Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Thursday, May 27, 2010

Atasi penuaan mata


PENUAAN menyebabkan penglihatan terjejas. Malah, ketika usia menghampiri 40 tahun ke atas, setiap daripada kita akan mengalami masalah penglihatan dikenali presbyopia, termasuk yang mungkin tidak mengalami apa-apa masalah penglihatan sebelum ini.

Presbyopia merujuk masalah berkaitan bentuk bola mata yang kian menipis dan tidak lagi berupaya menjadi fleksibel. Perubahan ini menjadikan lensa mata tidak lagi elastik. Malah, otot gentian di sekeliling mata juga turut terjejas dengan penuaan ini. Dengan kurangnya sifat elastik, mata semakin sukar memfokus sekali gus menyukarkan anda untuk membaca. Pakar Runding Mata, Dr Chuah Kay Leong, berkata presbyopia menyebabkan seseorang itu sukar membaca buku, majalah atau bahan bacaan lain dalam lingkungan kejauhan lengan atau kira-kira 70 sentimeter.

Mereka yang menulis atau mengait pula mudah sakit kepala, loya serta mata menjadi kering.

“Selain aspek penuaan, presbyopia boleh juga terjadi di kalangan mereka yang lebih muda. Biasanya presbyopia jenis ini dirujuk sebagai presbyopia pramatang. Ia berlaku akibat komplikasi penyakit atau pengambilan ubat tertentu,” katanya.

Dr Chuah berkata, presbyopia pramatang juga mungkin petanda penyakit seperti diabetes, sclerosis pelbagai dan masalah kardiovaskular. Pengambilan ubat-ubatan seperti antikemurungan atau alkohol pula boleh menjejaskan sifat fleksibel lensa mata.
“Umumnya presbyopia boleh ditangani dengan dua cara, pemakaian kaca mata yang bersesuaian atau pembedahan. Bagaimanapun, teknik terkini dalam menangani presbyopia ialah dengan penggunaan implan dikenali AcuFocus Kamra,” katanya.

Beliau berkata, AcuFocus Kamra adalah alat berbentuk ‘donut’ yang dipasang pada kornea. Ia diletakkan di hadapan kornea bagi membolehkan seseorang itu membaca tanpa kaca mata.

“Ia mempunyai ukur lilit 3.8 milimeter (mm) dan setebal .005 mm. Beratnya sama dengan sebutir garam,” katanya.

Kata Dr Chuah, lapisan AcuFocus Kamra membantu presbyopia dengan menghasilkan satu lubang kecil di kawasan tengah kornea. Ia meningkatkan kedalaman fokus mata dan memperbaiki penglihatan dekat tanpa menjejaskan penglihatan jauh anda.

“AcuFokus Kamra dipasang pada sebelah mata saja. Selalunya mata yang berdepan dengan masalah penglihatan dekat. Satu lagi mata tidak akan dibaiki dan dibiarkan seadanya.

“Proses implan itu membabitkan usaha penghasilan satu flap kornea (seperti prosedur Lasik) di tengah-tengah kornea. AcuFocus Kamra akan diletakkan di kawasan itu,” katanya.

Istimewanya ialah teknologi ini tidak memerlukan kornea asal individu itu dibuang. Malah jika anda tidak mahu lagi menggunakan AcuFocus Kamra, ia boleh dibuang pada bila-bila masa.

“Prosedur meletakkan implan mengambil masa 20 hingga 15 minit, manakala tempoh masa anda menyesuaikan diri dengan implan itu adalah antara satu hingga enam bulan. Tetapi ada juga mereka yang boleh menyesuaikan diri sehari selepas menjalani prosedur itu,” katanya.

Info Gejala presbyopia

  • Penglihatan kabur pada objek yang dekat
  • Sukar membaca tulisan kecil
  • Mata letih terutama apabila membaca di tempat kurang cahaya atau pada waktu petang
  • Mata tegang dan sakit kepala apabila terlalu dekat dengan bahan bacaan/jahitan.
  • Memegang bahan bacaan pada jarak kejauhan lengan untuk melihat dengan lebih jelas.

    Prosedur lain (Selain AcuFocus Kamra)

  • Penggunaan kaca mata
    Penggunaan kaca mata dengan lensa tambahan dan dua titik fokus (bifocal) antara teknik pembetulan presbyopia yang popular. Selain itu penggunaan kaca mata khas untuk membaca juga satu lagi pilihan.

  • Pembedahan
    Satu lagi pilihan dalam menangani presbyopia ialah melalui pembedahan. Ada pelbagai teknik pembedahan untuk presbyopia, antaranya monovisiobn Lasik iaitu satu mata dibetulkan untuk penglihatan jarak dekat dan sebelah lagi mata untuk penglihatan jarak jauh.

  • Sumber : BH

    0 comments: