Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Friday, December 18, 2009

MP- Bung Moktar Radin Sah Kahwin Pelakon Zizie Ezette


KUALA LUMPUR - Desas-desus yang mengatakan bahawa Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin berkahwin dengan pelakon terkenal tanah air, Zizie Ezette, akhirnya terjawab apabila rakan baiknya, Datuk Mohamad Aziz semalam mengesahkan perkahwinan mereka.Mohamad, Ahli Parlimen Sri Gading apabila ditanya berkata “Dah selamat. Saya mendoakan agar beliau bahagia, kebahagiaan kawan adalah kebahagiaan kita.”

Mohamad berkata, beliau sempat berpesan kepada Bung Moktar supaya tidak berahsia lagi mengenai perkara itu dan membiarkan rakan-rakan lain mengetahuinya selain menyifatkan ucapan tahniah yang bakal diterima Bung Moktar itu adalah satu doa untuk beliau.

Bung Moktar yang sering mewarnai persidangan Dewan Rakyat dengan kelantangannya dalam setiap perbahasan, mula menjadi tumpuan apabila beliau dikatakan menikahi Zizie dan mengadakan majlis resepsi di sebuah hotel terkemuka di sini, malam semalam.

Kelmarin, Bung Moktar yang juga Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) menafikan bahawa beliau berkahwin dengan Zizie, dan hanya berkata bahawa beliau tidak cukup kacak untuk pelakon terkenal itu.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu yang dihubungi pemberita semalam masih enggan mengesahkan perkara itu sebaliknya berjanji akan memaklumkan mengenainya apabila 'tiba masanya'.

“Ini bukannya masa yang terbaik untuk saya membuat komen. Saya perlu melindungi hati banyak pihak dan saya tidak mahu melukai hati sesiapa,” katanya.

Ditanya mengapa beliau tidak menghadiri sidang Parlimen sejak semalam, Bung Moktar berkata, beliau berada di Kinabatangan, Sabah kerana 'kerja yang sangat mustahak.'

“Saya sudah mendapat pelepasan daripada Chief (Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz),” katanya.

Beliau yang turut ditanya mengenai penampilannya yang semakin bergaya sejak akhir-akhir ini termasuk perubahan dalam stail rambutnya berkata: ”Ramai kawan-kawan yang mewarnai rambut mereka, mengapa kamu tidak tanya mereka. Jangan buat spekulasi.” - Bernama

0 comments: