Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Thursday, November 13, 2014

Elaun Adun Melaka akan NAIK setaraf pegawai gred 52-54


MELAKA - Kerajaan Negeri Melaka bercadang menaikkan kadar elaun Adun negeri ini setaraf dengan gaji seorang pegawai kerajaan dalam gred 52 atau 54, persidangan Dun Melaka diberitahu hari ini.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata, pada masa ini Adun di negeri ini menerima elaun pada kadar RM4,800 sebulan atau setaraf dengan seorang pegawai kerajaan dalam gred 44.

Beliau berkata, cadangan dibuat selepas mengambil kira tanggungjawab dan perkhidmatan yang kini dipikul oleh Adun dan anggota exco kerajaan negeri bagi memenuhi harapan rakyat di negeri ini. 

"Saya telah berbincang dengan pegawai kewangan negeri mengenai taraf elaun Adun.

"Rupa-rupanya elaun mereka rendah, oleh itu kita cuba untuk mengangkat taraf elaun mereka," katanya ketika menggulung sesi perbahasan usul peruntukan RM55.06 juta dalam Bajet 2015 Negeri Melaka di sini.

Usul itu kemudian disokong oleh Datuk Lim Ban Hong (BN-Klebang) dan diluluskan dengan sokongan majoriti dewan.

Speaker Dun Melaka, Datuk Othman Mohamad selepas itu menangguhkan persidangan ke pagi esok. - Bernama

Baca Seterusnya......

Tuesday, November 11, 2014

Majoriti Penduduk Catalonia Setuju Bepisah Dari Sepanyol

Warga Catalonia berbaris untuk pungutan suara tuntut kemerdekaan dari Sepanyol. foto Reuters
Kerajaan Sepanyol menerima tamparan hebat apabila majoriti penduduk Catalonia memilih untuk berpisah dari Madrid.

Perkara ini berlaku ketika referendum tidak rasmi bagi mendesak Sepanyol bersetuju mengiktiraf kemerdekaan Catalonia atau Catalunya yang telah diadakan pada Ahad 9 November 2014 waktu tempatan. Dalam pungutan suara itu, dilaporkan 80 peratus penduduk Catalonia bersetuju untuk tidak lagi bergabung dengan Negara Matador.

Dalam penjelasan Naib Presiden Catalonia, Joana Ortega, penduduk yang membuat pungutan suara berjumlah kira-kira 2 juta orang. Walaupun begitu, beliau tidak menghuraikan butiran menyeluruh berapa jumlah pemilih yang berdaftar dalam referendum yang dianggap tidak sah oleh pemerintah Sepanyol itu.

Kemenangan tidak rasmi ini turut disambut baik oleh Presiden Catalonia, Arthur Mas. Beliau menyebut, keputusan berkenaan merupakan suatu kejayaan yang besar.

"Sebuah kejayaan yang lengkap, ini kerana pengundi (menuntut kemerdekaan) lebih dari dua juta walaupun pungutan suara ditentang Madrid," sebut Mas, seperti dipetik dari Russian Today, semalam.

Ini bermakna kelab bolasepak Barcelona FC bakal berdepan dengan risiko tersingkir dari Liga Sepanyol (La Liga) jika wilayah Catalonia merdeka sepenuhnya dari Sepanyol seperti dalam laporan WarkahDaily pada 9 Oktober lalu.

Barcelona merupakan ibu negeri bagi wilayah Catalonia.

Baca Seterusnya......

Monday, November 3, 2014

SEPULUH CABARAN TERBESAR EKONOMI MALAYSIA 2015


1. KENAIKAN KOS SARA HIDUP RAKYAT
Langkah Kerajaan menaikkan harga petroleum (naik 20 sen), tarif elektrik (naik 15%), harga gula (naik 30 sen), harga (naik 20 sen) dan kadar tol (minima 50 sen) sedikit sebanyak akan melonjakkan kos sara hidup semua rakyat. Paras inflasi rasmi terkini telah pun meningkat kepada 3.4%, tertinggi dalam setahun. Inflasi tidak rasmi/sebenar mungkin tiga kali ganda lebih 10% setahun.

Harga purata secawan kopi kini ialah RM1.60, harga nasi lemak ialah RM1.80 sementara sekeping roti canai sudah mencecah RM1.20 tidak termasuk GST

2. PARAS HUTANG KERAJAAN YANG TINGGI
Paras hutang kerajaan meningkat sejak tahun 1970. Hutang Kerajaan Persekutuan pada tahun 1970 hanyalah RM2 billion, pada tahun 1999 berjumlah RM95 billion tetapi sekarang telah mencecah RM568.2 bilion atau 53% daripada KDNK menghampiri had siling 55%. Pihak asing pula memiliki kira-kira 15% daripada jumlah hutang dalam negara. Keadaan ini boleh mempengaruhi kadar pertukaran wang asing negara.

Untuk rekod, kerajaan membelanjakan lebih RM10 bilion setahun hanya untuk membayar faedah hutang-hutang yang diambil oleh Kerajaan Persekutuan.

3. PARAS HUTANG ISI RUMAH RAKYAT YANG MEMBAHAYAKAN
Hutang isirumah rakyat Malaysia telah berganda kepada RM750 billion atau 76.2% KDNK dalam Julai tahun ini. Pecahan besar adalah pinjaman perumahan 29%, pinjaman kenderaan 51%, pinjaman peribadi 15% dan pinjaman pelajaran 33%. Ini bermakna rakyat Malaysia secara amnya membuat perbelanjaan dengan membazir dan tidak berhemah.

Jika tidak dikawal, lima tahun lagi hutang isi rumah di Malaysia boleh melebihi 100% kepada KDNK negara bermakna pendapatan yang diperolehi tidak cukup untk membayar hutang terkumpul.

4. PERTUMBUHAN EKONOMI DEKAD YANG LEBIH PERLAHAN
Jumlah keseluruhan ekonomi Malaysia (KDNK) tahun 2014 adalah RM1.07 trillion. Walaupun ekonomi global dijangka meningkat, pertumbuhan KDNK Malaysia purata sepuluh tahun lepas lebih perlahan hanya sebanyak 5% dan banyak didorong oleh permintaan domestik. Berbanding pertumbuhan KDNK purata sebanyak 7% pada tahun 1990an yang didorong oleh sektor eksport dan luaran.

Untuk rekod, semenjak 1945 ke tahun 1998, Malaysia adalah salah satu daripada 13 negara yang telah mencapai pertumbuhan mantap melebihi 7 peratus selama lebih daripada 53 tahun. Walaubagaimanapun selepas 1998, pertumbuhan ekonomi Malaysia telah jatuh dengan perlahan.

5. KOS PENGURUSAN KERAJAAN YANG TINGGI
Daripada tahun 1970 hingga 2013, jumlah perbelanjaan pengurusan kerajaan meningkat daripada RM2.2 bilion kepada RM216.2 bilion. Komponen yang terbesar ialah gaji kakitangan kerajaan. Untuk nota, Malaysia memiliki nisbah kakitangan kerajaan yang tertinggi di dunia seramai 1.4 juta atau 10% dari seluruh tenaga kerja di Malaysia.

6. BEBAN SUBSIDI KERAJAAN YANG TINGGI
Jumlah keseluruhan subsidi kerajaan telah meningkat dengan ketara daripada RM1.1 bilion pada 1999 kepada RM44.1 bilion pada 2013. Ini bermakna 20% dari cukai yang dikutip akan digunakan untuk subsidi rakyat. Subsidi ibarat ganja kerana ia sukar dihentikan apabila telah diberikan. Penamatan subsidi juga boleh mengakibatkan kos politik kepada kerajaan yang memerintah.

Dasar pemberian subsidi adalah dasar yang tidak efektif bagi rakyat miskin. Orang kaya menggunakan bahan api lebih banyak daripada orang miskin yang bermotosikal. Ini bermakna subsidi petroleum lebih banyak dinikmati oleh golongan kaya.

7. PRODUKTIVITI PEKERJA YANG KURANG CEMERLANG
Hanya 80 peratus dari tenaga kerja seluruh Malaysia mempunyai kelayakan pendidikan setakat Sijil Pelajaran Menengah (SPM). Menurut Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), tahap produktiviti pekerja negara ini adalah jauh lebih rendah daripada negara-negara seperti Amerika Syarikat, Jepun, United Kingdom, Korea Selatan dan Singapura.

Purata pekerja Malaysia mencatatkan nilai produktiviti hanya sebanyak RM43,952 setahun. Berbanding pekerja Amerika Syarikat mengungguli senarai dengan tahap produktiviti sebanyak RM285,558 setahun, diikuti oleh pekerja di Jepun RM229,568 dan Hong Kong RM201,485. Ini bermakna pekerja Malaysia bekerja dalam tempoh yang lebih panjang berbanding negara lain, namun menghasilkan pulangan yang lebih rendah.

8. BELANJAWAN MALAYSIA DEFISIT SETIAP TAHUN SEJAK 1998
Walaupun memiliki komoditi yang kaya seperti minyak dan kelapa sawit, Belanjawan Negara masih defisit selama 16 tahun berturut-turut semenjak krisis kewangan Asia. Untuk rekod, perbelanjaan subsidi untuk rakyat dikurangkan sebanyak RM 7.3 billion bagi tahun 2014. Walaupun paras defisit keseluruhan negara telah turun tetapi masih tinggi sekitar RM 36 billion.

Pada masa yang sama, lebihan akaun semasa (eksport tolak import) juga telah menurun dari RM102 bilion pada 2012 kepada RM37 billion pada 2013. Ini bermakna lebihan akaun sebanyak 3% daripada KDNK pada masa ini adalah kecil kerana Malaysia pernah mencatatkan lebihan akaun semasa sebanyak 10%.

9. KETIRISAN DAN KETELUSAN NEGARA
Dalam Indeks Persepsi Rasuah atau Corruption Perception Index yang dijalankan Transparency International, Malaysia menduduki tangga ke-53 daripada 177 buah negara. Kedudukan ini tidak segagah tahun 2003, Malaysia berada di kedudukan ke-37.

Untuk rekod, dalam Laporan Global Financial Integrity, Malaysia menduduki tempat ke-4 dari segi jumlah kumulatif pengaliran keluar dana secara haram yang berjumlah RM880 billion di antara tahun 2002-2011. Ini bermakna aliran keluar wang haram dari Malaysia mungkin lebih hebat daripada negara-negara seperti Filipina, Nigeria dan Venezuela.

10. KELEMAHAN RINGGIT DAN PENINGKATAN GAJI YANG PERLAHAN
Dengan matawang Ringgit Malaysia terus lemah dibandingkan dengan Dollar Amerika (terendah dalam enam bulan) dan Dollar Singapura (terendah dalam 15 tahun) juga menyumbang kepada lonjakan harga barang dan kos sara hidup di Malaysia. Kesan kelemahan ringgit menyebabkan penurunan kuasa beli individu. Maknanya, setiap ringgit pendapatan akan mampu membeli sedikit barangan dan perkhidmatan import berbanding sebelum ini.

Peningkatan kos sara hidup yang berlaku itu juga tidak selaras dengan kadar kenaikan gaji yang perlahan. Mengikut Payscale.com, kadar purata kenaikan gaji Malaysia hanya sekitar 3.5% berbanding Indonesia 9.8%, Singapore 12% dan Thailand 5.8% dalam tempoh sama.

Kesimpulan, ekonomi adalah tunjang turun naik sesebuah masyarakat, bangsa dan negara. Jika sepuluh isu ini dapat ditangani maka lahirlah negara mapan, ekonomi cemerlang dan rakyat gemilang.

Baca Seterusnya......

Thursday, October 30, 2014

TNI pintas pesawat Singapura

Sumber Kosmo


Agensi - GAMBAR menunjukkan jet pejuang Sukhoi SU-27 (kiri) memintas sebuah pesawat ringan milik Singapura yang dikesan menceroboh ruang negara Indonesia di Pontianak, Kalimantan kelmarin.
JAKARTA – Sebuah pesawat ringan jenis Beechcraft 9L milik Singapura dipintas oleh jet Tentera Nasional Indonesia (TNI) sebelum diarahkan mendarat di Pangkalan Udara Lanud Supadio di Pontianak, Kalimantan kelmarin selepas ia didapati menceroboh ruang udara republik itu, lapor portal Kompas.com kelmarin.

Panglima Infantri TNI, Bernadus Robert berkata, pesawat Singapura itu yang dalam misi latihan dipintas oleh jet pejuang Sukhoi SU-27/30MKI Flankers setelah dikesan memasuki wilayah Indonesia dari selatan Singapura menuju ke Sibu, Sabah pada pukul 10.30 pagi waktu tempatan.

Kapal terbang itu dikesan terbang pada ketinggian 6,096 meter dengan kelajuan 463 kilometer sejam (kmj) hingga 648kmj dalam keadaan mencurigakan sewaktu melalui ruang udara Indonesia tanpa mendapat kebenaran pemerintah Indonesia. – Agensi

Baca Seterusnya......

Taman aktiviti Angry Birds dibuka

Sumber Sinar


JOHOR BAHRU - Taman Aktiviti Angry Birds yang pertama di Asia Tenggara akan dibuka di Komtar Johor Bahru City Centre (JBCC) kepada orang ramai bermula 31 Oktober ini.

Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, taman aktiviti itu meliputi kawasan permainan dengan aktiviti hiburan menyeronokkan seluas 26,000 kaki persegi.

Menurutnya, terdapat banyak permainan menarik untuk kanak-kanak dan remaja yang mencabar kemahiran motor, kemahiran kognitif, kawasalan badan dan tindak balas kelajuan.

“Kanak-kanak kecil boleh menikmati permainan interaktif Lazer Maze Spaceship, Classic Tower Play, Go! Kart dan Trampolin Anti-Gravity.

“Sementara belia pula boleh menikmati Lazer Bird Shoot, Space Drop Airbag, Panna Soccer, Red Bird Goal dan Air Parkour Track.

“Keseronokan akan berterusan untuk semua di Spinning Time Machine, Piggy Shooting Gallery, Captain Black Bird Ship dan Sand Castle Ball Pit,” katanya pada acara pratonton kepada media di sini semalam.

Kamaruzzaman berkata, kanak-kanak dapat menikmati semua permainan dan aktiviti menarik pada harga RM75 seorang.

Katanya, harga untuk pemegang MyKad atau MyKid adalah RM60.

“Terdapat pelbagai pilihan tiket dari Single Entry hingga pas keluarga, pas tahunan tidak terhad dan juga untuk kumpulan murid-murid sekolah (minimum 30 orang).

“Kanak-kanak juga boleh meraikan ulangtahun hari jadi mereka dengan pakej ‘Angry Birds’ kegemaran mereka,” katanya.
 
 

Baca Seterusnya......

Operasi Gempur Aurat di Kota Bharu

Sumber Sinar
Jurujual wanita yang berpakaian ketat boleh dikenakan kompaun kerana tidak mematuhi peraturan ditetapkan.
Jurujual wanita yang berpakaian ketat boleh dikenakan kompaun kerana tidak mematuhi peraturan ditetapkan.

KOTA BHARU - Operasi Gempur Aurat yang dilancarkan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) membuktikan keseriusan MPKB-BRI menangani isu aurat, khususnya melibatkan peniaga di Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Belia dan Wanita MPKB-BRI, Nor Azariza Mohd Alawi berkata, operasi bermula September sehingga Disember 2014, diadakan berikutan ramai dikesan mula leka dengan peraturan dikeluarkan sebelum ini.

“Ia bukan perkara baharu, malah pekeliling di bawah Arahan Mematuhi Etika Berpakaian sudah dikeluarkan sebelum ini, namun bila kita lihat ada peniaga yang bagaikan leka dan mula mengabaikan peraturan tersebut, penguatkuasaan semula perlu dilakukan.

“Operasi Gempur Aurat dan kompaun maksimum RM500 yang dikenakan kepada peniaga yang melanggar arahan ini, diharap akan menjadi pengajaran, sekali gus mengingatkan mereka kewajipan menutup aurat,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Menurutnya, sehingga kini operasi berkenaan sudah diadakan secara menyeluruh di lokasi tumpuan orang ramai seperti pasar raya dan pasar malam.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pembangunan Islam MPKB-BRI, Ropein Hassan berkata, sejak operasi tersebut dilancarkan, sebanyak 34 kompaun dikeluarkan MPKB-BRI terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan.

Menurutnya, tidak timbul isu tidak tahu kerana segala peraturan dan syarat sudah dijelaskan sebelum peniaga mendapatkan lesen perniagaan daripada MPKB-BRI.

“Penghujung 2013, semua peniaga diwajibkan menghadiri kursus perniagaan mengikut perspektif Islam yang diadakan secara berperingkat-bagi memaklumkan kepada mereka mengenai Undang-Undang Kecil MPKB,” katanya.

Sehingga kini lebih 3,000 peniaga telah mengikuti kursus berkenaan dan kira-kira 10,000 dalam proses serta sedang menunggu giliran.

Baca Seterusnya......

Sumber Sinar
Pak Yeh (dua, kiri) melayan Sepein (kiri) dan Aziz (dua, kanan) di kedainya.
Pak Yeh (dua, kiri) melayan Sepein (kiri) dan Aziz (dua, kanan) di kedainya.

TUMPAT -  Bagaikan tidak percaya masih ada peniaga menjual nasi berlauk dengan harga RM1 sepinggan.

Di kedai kopi Pak Yeh di Kampung Bendang Kerian di sini, dengan RM1, pelanggan boleh menikmati sepinggan nasi dengan pilihan gulai ikan tongkol atau gulai ayam.

Jika nasi berlauk dengan secawan teh O, pelanggan hanya perlu membayar RM1.60 sen, manakala nasi berlauk bersama teh, harganya  RM1.80 sen.

Di sebabkan harga murah, kedai Pak Yeh yang dibuka seawal jam 7.30 pagi itu menjadi tumpuan pelbagai lapisan masyarakat, daripada yang bekerja pejabat, buruh, pelajar, mahu pun penduduk Kampung Bendang Kerian.

Pak Yeh atau nama sebenarnya, Idris Awang, 67, berkata, dia berniaga sejak 30 tahun lalu bermula dengan nasi berlauk berharga 30 sen sepinggan.

Menurutnya, berikutan kenaikan kos bahan mentah, memaksanya menaikkan harga nasi berlauk beberapa kali dan kekal dengan harga RM1 sehingga hari ini.

“Saya masih dapat untung walaupun tidak seberapa kerana inilah cara saya membantu golongan kurang berkemampuan dan juga golongan pelajar.

“Jika dinaikkan harga, kasihan pula budak sekolah. Lagipun, kedai saya ni usang dan meja makan pun terhad, malu pula mahu jual nasi dengan harga yang mahal," katanya yang turut dibantu isteri,  Asmah Ismail, 53, sebagai tukang masak dan anaknya, Adam, 24, sebagai pembantu kedai.

Seawal jam 3 pagi lagi, Asmah akan bangun menyediakan lauk-pauk untuk dijual setiap hari di kedai berhadapan Klinik Kesihatan Bendang Kerian itu.

Sementara itu, seorang pelanggan tetapnya, Aziz Abdul Rahid, 64, berkata, dengan harga yang murah,  dia dapat makan sepinggan nasi yang sedap dan mengenyangkan, secawan teh O dan sebiji kuih.

"Tiada kedai lain yang menjual harga semurah ini dan setiap hari jam 8 pagi, saya mesti datang makan di kedai Pak Yeh dan turut membelinya  untuk keluarga di rumah," katanya.

Sepein Deraman, 67, pula berkata, dia menjadi pelanggan di kedai Pak Yeh sejak berumur 15 tahun.

Menurutnya, dahulu nasi berlauk Pak Yeh dijual dengan harga 30 sen tetapi kini RM1 dan baginya ia masih murah.

Baca Seterusnya......