Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Monday, April 7, 2014

Guru bantah PBS dipaksa terima arahan berpindah

Guru yang menyuarakan bantahan terhadap sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) terpaksa menerima arahan perpindahannya ke sekolah pedalaman selepas bantahannya terhadap sistem kontroversi itu.

Mohd Nor Izzat Mohd Johari, 29, kini dalam rayuan kedua selepas rayuan pertama untuk tidak berpindah gagal. Guru hanya dibenarkan membuat rayuan sebanyak tiga kali.

Tiga minggu lalu, beliau dilepaskan daripada semua tugas mengajar dan jawatan dalam jawatankuasa kecil sekolahnya di Jerantut, Pahang.

“Saya dihalang mengajar di sekolah dan tiada tugas diberikan. Ia membuatkan saya berasa resah dan teruk,” kata guru pendidikan seni itu kepada The Malaysian Insider.

“Saya percaya ini cara untuk membuatkan saya berpindah ke sekolah baru, yang jaraknya 80 km dari sini.”

Peguam menasihatkannya supaya tidak melapor diri ke sekolah baru sehingga rayuan perpindahan didengar.

Arahan perpindahan mengejut dikeluarkan selepas Nor Izzat yang mengetuai Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM) berkumpul mengadakan bantahan pada Februari.

Arahan pertukaran dipercayai kerana kelantangan Nor Izzat mengkritik sistem PBS dan percubaan meredakan bantahan SGMM.

Nor Izzat yang mempunyai pengalaman mengajar selama dua tahun berkata, dua orang kawannya yang lain turut menerima arahan pertukaran dengan alasan sama.

“Mereka tidak boleh menerima tekanan pihak lain namun tiada pilihan terpaksa bertukar ke sekolah baru,” katanya.

Berikutan kritikan daripada aktivis dan pembangkang, Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan pertukaran itu atas arahannya.

Bapa kepada seorang anak itu sebelum ini pernah diberi amaran untuk tidak terlalu lantang untuk membuat bantahan yang akan memakan dirinya sendiri.

Nor Izzat menyifatkan bantahannya dalam PBS bertujuan menjuarai hak rakan sejawatnya dan mahu melihat perubahan drastik dalam PBS meskipun diarahkan meninggalkan jawatan kerajaan itu.

Walaupun Muhyiddin mengumumkan penambahbaikan PBS pada bulan lalu, Nor Izzat mendakwa perubahan itu tidak menyelesaikan kelemahan sistem pendidikan namun sekadar melindunginya sahaja.

“Ia seperti perubahan kosmetik dan tidak menyelesaikan kelemahan PBS sebenar. Kami masih tidak berpuas hati dan terus membantah,” katanya.

Beliau kini sedang mengumpul tandatangan secara atas talian bagi penyerahan satu memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Yang Dipertuan Agong bagi membawa masalah ini kepada perhatian mereka.

“Kami mahu menyerahkan memorandum sebaik sahaja tarikh akhir tandatangan pada 14 April tamat. Kami tidak akan berhenti selagi tiada perubahan,” katanya. – 6 April, 2014.

0 comments: