Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Wednesday, November 4, 2009

Kerajaan Selangor Mahu Dr Asri Disiasat Secara Adil


Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mahu Jabatan Agama Islam Selangor atau JAIS memberi penjelasan munasabah mengenai isu penahanan bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin.

Dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan lewat hari ini, Tan Sri Khalid berkata, langkah ini perlu kerana pelbagai persoalan dan pertikaian timbul berhubung cara penahanan itu dibuat.

Katanya, Kerajaan Negeri telah dimaklumkan bahawa JAIS memiliki kuasa yang bebas dari kekangan kerajaan negeri dalam menguatkuasakan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor, masih menyiasat kes Dr Asri yang dikatakan mengajar agama tanpa tauliah.

Khalid menggesa Jais supaya memberi penjelasan sewajarnya kepada rakyat Selangor yang terkesan dengan penangkapan Dr Asri.
Pasukan penguatkuasa JAIS dengan bantuan polis malam tadi menahan Dr Asri di sebuah rumah di Taman Sri Ukay, Hulu Klang.

Dr Asri yang dituduh mengajar agama tanpa tauliah ketika itu sedang memberi ceramah kepada lebih 300 hadirin.

Penahanan ini menarik perhatian umum kerana Dr Asri adalah bekas Mufti Perlis.

Sementara itu, dalam satu sidang akhbar petang tadi Pengarah Jais Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata siasatan terhadap Dr Asri akan disegerakan.

Dr Asri Zainul Abidin akan didakwa selepas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) selesai menjalankan siasatan.

“Kita telah pun menerima banyak aduan tentang kegiatan Dr Asri ini sejak beberapa tahun yang lalu dan kita memang telah beberapa kali cuba mengambil tindakan dan kali ini kami berjaya dan beliau akan didakwa selepas kertas siasatan itu siap,’katanya.

Bekas Mufti Perlis itu akan didakwa bawah Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003.

Khusrin Munawi menafikan pendakwaan ini bermotifkan politik. Pihaknya bertindak mengikut peruntukkan undang-undang yang telah ditetapkan.

Tambahnya, Jais juga telah bertindak kepada sekurang-kurangnya 10 orang penceramah agama yang menjalankan kuliah di Selangor tanpa tauliah.

“Kepada mana-mana pihak yang ingin membuat ceramah di negeri Selangor ini dinasihatkan agar mengikut peraturan yang telah ditetapkan dan diminta menghormati undang-undang dan titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Dimana semua pihak tidak terkecuali, dimana sahaja di dalam negeri Selangor ini perlu mendapatkan tauliah dari Jabatan Agama Islam,”jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Bangunan Jais, petang tadi.

Mengulas isu penyebaran ajaran Wahabbi, Datuk Khusrin berkata ia tidak sesuai untuk dijelaskan sekarang, memandangkan siasatan masih dijalankan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Berita Harian hari ini yang mendakwa Jais menyiasat bekas mufti Perlis ini kerana menyebarkan ajaran Wahabbi.

Dr Asri mencabar pihak yang membuat tuduhan itu supaya tampil dan mengemukakan bukti.

Sumber GB

Baca Seterusnya......

UMNO (BN) Dalangi Tindakan JAIS - YB Khalid Samad


Ahli parlimen Shah Alam tersepit apabila didakwa mempunyai "rekod jenayah" tetapi sehingga kini gagal mendapatkan penjelasan polis berkenaan perbuatan jenayah yang telah dilakukannya.

Akibat "rekod jenayah" beliau itu, Khalid Samad tidak diberikan tauliah menyampaikan kuliah agama di Selangor walaupun beliau mendapat kelulusan awal daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Dalam surat jabatan itu bertarikh 10 Julai 2008, pemimpin PAS itu diberikan tauliah mengikut kategori-kategori D1 (boleh mengajar atau berceramah) dan D2 (mengajar fardhu ain atau berkitab).

Kebenaran itu bagaimanapun dibatalkan olej Jais dalam suratnya 28 Oktober 2008 susulan tapisan keselamatan polis Selangor mendapati Khalid, adik kandung bekas menteri Datuk Shahrir Samad, mempunyai "rekod jenayah."

Setelah Khalid meminta penjelasan dalam suratnya hujung September lalu, polis Selangor berkata semakan polis Bukit Aman mendapati beliau mempunyai "rekod jenayah".

Jenis jenayah yang didakwa dilakukan oleh bekas ahli jawatankuasa pusat PAS itu tidak pula dinyatakan dalam surat ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Selangor bertarikh 27 Oktober 2009 kepada beliau - yang diterima semalam.
'Jelaskan apa rekod saya...'

Bercakap dalam sidang media di Shah Alam hari ini, Khalid menulis kepada IPK untuk mendapatkan butiran mengenai "jenayahnya" itu.

"Saya minta mereka jelaskan, apa rekod saya... Tetapi saya difahamkan mereka tidak dapat beri rekod untuk orang perseorangan, walaupun yang minta itu tuan punya badan sendiri," katanya.

Sebaliknya, kata beliau, polis memintanya menghubungi Jais untuk mendapatkan butiran berkenaan.

"Ini aneh. Apa hal Jais nak tanya rekod jenayah untuk saya. Sepatutnya kalau saya ada rekod jenayah, kononnya, saya tanya pada polis apa rekodnya, dia beritahu sayalah," katanya.

Beliau juga menyifatkan tindakan Jais tidak meluluskan permohonannya untuk mendapatkan tauliah "terlalu berbau politik."

"Saya ini dalam keadaan tersepit. Nak dapatkan penjelasan daripada Bukit Aman pun tak boleh, nak buat rayuan kepada (Jais) pun tak boleh dan ini bagi saya sesuatu yang terlalu berbau politik," katanya.

Beliau mendakwa, Jais telah mengambil tindakan yang mempunyai unsur politik apabila menggunakan hak dan bidang kuasanya untuk menyekat penceramah yang telah lulus ujian kelayakan sepertinya.

'Saya lulus temuduga'

"Kalau nak ambil tindakan bukan atas sebab tak ada tauliah tapi ambil tindakan atas ajarannya tak betul. Dan ianya perlu dibuktikan di mahkamah.

"Tapi bila ada (sistem) tauliah ini, dia ada kuasa untuk menghalang. Atas apa sebab sekalipun, ia tidak boleh dipertikaikan (kerana) ia merupakan hak dan kuasa mutlak (Jais) dan ini terdedah pada disalahguna.

"Hakikatnya saya telah lulus temuduga di (Jais). Maknanya kemahiran atau kemampuan atau layaknya saya untuk menyampaikan khutbah dan tazkirah tidak dipertikaikan dari segi agamanya, " kata Khalid..

Menurutnya lagi, ajaran Islam yang dibawa oleh penceramah-penceramah dalam PAS sepertinya, juga tidak berbeza daripada ajaran daripada penceramah yang ditauliahkan Jais.

"Orang macam Tok Guru Nik Aziz dan sebagainya ada keterlibatan dia dalam politik sebagai pimpinan utama PAS. Tetapi benda-benda ini semua sepatutnya tidak diambil kira.

"Saya rasa mereka juga tahu bila mereka mengajar agama, mereka juga tidak timbulkan isu PAS-Umno dan sebagainya. Atas platform ceramah politik barulah begitu," katanya.

Khalid berkata, beliau sendiri tidak membawa mesej politik ketika menyampaikan khutbah, tetapi sebaliknya membawa mesej ajaran Islam secara umum.

Malaysiakini difahamkan, Khalid telah menyampaikan khutbah Jumaat di kira-kira 20 masjid dan surau di sekitar Shah Alam semenjak dipilih menjadi wakil rakyat pada Mac tahun lalu.

Menurutnya lagi, beliau berharap menteri besar akan memanggil mesyuarat dengan exco Selangor untuk mengkaji perubahan-perubahan yang boleh dilakukan ke atas proses pentauliahan penceramah agama.

"Memang (Jais) di bawah (Majlis Agama Islam Selangor) yang terletak bawah Sultan. Tetapi kerajaan negeri pun ada exco agama yang ada peranan," katanya lagi. -malaysiakini

Sumber MalaysiaKini

Baca Seterusnya......

Monday, November 2, 2009

Cara-cara meningkatkan daya ingatan

Anda merasakan anda sudah tua kerana sikap anda yg pelupa? Anda asyik lupa di mana kali akhir anda meletakkan sesuatu? Orang di sekeliling selalu marahkan anda kerana lupa tarikh penting, lupa letak barang, lupa makan ubat, lupa fakta2, lupa tutup kipas, lupa arah jalan, lupa nama orang dan macam-macam lagi. Sebenarnya, kita dapat meningkat daya ingatan atau mengurangkan risiko menjadi pelupa dengan mengamalkan tips-tips di bawah secara berterusan. Lebih baik jika kita mempraktikkan ketika usia masih muda supaya kelak di hari tua kita tidak menjadi terlalu pelupa. Antaranya ialah:

Amalkan Tidur Yang Cukup
1/3 hidup kita dihabiskan dengan tidur. Namun ada orang yang suka tidur lewat atau mengabaikan tidur yang cukup. Badan perlu rehat. Keletihan hanya akan mengganggu maklumat / data yang telah disimpan oleh otak dan juga menjejaskan kemampuan untuk mempelajari sesuatu yang baru. Oleh itu, amalkan tidur yang cukup di malam hari kerana ia dapat membantu daya ingatan kita berfungsi.

Mengawal Tekanan
Tekanan hanya akan membuat jiwa anda tidak tenteram dan menyebabkan kesihatan anda terganggu. Anda juga lebih cenderung untuk menjadi seseorang yang tidak peka dengan keadaan persekitaran. Anda tidak dapat berfikir dengan jelas dan daya ingatan anda juga terjejas. Oleh itu, kawal tekanan anda dengan baik seperti bermeditasi, membaca Al-Quran, yoga, sauna, aromaterapi dan sebagainya.

Berhati2 Dengan Pengambilan Vitamin atau Makanan Tambahan

Sesetengah produk yang dijual di kaunter atau farmasi tidak sesuai dengan kita. Ada yang kononnya dapat meningkatkan daya ingatan. Tetapi sebaliknya ada yang memberi kesan sampingan. Oleh itu, lebih baik jika kita mendapatkan vitamin yang diperlukan oleh tubuh badan kita dengan pemakanan yang seimbang atau rujuk dahulu doktor yang bertauliah sebelum membeli makanan tambahan.

Bersenam
Bersenam dapat menggerakkan otot-otot dan melancarkan peredaran darah ke otak. Oleh itu, daya ingatan kita juga akan menjadi lebih baik. Amalkan senaman walaupun sekadar berjalan kaki.

Elakkan Kemurungan
Kemurungan dalam hidup akan menyebabkan hidup anda tidak ceria. Anda sentiasa berada dalam keadaan tidak segar dan rasa kecewa. Lama kelamaan ia turut menjejaskan daya ingatan anda dan membuat anda tidak hirau dengan persekitaran anda. Ubatilah kemurungan sebelum menjadi serius dengan berjumpa psikiatri atau beramal-ibadah mendekatkan diri kepada Tuhan.

Awasi Pengambilan Ubat
Daya ingatan mungkin menjadi lemah dengan pengambilan ubat-ubatan tertentu seperti pil hormon, ubat darah tinggi, anti-kemurungan dan sebagainya. Jika anda menghadapi masalah daya ingatan disebabkan pengambilan ubat, konsultasi dengan doktor. Jangan mengambil ubat tanpa arahan doktor.

Belajar Sesuatu yang Baru
Cubalah aktifkan pemikiran anda dengan mempelajari sesuatu yang baru misalnya Bahasa Jepun, kursus kemahiran jangka pendek, menjahit, atau menghadiri ceramah dan motivasi.

Permainan
Bermain sesuatu permainan seperti board games dapat merangsang minda. Contohnya, catur, scrabble (Sahibba) dan Monopoli. Selain itu, teknologi sekarang lebih baik seperti permainan komputer dan Playstation. Pilihlah jenis permainan yang mencabar minda.

Banyak Membaca
Jadikan amalan membaca sebagai kegiatan harian. Membaca dapat meluaskan pengetahuan, mengembangkan minda dan menajam daya ingatan. Cuba ingat sedikit-sebanyak fakta yang terkandung di dalam bahan bacaan.

Katakan Berulang Kali
Untuk meningkat ingatan anda tentang sesuatu maklumat atau tarikh, katakan dengan kuat dan berulang kali sehingga anda benar-benar ingat akan maklumat tersebut.

Fokus
Daya ingatan dapat dilancarkan sekiranya anda sering fokus dalam sesuatu, contohnya matlamat hidup. Anda juga dapat belajar fokus dengan menumpukan fikiran anda pada sesuatu perkara dan mencatatkan apa yang anda fikirkan.

Bermain Dengan Angka
Asahkan minda anda dengan cuba bermain dengan angka seperti mengingati nombor telefon rakan-rakan. Selain itu, anda boleh menghubungkaitkan angka-angka tersebut dengan sesuatu bagi meningkatkan daya ingatan.

Membaca Al-Quran
Sekiranya anda seorang Muslim, amalkan membaca Al-Quran walau sehelai muka surat setiap hari. Membaca Al-Quran dapat menerang jiwa, menenangkan perasaan dan menajamkan daya ingatan dengan lebih baik.

Baca Seterusnya......

Aktifkan karisma dalam diri anda

Karisma bermaksud daya tarikan yang dimiliki oleh seseorang dan dia boleh mempengaruhi orang lain dengan keistimewaan tersebut. Setiap orang adalah unik dan mempunyai kekuatan tarikan tersendiri. Memiliki karisma membolehkan anda untuk mencipta kehidupan yang lebih baik.Artikel kali ini adalah menyentuh cara kita meningkatkan karisma diri. Karisma menjadikan diri seseorang itu popular, disenangi dan dikagumi serta dihormati.Adakah anda seorang y6ang berkarisma?

Cara-cara mudah dan segera untuk tingkatkan karisma diri:-

1) Wajah yang disenangi. Mulai sekarang anda perlu menjadi seorang yang mudah tersenyum. Senyum itu sedekah. Senyuman yang ikhlas adalah terpancar dari dalam diri yang bersih, jujur dan merasakan senang dengan kehadiran sesiapa sahaja tanpa syarat. Percayalah dengan melemparkan senyuman semasa bertemu seseorang, bercakap dengan wajah yang manis akan menambat hati sesiapa yang melihat. Saya amat terpegun melihat gelagat seorang kerani bank yang bercakap dengan wajah yang tersenyum dengan pelanggannya. Saya lihat pelanggan tersebut berasa gembira mendapat khidmat dari pekrja tersebut.Senyuman telah meningkatkan karisma seseorang dengan begitu hebat. JIka anda sukar untuk tersenyum , anda perlulah berlatih di hadapan cermin dan cuba ukirkan senyuman tersebut. Senyuman lamabang kegembiraan, keramahan dan kemesraan

2) Pelihara adab sopan pada perkataan dan perbuatan

Orang yang berkarisma adalah mereka yang bertutur kata dengan sopan dan tingkahlaku yang beradab. Akhlak yang baik ini akan disenangi oleh sesiapa sahaja. Setiap orang akan tertarik kepada mereka yang bersopan. Jadi anda perlu berakhlak mulia supaya karisma anda meningkat

3) Hormati orang lain

Anda adalah seorang yang penting dan orang lain juga penting. Jika ini yang anda amalkan maka semua orang akan tertarik kepada anda. Ini adalah kerana sesiapa sahaja yang berada di samping anda akan rasa dihargai. Mereka ingin selalu berada dengan anda.

4) JAdi pendengar yang baik

Setiap orang amat gemar bercerita tentang hal mereka. Karisma anda akan dapat ditingkatkan jika anda menjadi seorang pendengar yang baik. Berikan orang lain peluang bercakap dan menyuarakan pendapat mereka . anda boleh memggalakkan mereka bercakap dengan memberikan sedikit dorongan minima iaitu seperti mengiakan dan menganggukkan kepala. Sesiapa sahaja akan suka pada anda kerana anda telah menjadikan mereka dapat meluahkan apa yang mereka ingin perkatakan

5) Tunjukkan minat anda pada apa yang mereka minat.

Komunikasi akan menjadi lancar jika seseorang yang kita bertemu ditanya tentang kegemaran mereka atau menceritakan kejayaan mereka. Apabila anda menunjukkan minat anda pada mereka ianya sebagai menghantar isyarat bahawa anda adalah sealiran dengan mereka.Anda akan dilayan dengan baik dan dihormati.

6) Pujian - Jangan lokek menghadiahkan pujian jika anda melihat sesuatu yang menyenangkan pada orang lain. Pujian ikhlas akan dapat meningkatkan karisma anda kerana anda dianggap sebagai orag yang perihatin dan suka mengambil berat

7) Bersifat penyayang

Seseorang yang penyayang amat disukai semua orang. Anda hendaklah sentiasa mengucapkan saya sayang pada semua orang dan semua orang sayang pada saya walau di mana sahaja saya berada. Sulai orang lain nescaya orang lain akan menyukai anda dan menyayangi anda

8) Jujur ,amanah dan bertanggung jawab
Sifat ini memang akan meningkatkan kredibiliti anda. Anda akan dikagumi kerana skap ini adalah sikap yang disenangi semua orang

9) Personaliti yang anggun

JIka dalaman anda telah baik maka hiasan luar juga amat penting . Pakaian yang sesuai mengikut suasana, tempat dan majlis akan memperlihatkan karisma anda

10) Tingkatkan kemahiran berkomunikasi. Berlatih bertutur dengan intonasi yang menyenangkan dan mudah difahami oleh orang lain. Bercakap dengan penuh keyakinan akan dapat meningkatkan karisma anda

11) Berdoalah supaya Allah memperelokkan tingkah laku anda.

12) Karisma yang paling hebat ialah anda menjadi insan yang bertaqwa. Inilah puncak segala karisma diri yang telah ditunjukkan contoh dan tauladan oleh Nabi junjugan kita Muhammad s.a.w

Selamat meningkatkan karisma anda!

http://mindataqwa.blogspot.com

Baca Seterusnya......

Saturday, October 31, 2009

Kanak2 Dan Penyakit Diabetes (Kencing Manis)

DIABETES merupakan antara penyakit kronik yang paling biasa menyerang kanak-kanak. Ia boleh menyerang pada mana-mana usia, termasuk bayi dan kanak-kanak kecil.

Jika tidak dikesan dari peringkat awal di kalangan kanak-kanak, penyakit ini boleh menyebabkan kecederaan otak yang serius dan juga boleh membawa maut.

Namun, penyakit diabetes di kalangan kanak2 sering kali terlepas pandang sepenuhnya, sama ada salah diagnosis sebagai selesema atau tidak didiagnosis langsung.

Setiap ibu bapa, guru, jururawat sekolah, doktor mahupun sesiapa sahaja yang terlibat dalam penjagaan harian kanak-kanak perlu prihatin dan membiasakan diri mengenali tanda-tanda amaran ancaman diabetes kanak-kanak.

Jenis Diabetes

Diabetes adalah sejenis penyakit kronik yang boleh menyebabkan hilang upaya dan sering membawa maut (akibat komplikasi).

Ia berlaku akibat daripada masalah dalam pengeluaran dan bekalan hormon insulin di dalam badan.

Badan memerlukan insulin untuk menggunakan tenaga yang tersimpan di dalam makanan. Apabila seseorang menghidap diabetes, badan mereka tidak dapat menghasilkan insulin yang cukup (diabetes jenis pertama) atau badan mereka gagal menggunakan insulin yang dihasilkan dengan berkesan (diabetes jenis kedua).

Diabetes jenis pertama adalah sejenis penyakit autoimun (sistem imuniti badan menyerang sel sendiri) dan tidak boleh dicegah.

Di seluruh dunia, diabetes jenis pertama adalah jenis diabetes yang paling banyak menyerang kanak-kanak dengan anggaran sekitar 500,000 kanak-kanak di bawah umur 15 tahun menghidapinya.

Bagaimanapun, akibat daripada peningkatan kadar obesiti di kalangan kanak-kanak dan gaya hidup yang lebih banyak duduk daripada bergerak, bilangan kanak-kanak dan remaja yang menghidap diabetes jenis kedua juga meningkat dengan pantas di seluruh dunia.

Di sesetengah negara (seperti Jepun), diabetes jenis kedua telah menjadi diabetes yang paling banyak berlaku di kalangan kanak-kanak, mengatasi jenis pertama.

Lindungi kanak-kanak

Tiada kanak-kanak yang sepatutnya mati akibat penyakit diabetes. Ianya satu penyakit yang membawa maut dengan empat juta kematian setiap tahun akibat masalah berkaitan dengan diabetes.

Kanak-kanak seringkali menjadi mangsa, terutamanya di negara-negara yang kurang kemudahan penjagaan dan rawatan diabetes, sering kali, menemui ajal pada usia muda.

- Sekitar 500,000 kanak-kanak di bawah umur 15 tahun menghidap diabetes jenis pertama di seluruh dunia.- Setiap hari, 200 orang kanak-kanak disahkan menghidap diabetes jenis pertama.

- Setiap tahun, 70,000 kanak-kanak di bawah umur 15 tahun disahkan menghidap diabetes jenis pertama.- Bilangan kes diabetes jenis pertama di kalangan kanak-kanak sedang meningkat pada kadar tiga peratus setahun.

- Peningkatan kes diabetes jenis pertama paling tinggi di kalangan kanak-kanak di bawah umur persekolahan pada kadar lima peratus setahun.

- Finland, Sweden dan Norway mempunyai kadar kes diabetes jenis pertama di kalangan kanak-kanak yang tertinggi di dunia.

- Diabetes jenis kedua telah dilaporkan di kalangan kanak-kanak seawal usia lapan tahun dan laporan terkini menunjukkan diabetes dikesan di kalangan kanak-kanak yang sebelum ini dianggap tidak berisiko.

- Di kalangan penduduk pribumi di Amerika Syarikat, Kanada dan Australia, terdapat sekurang-kurangnya seorang penghidap diabetes muda daripada 100 kanak-kanak. Dalam sesetengah komuniti, terdapat satu penghidap diabetes muda bagi setiap 25 kanak-kanak.

- Lebih separuh kanak-kanak yang menghidap diabetes mengalami komplikasi dalam tempoh 15 tahun.

- Kajian global menunjukkan diabetes jenis kedua boleh dielakkan dengan membolehkan individu menurunkan antara tujuh hingga 10 peratus berat badan mereka, di samping meningkatkan kadar aktiviti fizikal mereka kepada tahap sederhana.

- Diabetes jenis kedua di kalangan kanak-kanak kini menjadi satu ancaman kesihatan umum dan berpotensi menyebabkan masalah serius kelak.- Diabetes jenis kedua menyerang kanak-kanak di negara membangun dan juga negara maju.

Baca Seterusnya......

Thursday, October 29, 2009

Bukti Laporan Audit, Pakatan Rakyat mampu perintah Malaysia


PENDEDAHAN demi pendedahan berkenaan ketirisan kerajaan menguruskan perbelanjaan terus dilaporkan melalui Laporan Audit Negara saban tahun. Namun, teguran-teguran itu nampaknya tidak mengubah apa-apa, apabila ketirisan dan kebocoran terus berleluasa. Bersama Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar, wartawan ANIS NAZRI meminta cadangan-cadangan yang boleh diterima pakai bagi memastikan soal ketirisan dan kebocoran ini tidak akan berulang pada tahun-tahun berikutnya.

Baru-baru ini, Laporan Audit Negara mendedahkan lagi ketirisan-ketirisan dalam perbelanjaan Kerajaan Pusat seperti yang berlaku pada tahun-tahun sebelumnya. Biarpun berkali-kali teguran dan pendedahan dibuat, kerajaan tidak mengambil langkah untuk mengawal perbelanjaan mengelakkan ketirisan berulang. Pada pandangan Dato', apa perlunya laporan tersebut?

MAHFUZ OMAR: Sudah beberapa tahun laporan audit ini dijalankan. Saban tahun didedahkan soal ketirisan, kebocoran yang boleh dikaitkan dengan amalan rasuah dalam urusan perbelanjaan di peringkat agensi dan kementerian.
Sepatutnya apabila audit dilaporkan, perlu ada proses pemulihan dalam sektor awam dan kerajaan, tapi malangnya walaupun sudah lama pembentangan ini dijalankan, saya lihat kerajaan tidak berasa apa-apa. Mereka tidak rasa terbeban, tidak rasa tanggungjawab untuk mengambil iktibar dengan laporan audit, sekaligus saya lihat ianya banyak menghabiskan wang rakyat.
Wang rakyat sudah banyak hilang akibat ketirisan berlaku, sekali lagi ia akan hilang lagi akibat daripada kerajaan terpaksa peruntukkan wang untuk membuat audit. Tapi apabila kerajaan tidak ambil teguran dari audit, berlakulah dua kali tiris wang negara.

Bagi pendapat Dato' apa langkah sewajarnya yang boleh kerajaan lakukan jika mereka benar-benar ingin mengelakkan ketirisan ini terus berlaku?

Isunya sekarang, kerajaan tidak serius. Sepatutnya, kerajaan perlu tengok teguran semua pihak. Perlu ada pembaikan tapi sampai sekarang tiada apa-apa. Kenyataan Perdana Menteri, Najib Tun Razak yang kononnya tidak akan bertolak-ansur, akan mengambil tindakan, semuanya hanyalah sebagai 'lipstik'. Jika ada tindakan diambil pun, ianya di peringkat 'ikan bilis' sahaja.

Maknanya, diperingkat pemimpin atasan dibiarkan...

Kita lihat begini, kerajaan perlu bertindak agresif. Selain mengambil tindakan, kerajaan perlu menyediakan satu sistem pemantauan untuk melaksanakan sesuatu projek. Mesti ada satu badan pemantau untuk melihat bagaimana satu pelaksanaan itu dikeluarkan, bagaimana proses rundingan itu dibuat, sama ada dibuat secara terus atau terbuka. Mekasnisme ini yang perlu dijaga, jika mekanisme ini tidak jelas ia akan berulang lagi pada tahun-tahun akan datang.
Saya percaya tidak ada satu tindakan serius, khususnya pemantauan seperti yang saya katakan tadi. Kalau kerajaan buat itu (pemantauan), ia akan menutup ruang untuk kroni-kroni mereka mengambil kesempatan. Sebab itu pemimpin kerajaan tidak mengambil langkah tersebut. Kalau ambil juga, habislah kerana kaedah kroni yang digunapakai sekarang dianggap rezeki.

Di sinilah kita lihat kerajaan tidak serius kerana ada kepentingan...

Sekali tengok macam mereka tidak bimbang. Mungkin mereka fikir rakyat tidak akan persoalkan, dan dalam masa sama mereka rasa rakyat boleh dibeli, khususnya ketika pilihan raya. Itu merupakan satu penghinaan kepada rakyat jika mereka berfikiran begitu.
Tapi saya yakin, rakyat hari ini sudah berbeza dari 20 tahun, 10 tahun dahulu. Rakyat sekarang berpolitik dalam abad ke-21 yang terdedah dengan pelbagai maklumat, dan saya yakin rakyat akan buat penghakiman atas kegagalan kerajaan menguruskan dana negara ini.

Maknanya, ketirisan yang berlaku ini terus meningkat setiap tahun, atau ada sedikit penambahbaikan bagi pandangan Dato'?

Secara umumnya pendedahan itu menunjukkan berlakunya peningkatan dalam hal ketirisan. Sudah teruk, dan ketirisan ini atau kita panggil rasuah ini sudah berakar umbi dari atas sampai ke peringkat rendah, sehinggakan melibatkan jabatan agensi kerajaan.
Sebab itu saya ingin mencadangkan supaya harus dipinda akta atau undang-undang berkaitan audit. Bagi saya, baguslah audit ini, cuma saya lihat ada kelemahan sedikit apabila audit ini bidangnya hanya menyiasat semata-mata.

Apa cadangan Dato' supaya keadaan ini (ketirisan dan kebocoran) tidak berulang lagi pada tahun-tahun berikutnya?

Saya mencadangkan supaya ada satu peruntukan khas bahawa setiap laporan yang dibuat audit ini terus membawa kepada pendakwaan. Audit ini bukan sahaja dari sudut akaun, tetapi juga satu penyiasatan sehingga sampai tahap mengenalpasti siapa yang terlibat.
Kalau tunggu pihak polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) siasat, ia akan makan masa. Sudahlah makan masa, selepas itu mereka kata tiada kes, tiada bukti. Maka, terlepaslah sedangkan duit sudah hilang.
Sebab itu harus ada timbalan pendakwaraya, contohnya diletakkan di Jabatan Audit bagi membolehkan mengambil tindakan ke atas mereka yang terlibat. Letakkan seorang wakil seperti yang dilakukan di SPRM. Apabila jabatan audit melihat ada ketirisan, terus boleh dibawa ke pihak pendakwaan.

Selain mendedahkan banyaknya lebihan perbelanjaan, Jabatan Audit Negara turut memuji negeri-negeri Pakatan Rakyat seperti Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan juga Kelantan. Apakah signal yang boleh dilihat kerajaan pusat berhubung perkara ini?

Bagi saya kerajaan Barisan Nasional (BN) harus ada keinsafan. Kalau Pakatan Rakyat boleh membuat perbelanjaan berhemah, kenapa Kerajaan Pusat tidak boleh? Ini bertolak kepada sikap amanah yang ada di kalangan pemimpin.
Patutnya, kerajaan kena rasa malulah. Kalau di Pulau Pinang, pemimpinnya yang bukan Islam boleh dapat pujian, malulah Umno yang beragama Islam ini. Begitu juga dengan kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang lain. Kerajaan perlu mengambil contoh dan belajar bagaimana proses belanjawan berhemah dilakukan di negeri-negeri Pakatan Rakyat.

Umpamanya di Kedah. Kita amalkan 'open tender' untuk menambahkan pulangan pendapatan kepada kerajaan. Balak di Kedah, kalau dahulu satu ekar dalam RM 1000 lebih. Tapi sekarang sudah beri hasil pulangan sebanyak RM19 000 untuk satu ekar. Berapa banyak ganda yang dapat kita dapatkan hasil dari rundingan terbuka yang dijalankan.

Tidakkah ini patut disedari oleh BN?

Bukan sahaja kerajaan harus melihat pencapaian Pakatan Rakyat, tapi rakyat sendiri juga harus melihat secara serius bahawa negara kita perlukan satu corak, gaya pengurusan ekonomi yang dibuat Pakatan Rakyat yang bertitik-tolak dari sikap amanah. Kalau rakyat mahu suasana seperti itu, mahu tidak mahu mereka kena pilih Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum akan datang untuk mentadbir negara ini.

Adakah ini boleh dijadikan bukti bahawa Pakatan Rakyat memang mampu dan diberi peluang untuk mentadbir negara?

Pakatan Rakyat memang mampu. Cuma sebelum ini tidak pernah diuji, diberi peluang untuk membuktikan kebolehan. Selama ini orang sangka Umno sahaja boleh perintah. Tetapi apabila diberi peluang di beberapa negeri, termasuk di Kelantan yang masuk 19 tahun, Alhamdulillah ia dapat dibuktikan pengurusan yang lebih baik dan berhemah.

Sumber Dari DetikDaily

Baca Seterusnya......

Wednesday, October 28, 2009

Pas Tidak Akan Berpecah


Saya menyinggung politik dalam Pas kerana saya melihat parti ini penting dalam Pakatan Rakyat. Dan Pakatan pula penting dalam politik baru Malaysia. Seterusnya politik baru ini kritikal dalam membina sistem dua parti yang akan menentukan sama ada perlembagaan kita dapat diperkasakan atau terus dimanipulasi untuk kepentingan politik sebagaimana yang kita saksikan selama ini.

Sesiapa yang menafikan bahawa perlembagaan telah dikembirikan selama 52 tahun ini adalah jahil dan menipu dirinya sendiri. Selain tindakan UMNO, istana dan mahkamah dalam krisis politik di Perak apa yang dilakukan sejak merdeka juga sebenarnya telah menghambat perkembangan kemerdekaan. Jika ada yang tidak percaya silalah teliti laporan Suruhanjaya Reid dan draf yang mereka sediakan dan bandingkan dengan dokumen perlembagaan yang ada hari ini. Kaji juga keputusan-keputusan mahkamah sejak merdeka.

Memang Pakatan belum tentu tidak jadi macam Barisan Nasional. Tapi saya fikir kita perlu realistik dan beri mereka peluang. Jika mereka gagal kita akan letakkan kembali Barisan di tempatnya sekarang. Dalam sistem demokrasi yang kita amalkan ini sahaja cara yang kita boleh lakukan.

Inilah gambar besar yang kita harus perhatikan. Bukan soal remeh temeh yang para pencacai politik cuba paparkan dalam blog-blog mereka. Apakah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sudah nyanyuk dan menyusukan kera di hutan tidak relevan. Begitu juga dengan mereka yang cuba menonjolkan betapa Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi mangsa dan perlunya orang baik ini dipertahankan.

Rakyat yang sedar kepentingan negara tidak bicara soal individu. Kita bicara soal arah dan masa depan negara. Tentang perlunya sistem negara ini diperbetulkan. Proses ini sudah pasti panjang dan berliku. Apa yang berlaku dalam Pas adalah salah satu daripada mata rantainya. Proses sama sudah bermula dalam PKR. Ini baik. Tak perlulah kita bertengkar tentang namanya. Kalau nak kata krisis pun katalah. Yang penting ia ubat yang akan menyembuhkan penyakit-penyakit yang ada.

UMNO baru sahaja mendapat suntikan baru dan ia pastinya tak senang dengan perkembangan itu. UMNO mahu Pas terus kekal dengan bisul yang sekarang cuba diubati oleh Nik Aziz. Sebab itu media miliknya ramai-ramai mengatakan bahawa krisis Pas dan PKR itu adalah tanda bahawa musuh ketat mereka sudah mula buang tabiat. Sebagaimana orang Pas dan PKR mengejek pergelutan dalam UMNO. Sebagai rakyat yang prihatin kepada hidup mati negara kita tidak harus terjebak dengan gelagat dan permainan ahli-ahli politik seperti mereka. Kita perlu fokus kepada gambar besar tadi. Kita perlu lupakan soal-soal yang tidak wujud dan remeh seperti kedudukan dan perpaduan Melayu, Islam dan macam-macam lagi. Lagipun sejak bila yang UMNO prihatin sangat dengan Melayu dan Islam ini?

Gambar besar yang dikatakan tadi merujuk kepada imej Pas dan ini berkait dengan persepsi rakyat kepada parti itu. Dalam senario dan landskap yang ada sekarang Pas cuma boleh mendapat sekitar 40 peratus undi Melayu. Ini bermakna ia perlu mengekalkan sokongan bukan Melayu jika hendak mengekalkan kedudukannya sekarang. Ini bukan soal menjual maruah Melayu dan Islam. Sebaliknya ia adalah cabaran kepada Pas bagaimana hendak menjelaskan konsep-konsep negara kebajikan dan Pas untuk semua yang telah dimulakannya. Abdul Hadi gagal di sini. Atau memang tidak mampu. Dalam keadaan sebegitu dia dan kawan-kawannya sembunyi-sembunyi berkira dengan UMNO.

Kita tak peduli apa namanya. Kita juga tak peduli sama ada mereka masih lagi meneruskannya atau tidak. Yang jelas aktiviti itu telah membolehkan UMNO memberikan ciuman maut buat Pas dan sekarang virusnya merebak dalam parti. Ia menyebabkan syak wasangka dan menimbulkan kemarahan bukan Melayu. Abdul Hadi dan kumpulannya perlu ingat bahawa UMNO mahu memujuk bukan Melayu dan sekiranya Pas boleh digambarkan berada bersamanya itu sudah cukup baik. Dalam keadaan itu hanya tinggal DAP dan PKR sahaja yang perlu ditangani.

Imej Pas sudah tercalar dan Nik Aziz sebagai seorang pemain yang licik dapat menghidunya. Abdul Hadi dan kawan-kawannya semacam terlupa siapa yang mengundi mereka dalam PRU ke 12. Jika tidak masakan Datuk Dr Hassan Ali terus berdegil dan cuba menjaringkan gol sendiri! Saya sudah beritahu bahawa beliau boleh lakukan apa yang dibuatnya itu. Tapi kenalah letak jawatan dan jadi penyokong kerajaan sahaja.

Sehingga ini nampaknya usaha Nik Aziz belum disekat secara rasmi meskipun ada suara-suara yang mempersoalkan. Tak kiralah apa cara dan namanya. Muktamar khas atau sekadar mesyuarat majlis syura atau mesyuarat jawatankuasa agung membincangkan isu itu. yang penting persepsi rakyat diperbetulkan sebelum pilihan raya kecil yang akan dating. Dalam senario politik yang ada sekarang pastinya UMNO gian hendak bertanding. Saya fikir orang Pas dan Pakatan takut sekarang. Saya dapat tahu Nasrudin Hassan ada berkata tidak takut berlengan di Bagan Pinang. Tetapi inikah jenis kepemimpinan yang hendak kita pamerkan?


Oleh kerana isu besar yang hendak ditangani berkait dengan imej dan persepsi saya fikir elok Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pecat Hassan Ali dari kerajaan kerana kesalahannya cukup besar dan cukup jelas: melanggar perlembagaan negara dan negeri. Memang ini tak pernah dilakukan oleh UMNO Barisan. Tetapi inilah yang hendak ditunjukkan; yakni bahawa Pakatan serius dalam mendaulatkan perlembagaan yang menjadi tunjang dan nadi kepada demokrasi dan apa sahaja yang bersifatkan merakyatkan di negara ini. Saya tak fikir ada siapa yang boleh menghalang. Lagipun bukankah telah ada ketetapan yang menyekat gelagat seperti yang dilakukan oleh Hassan Ali itu? Di sisi undang-undang itu kuasa mutlak Khalid. Kalau Khalid tidak buat dia boleh dipersalahkan kerana tidak menjunjung perlembagaan.

Berbalik kepada Pas Datuk Seri Azizan Razak dikatakan tidak berminat. Mungkin itu cara orang politik: malu tapi mahu. Lagipun takkan dia hendak kata mahu. Pas perlu paksa Azizan. Lagipun dalam parti ramai yang kuat-kuat dan bertenaga. Khalid Samad contohnya. Dan ramai lagi.

Oleh sebab yang menjadi masalah ialah imej maka mereka yang terpalit dengan imej-imej yang negatif itu kenalah berundur. Ini bukan soal sudah tak buat kerja itu atau sudah bertaubat. Yang penting imej parti sudah rosak dan dalam politik hukumannya ialah letak jawatan dan beri laluan kepada orang lain. Saya tahu orang Pas ada yang marah. Tetapi mereka kena fikir bahawa itulah risiko yang perlu diambil apabila parti dirakyatkan. Dahulu mereka ejek UMNO. Sekarang baru mereka tahu susahnya mentadbir parti yang besar. Apa yang menjadi masalah sekarang ialah ada orang Pas yang berfikir seperti zaman Pas masih parti kecil dahulu. Mereka inilah yang gagal meletakkan keutamaan. Bagi mereka yang berfikiran sempit ini apa sahaja cadangan untuk memperbaiki parti akan dilihat sebagai agenda anasir UMNO yang menyusup ke dalam parti.

Apakah Pas akan pecah? Saya tak fikir begitu. Dan saya tak fikir saya yang kerdil ini boleh menggoncang Pas. Lainlah kalau Pas ini harimau kertas. Sejarah politik ini cukup jelas bahawa parti serpihan tak lama. Pas bukan parti serpihan. Kalau pemimpin tertentu disingkirkan pun saya tak fikir akan ada yang ikut. Mungkin mereka akan merajuk beberapa hari. Lepas itu mereka akan balik. Kalau dalam UMNO pun begitu apalagi dalam Pas. Lagipun para pemimpin bermasalah yang disebut oleh Nik Aziz itu bukan hero; kebanyakannya sakit nak menang pilihan raya. Jadi kalau letak jawatan atau disingkirkan pun tidak akan ada kesan pada parti. Orang Pas tak perlulah percaya ramalan dan analisis media UMNO.

Ada juga yang mempersoalkan tidakkah penyingkiran bermakna membelakangkan keputusan perwakilan muktamar yang membuat pemilihan? Saya fikir ini tidak timbul kerana kita bukan mempertikaikan keputusan pemilihan. Kita mengatakan ada di antara yang terpilih telah gagal. Dan kita cadangkan supaya diminta berhenti atau letak jawatan. Kalau Pas berdegil dan tidak mahu membuat anjakan tunggulah keputusan rakyat nanti.

Apakah perubahan drastik itu semestinya menyelesaikan kelesuan? Kita tidak tahu. Tetapi apa yang penting sesuatu perlu dilakukan kerana jika Pas tidak berbuat apa-apa ia telah melakukan dua kesalahan; yakni sudah sedar ada sesuatu yang tak kena tetapi tidak berbuat apa-apa. Apa pun pemimpin baru itu akan diadili juga. Tidakkah kita beroperasi dalam sistem demokrasi? -Abdul A

Oleh Prof Dr. Abd Aziz Bari (UIA)

Baca Seterusnya......