Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Wednesday, May 5, 2010

Masalah otot kaki dan lutut - Cramps.


Masalah kekejangan atau cramps seringkali digunakan untuk menggambarkan keadaan kesakitan yang melibatkan kekejangan pada otot tersebut dan selalunya cramps yang sebenar adalah sangat menyakitkan.

Ianya disebabkan pengecutan akut secara tidak terkawal (involuntary) dan selalunya menyukarkan pergerakan. Masalah cramps ini harus dibezakan dengan masalah kelenguhan otot kerana kedua-duanya adalah masalah yang berbeza.

Kelenguhan pula selalunya disebabkan keletihan otot yang digunakan dalam pergerakan yang berterusan atau kurang rehat dan ini menyebabkan pengumpulan asid laktik di dalam otot berkenaan yang menjalankan aktiviti anaerobik (tanpa oksigen), di mana aktiviti otot berlaku di dalam kekurangan bekalan oksigen kepada otot.

Selalunya kelenguhan akan pulih dengan berehat dan ini memulihkan pengaliran darah ke otot berkenaan dan asid laktik yang terkumpul akan dikumuhkan.

Terdapat banyak teori berkaitan dengan cramps ini termasuklah keadaan dehidrasi, kekurangan garam mineral (elektrolit) tertentu dalam badan seperti potassium, sodium dan kekurangan karbohidrat atau keadaan otot yang terlalu tegang.

Akan tetapi teori yang lebih popular adalah keadaan keterujaan pada saraf otot-otot (neural excitability) yang terlibat, menyebabkan keadaan cramps tersebut.

Otot yang paling lazim dikaitkan dengan masalah cramps adalah otot di bahagian betis, akan tetapi otot-otot di bahagian lain juga boleh terlibat.

Rawatan bagi masalah cramps ini pula termasuklah meregangkan semula otot berkenaan dan menggunakan tuaman ais.

Lebih penting lagi bagi masalah cramps ialah pencegahannya dan cara mencegahnya termasuklah senaman yang konsisten dengan meregangkan otot-otot (stretching), membetulkan postur badan dan mengimbangkan otot, conditioning otot-otot untuk aktiviti khusus dan persediaan mental.

Cara senaman yang khusus boleh diperoleh melalui latihan dengan jurulatih dan jurupulih anggota atau ahli fisioterapi bagi mengaturkan program latihan dan menguatkan otot-otot dengan cara yang betul.

Selain itu imbangan pemakanan dengan pengambilan makanan berkarbohidrat, dua hingga tiga jam sebelum latihan, pengambilan air dan garam mineral (elektrolit) yang secukupnya juga adalah penting dalam pencegahan cramps.

Pencegahan cramps melibatkan mengekalkan aktiviti otot yang normal sepanjang latihan atau sukan dan pemulihannya sewaktu rehat dengan regangan otot (stretching) dan urutan (massage). Dapatkan rawatan lanjut sekiranya masih berlaku masalah cramps tersebut termasuklah ujian darah untuk memastikan tahap garam mineral (elektrolit) dalam badan anda.

0 comments: