes di kalangan kanak2 sering kali terlepas pandang sepenuhnya, sama ada salah diagnosis sebagai selesema atau tidak didiagnosis langsung.

Setiap ibu bapa, guru, jururawat sekolah, doktor mahupun sesiapa sahaja yang terlibat dalam penjagaan harian kanak-kanak perlu prihatin dan membiasakan diri mengenali tanda-tanda amaran ancaman diabetes kanak-kanak.

Jenis Diabetes

Diabetes adalah sejenis penyakit kronik yang boleh menyebabkan hilang upaya dan sering membawa maut (akibat komplikasi).

Ia berlaku akibat daripada masalah dalam pengeluaran dan bekalan hormon insulin di dalam badan.

Badan memerlukan insulin untuk menggunakan tenaga yang tersimpan di dalam makanan. Apabila seseorang menghidap diabetes, badan mereka tidak dapat menghasilkan insulin yang cukup (diabetes jenis pertama) atau badan mereka gagal menggunakan insulin yang dihasilkan dengan berkesan (diabetes jenis kedua).

Diabetes jenis pertama adalah sejenis penyakit autoimun (sistem imuniti badan menyerang sel sendiri) dan tidak boleh dicegah.

Di seluruh dunia, diabetes jenis pertama adalah jenis diabetes yang paling banyak menyerang kanak-kanak dengan anggaran sekitar 500,000 kanak-kanak di bawah umur 15 tahun menghidapinya.

Bagaimanapun, akibat daripada peningkatan kadar obesiti di kalangan kanak-kanak dan gaya hidup yang lebih banyak duduk daripada bergerak, bilangan kanak-kanak dan remaja yang menghidap diabetes jenis kedua juga meningkat dengan pantas di seluruh dunia.

Di sesetengah negara (seperti Jepun), diabetes jenis kedua telah menjadi diabetes yang paling banyak berlaku di kalangan kanak-kanak, mengatasi jenis pertama.

Lindungi kanak-kanak

Tiada kanak-kanak yang sepatutnya mati akibat penyakit diabetes. Ianya satu penyakit yang membawa maut dengan empat juta kematian setiap tahun akibat masalah berkaitan dengan diabetes.

Kanak-kanak seringkali menjadi mangsa, terutamanya di negara-negara yang kurang kemudahan penjagaan dan rawatan diabetes, sering kali, menemui ajal pada usia muda.

- Sekitar 500,000 kanak-kanak di bawah umur 15 tahun menghidap diabetes jenis pertama di seluruh dunia.- Setiap hari, 200 orang kanak-kanak disahkan menghidap diabetes jenis pertama.

- Setiap tahun, 70,000 kanak-kanak di bawah umur 15 tahun disahkan menghidap diabetes jenis pertama.- Bilangan kes diabetes jenis pertama di kalangan kanak-kanak sedang meningkat pada kadar tiga peratus setahun.

- Peningkatan kes diabetes jenis pertama paling tinggi di kalangan kanak-kanak di bawah umur persekolahan pada kadar lima peratus setahun.

- Finland, Sweden dan Norway mempunyai kadar kes diabetes jenis pertama di kalangan kanak-kanak yang tertinggi di dunia.

- Diabetes jenis kedua telah dilaporkan di kalangan kanak-kanak seawal usia lapan tahun dan laporan terkini menunjukkan diabetes dikesan di kalangan kanak-kanak yang sebelum ini dianggap tidak berisiko.

- Di kalangan penduduk pribumi di Amerika Syarikat, Kanada dan Australia, terdapat sekurang-kurangnya seorang penghidap diabetes muda daripada 100 kanak-kanak. Dalam sesetengah komuniti, terdapat satu penghidap diabetes muda bagi setiap 25 kanak-kanak.

- Lebih separuh kanak-kanak yang menghidap diabetes mengalami komplikasi dalam tempoh 15 tahun.

- Kajian global menunjukkan diabetes jenis kedua boleh dielakkan dengan membolehkan individu menurunkan antara tujuh hingga 10 peratus berat badan mereka, di samping meningkatkan kadar aktiviti fizikal mereka kepada tahap sederhana.

- Diabetes jenis kedua di kalangan kanak-kanak kini menjadi satu ancaman kesihatan umum dan berpotensi menyebabkan masalah serius kelak.- Diabetes jenis kedua menyerang kanak-kanak di negara membangun dan juga negara maju.

0 comments: