Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Sunday, December 4, 2016

Perhimpunan Rohingya Serlah Kemunafikan PAS, UMNO

Sumber Kelab GB

Image result for himpunan solidariti Rohingya 4 dec
"Membisu di dalam Parlimen – beraksi aktif berdemonstrasi di luar"

1. Keputusan Kerajaan Malaysia dan pimpinan Barisan Nasional bersama PAS untuk mengadakan himpunan besar-besaran pada 4 Disember 2016 tentang isu pembunuhan beramai-ramai Muslim Rohingya, walaupun pada prinsipnya baik, tetapi membingungkan. Adakah UMNO sebagai parti pemerintah hanya mampu sekadar berdemonstrasi? Adakah mereka lupa mereka kerajaan dan sebagai kerajaan mereka wajib melakukan lebih dari berdemonstrasi!

2. Isu pembunuhan kejam rakyat Islam Rohingya sudah lama berlaku dan Kerajaan Malaysia lesu dalam isu ini di atas berbagai alasan tidak munasabah. Kenapa dan bagaimana mereka sekarang membuat keputusan untuk mengadakan himpunan ini agak menghairankan dan tidak konsisten dengan kenyataan dan juga pendirian kerajaan di Parlimen baru-baru ini.


3. Pada 24hb November 2016, saya sebagai Ahli Parlimen Kuala Terengganu telah membawa usul di bawah 19 (a) untuk membahaskan isu pembunuhan orang Islam Rohingya di Myanmar.

Bagaimanapun, Speaker Dewan telah menolak usul tersebut atas alasan ia akan “mencampuri hal Negara lain”. Saya dan beberapa lagi ahli Parlimen pembangkang telah menggesa ia dibenarkan kerana pentingnya dan seriusnya isu pembunuhan beramai-ramai Islam Rohingya yang melibatkan tentera Myanmar. Dewan Mulia Parlimen adalah forum terbaik untuk membahas dengan teratur demi mendengar pendirian dan tindakan yang ingin dicadangkan untuk diambil kerajaan dari ahli-ahli Parlimen Malaysia baik dari Kerajaan atau pembangkang.

4. Tidak sampai seminggu setelah usul yang di bawa di Parlimen ditolak, Kerajaan dan Perdana Menteri sendiri pula mencadangkan himpunan besar-besaran untuk membantah apa yang berlaku di Myanmar. Adakah mereka ikhlas dalam bantahan mereka ini? Sedangkan membahas usul mengutuk kezaliman ini di Parlimen adalah jauh lebih bermakna dan peluang ini telah pun dinafikan apabila usul ditolak di Parlimen pada 24 November.

5. Adakah hanya setelah melihat kemarahan rakyat pada demonstrasi selepas solat Jumaat pada 25 November, kerajaan baru membuat keputusan untuk melakukan sesuatu dan itu pun sekadar mengadakan himpunan pada 4 Disember?

Sedangkan sebelum pada itu cadangan untuk menarik diri dari perlawanan bolasepak di antara Malaysia dan Myanmar pun ditolak oleh Kabinet Malaysia. Ini amat menyedihkan dan memalukan kerana sementara seperti disahkan pegawai Bangsa-bangsa Bersatu di Myanmar, umat Islam di Myanmar dibunuh secara berterusan oleh tentera Myanmar, kita sanggup terus bersukan di padang bola. Kita pernah tarik diri dari Sukan Olimpik di Moscow kerana serangan Russia ke atas Afghanistan pada tahun 1980’an. Maka kenapa kita tidak melakukan tindakan sama dalam kes Rohingya ini? Adakah demonstrasi ini sekadar bertujuan menunjuk kebersamaan dengan rakyat demi menutup hakikat bahawa kerajaan tidak bertindak?

6. Bagaimana pula dengan pendirian Malaysia kononnya yang menerajui ‘Global Movements of Moderates”, kumpulan sederhana, kalau kita tidak membuat pendirian dengan kerajaan yang menunjukkan sikap extremis ke Agamaan dan perkauman dengan pembunuhan "genocide" beramai-ramai orang Islam melalui program pembersihan ethnik? Tidakkah peranan kerajaan semestinya demi mengerakkan semua yang bersama GMM ini supaya bertindak ke atas kerajaan Myanmar?

7. Apabila usul Rohingya ditolak di Parlimen pada pagi 24 November 2016 oleh Speaker Parlimen, YB Dr. Siti Mariah dan Raja Bahrin dari Amanah, YB Tian Chua dari PKR dan YB Kula Segaran, YB Charles Santiago dan YB Chin Tong dari DAP berucap membantah penolakan usul ini. Tidak ada seorang pun Ahli Parlimen dari Barisan Nasional atau PAS berdiri untuk berucap menggesa usul ini di benarkan di dalam Dewan Parlimen yang mulia itu ! Tiba-tiba di luar Parlimen mereka ingin menjuarai isu ini? Sedangkan dalam Parlimen mereka diam.

Kenapa menyepi di dalam Dewan tetapi akan lantang bersuara di luar dewan? Adakah kerana himpunan di luar Dewan Parlimen akan di tonton oleh lebih ramai orang maka ia lebih penting dari perbahasan dalam Dewan parlimen? Sedangkan dalam Parlimen tindakan sebagai kerajaan boleh ditetapkan. Dan ini jauh lebih bermakna. Rakyat Malaysia ingin penjelasan.

8. Kami menuntut satu sessi Dewan Parlimen khas dengan segera untuk membahas isu pembunuhan Islam Rohingya. Kerajaan Malaysia perlu membuat pendirian yang tegas dan rasmi di Parlimen dan bukan di padang terbuka.

Kalau permintaan ini tidak dihiraukan maka rakyat akan membuat kesimpulan bahawa demonstrasi ini sebenarnya bukan bertujuan membantu Rohingya tetapi sekadar membantu UMNO dan PAS mengaut sokongan politik masyarakat Melayu.

Raja Bahrin Shah
Pengerusi
Biro Antarabangsa Amanah

0 comments: