Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Saturday, January 30, 2010

Khalid Samad digantung, Hasan Ali hanya amaran

KUALA LUMPUR,— Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad digantung daripada jawatannya selama enam bulan manakala Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali ‘terselamat’ dengan amaran.

Selain itu Khalid yang juga Yang Dipertua PAS Shah Alam dilarang daripada membuat sebarang kenyataan berkaitan dengan parti.Khalid yang kini berada di luar negara merupakan anggota Lajnah Politik PAS.

Mengumumkan keputusan jawatankuasa disiplin petang ini, pengerusinya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Hasan juga diberikan amaran daripada membuat sebarang kenyataan berkaitan dengan Pakatan Rakyat.

“Kami mendapati Khalid Samad bersalah di bawah Seksyen 75 perlembagaan parti dan memutuskan untuk menggantung beliau daripada jawatannya selama enam bulan.

“Sepanjang tempoh itu beliau dilarang membuat kenyataan yang boleh memberi kesan ke atas imej PAS dan Pakatan Rakyat.

“Dan jawatan yang beliau pegang termasuk sebagai ketua PAS Shah Alam dan anggota Lajnah Politik parti,” katanya.

Tuan Ibrahim yang juga Naib Presiden berkata Khalid disabitkan kesalahan kerana beliau mendedahkan masalah dalaman parti menerusi kenyataannya dan tulisan blog beliau.

Khalid juga didapati bersalah mendedahkan kandungan mesyuarat Badan Perhubungan PAS Selangor.

Tuan Ibrahim menambah Khalid menerima hukuman berat kerana tindakannya telah menjejaskan parti secara langsung.

“Malah ketika disiasat beliau (Khalid) mengaku sedar akan keseriusan tindakan beliau,” katanya.

Khalid ada ruang untuk melahirkan rasa tidak puas hati tetapi oleh kerana tidak berbuat demikian beliau telah menjejaskan nama baik parti.

Tuan Ibrahim juga berkata Hasan didapati bersalah kerana mengkritik Selcat secara terbuka.

Katanya sebagai Exco, Hasan seharusnya membawa isu berkaitan dengan Selcat dalam mesyuarat kerajaan negeri.

Kedua-dua Khalid dan Hasan diberi tempoh 30 hari untuk mengemukakan rayuan.

Hasan ketika ditemui wartawan memaklumkan keputusan jawatankuasa disiplin dan menyalahkan media kerana mensensasikan kes beliau.

Jawatankuasa disiplin membuat keputusan terhadap dua pemimpin PAS Selangor itu Jumaat lalu dan hanya diumumkan hari ini.

Khalid menghadapi dua pertuduhan iaitu membuat ucapan terbuka mengkiritik Pesuruhjaya PAS Selangor yang mengkritik isu tatatertib oleh Selcat dan menulis dalam blognya, mendedahkan minit mesyuarat badan perhubungan PAS Selangor pada 27 Sept lalu.

Hasan juga menghadapi dua tuduhan di mana beliau dituduh membuat kritikan terbuka berkaitan dengan prosedur tatacara pendengaran Selcat dan membuat kritikan terbuka terhadap pelantikan pengurus besar PKNS, Liow Siew Moi.

Minggu lalu Tuan Ibrahim berkata keputusan itu dibuat secara sebulat suara berdasarkan kepada perlembagaan parti.

Terdapat empat pilihan hukuman yang boleh dikenakan iaitu diberikan amaran, digantung keahlian, digantung jawatan dalam parti atau digugurkan dari parti.

Mengikut pindaan perlembagaan parti 2009, mereka boleh mengemukakan rayuan kepada jawatankuasa pusat PAS atau Majlis Syura Ulama.M/I

Sumber : DD

0 comments: