Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Friday, January 30, 2015

Malaysia isytihar 239 penumpang & anak kapal MH370 meninggal dunia


SHAH ALAM, 29 JAN: Kerajaan Malaysia mengumumkan semua 239 penumpang dan anak kapal pesawat MH370 dianggap sudah meninggal dunia.

Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman mengumumkan perkara itu dalam satu rakaman yang disiarkan melalui RTM, jam 6 petang semalam.

Azharuddin berkata, pengisytiharaan itu akan dapat membantu waris mangsa mengemukakan tuntutan ganti rugi mereka.

Katanya, Malaysia menganggap penumpang itu tidak mungkin akan dapat terus hidup di kawasan pencarian, di selatan Lautan Hindi, selepas 327 hari berlalu.

“Maka, dengan berat hati dan penuh dukacita, bagi pihak Kerajaan Malaysia, kami dengan rasminya mengisytiharkan bahawa penerbangan Malaysia Airlines MH370 adalah satu kemalangan.

“Semua 239 orang penumpang dan anak kapal dalam penerbangan MH370 kehilangan nyawa mereka,” katanya yang dipetik Malaysia Kini.

Beliau berkata, pengisytiharaan itu dilakukan mengikut piawai Konvensyen Chicago.

Sidang media anjuran DCA itu sepatutnya diadakan, pada jam 3.30 petang di Putrajaya, namun dibatalkan ekoran kehadiran waris penumpang di majlis taklimat, kata DCA dalam kenyataannya, hari ini.

Anggota keluarga mengeluarkan kenyataan menggesa kerajaan Malaysia tidak membuat kesimpulan melulu berhubung isu itu, semalam.

Pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang hilang ketika dalam perjalanan daripada Kuala Lumpur ke Beijing, pada Mac lalu dan sehingga kini belum dapat dikesan.

0 comments: