Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Wednesday, November 4, 2009

UMNO (BN) Dalangi Tindakan JAIS - YB Khalid Samad


Ahli parlimen Shah Alam tersepit apabila didakwa mempunyai "rekod jenayah" tetapi sehingga kini gagal mendapatkan penjelasan polis berkenaan perbuatan jenayah yang telah dilakukannya.

Akibat "rekod jenayah" beliau itu, Khalid Samad tidak diberikan tauliah menyampaikan kuliah agama di Selangor walaupun beliau mendapat kelulusan awal daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Dalam surat jabatan itu bertarikh 10 Julai 2008, pemimpin PAS itu diberikan tauliah mengikut kategori-kategori D1 (boleh mengajar atau berceramah) dan D2 (mengajar fardhu ain atau berkitab).

Kebenaran itu bagaimanapun dibatalkan olej Jais dalam suratnya 28 Oktober 2008 susulan tapisan keselamatan polis Selangor mendapati Khalid, adik kandung bekas menteri Datuk Shahrir Samad, mempunyai "rekod jenayah."

Setelah Khalid meminta penjelasan dalam suratnya hujung September lalu, polis Selangor berkata semakan polis Bukit Aman mendapati beliau mempunyai "rekod jenayah".

Jenis jenayah yang didakwa dilakukan oleh bekas ahli jawatankuasa pusat PAS itu tidak pula dinyatakan dalam surat ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Selangor bertarikh 27 Oktober 2009 kepada beliau - yang diterima semalam.
'Jelaskan apa rekod saya...'

Bercakap dalam sidang media di Shah Alam hari ini, Khalid menulis kepada IPK untuk mendapatkan butiran mengenai "jenayahnya" itu.

"Saya minta mereka jelaskan, apa rekod saya... Tetapi saya difahamkan mereka tidak dapat beri rekod untuk orang perseorangan, walaupun yang minta itu tuan punya badan sendiri," katanya.

Sebaliknya, kata beliau, polis memintanya menghubungi Jais untuk mendapatkan butiran berkenaan.

"Ini aneh. Apa hal Jais nak tanya rekod jenayah untuk saya. Sepatutnya kalau saya ada rekod jenayah, kononnya, saya tanya pada polis apa rekodnya, dia beritahu sayalah," katanya.

Beliau juga menyifatkan tindakan Jais tidak meluluskan permohonannya untuk mendapatkan tauliah "terlalu berbau politik."

"Saya ini dalam keadaan tersepit. Nak dapatkan penjelasan daripada Bukit Aman pun tak boleh, nak buat rayuan kepada (Jais) pun tak boleh dan ini bagi saya sesuatu yang terlalu berbau politik," katanya.

Beliau mendakwa, Jais telah mengambil tindakan yang mempunyai unsur politik apabila menggunakan hak dan bidang kuasanya untuk menyekat penceramah yang telah lulus ujian kelayakan sepertinya.

'Saya lulus temuduga'

"Kalau nak ambil tindakan bukan atas sebab tak ada tauliah tapi ambil tindakan atas ajarannya tak betul. Dan ianya perlu dibuktikan di mahkamah.

"Tapi bila ada (sistem) tauliah ini, dia ada kuasa untuk menghalang. Atas apa sebab sekalipun, ia tidak boleh dipertikaikan (kerana) ia merupakan hak dan kuasa mutlak (Jais) dan ini terdedah pada disalahguna.

"Hakikatnya saya telah lulus temuduga di (Jais). Maknanya kemahiran atau kemampuan atau layaknya saya untuk menyampaikan khutbah dan tazkirah tidak dipertikaikan dari segi agamanya, " kata Khalid..

Menurutnya lagi, ajaran Islam yang dibawa oleh penceramah-penceramah dalam PAS sepertinya, juga tidak berbeza daripada ajaran daripada penceramah yang ditauliahkan Jais.

"Orang macam Tok Guru Nik Aziz dan sebagainya ada keterlibatan dia dalam politik sebagai pimpinan utama PAS. Tetapi benda-benda ini semua sepatutnya tidak diambil kira.

"Saya rasa mereka juga tahu bila mereka mengajar agama, mereka juga tidak timbulkan isu PAS-Umno dan sebagainya. Atas platform ceramah politik barulah begitu," katanya.

Khalid berkata, beliau sendiri tidak membawa mesej politik ketika menyampaikan khutbah, tetapi sebaliknya membawa mesej ajaran Islam secara umum.

Malaysiakini difahamkan, Khalid telah menyampaikan khutbah Jumaat di kira-kira 20 masjid dan surau di sekitar Shah Alam semenjak dipilih menjadi wakil rakyat pada Mac tahun lalu.

Menurutnya lagi, beliau berharap menteri besar akan memanggil mesyuarat dengan exco Selangor untuk mengkaji perubahan-perubahan yang boleh dilakukan ke atas proses pentauliahan penceramah agama.

"Memang (Jais) di bawah (Majlis Agama Islam Selangor) yang terletak bawah Sultan. Tetapi kerajaan negeri pun ada exco agama yang ada peranan," katanya lagi. -malaysiakini

Sumber MalaysiaKini

0 comments: