Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Saturday, May 8, 2010

Muhasabah Diri.

Seorang mukmin memuhasabah dirinya tentang perlakuan yang telah dilakukannya. Kata Umar al-Khattab: “Hitunglah dirimu sebelum kamu dihitung”. Dia mesti bersungguh-sungguh melakukan muhasabah itu kerana Allah Taala sentiasa melihat dan memerhati gerak gerinya.

Sebaliknya, seorang yang tidak beriman tidak memuhasabah diri. Dia mementingkan penampilan di hadapan manusia. Dia takutkan manusia, tetapi tidak takutkan Allah Taala. “Mereka menyembunyikan (kejahatan mereka) daripada manusia, dalam pada itu mereka tidak menyembunyikan (kejahatan mereka) daripada Allah. Padahal Allah ada bersama-sama mereka, ketika mereka merancangkan pada malam hari, kata-kata yang tidak diredhai oleh Allah. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Meliputi PengetahuanNya akan apa yang mereka lakukan”. (Surah an-Nisa’:108).



Maksud muhasabah diri ialah seseorang itu melakukan muhasabah terhadap dirinya sendiri. Muhasabah itu bertujuan mengislah diri dan membetulkan akhlak di dunia ini. Pintu taubat sentiasa terbuka sebelum kematian menjelma. Muhasabah akan diikuti taubat, dan tiada taubat selepas mati.

Muhasabah ini bukan pada material atau perniagaan, untuk mengetahui untung dan rugi. Sebaliknya, ia bertujuan untuk mengetahui untung dan rugi seseorang insan pada usahanya mentaati Allah atau melakukan maksiat. Ia juga bertujuan untuk mengetahui sejauh mana perbuatan dan amalannya bertepatan dengan kehendak syarak. Jika terdapat sebarang penyelewengan atau kecuaian, maka hendaklah dia segera bertaubat, kembali kepada Allah dan membetulkan hala tuju hidupnya.

Muhasabah ini hendaklah dilakukan selepas setiap amal yang dilakukan, agar hatinya tenteram bahawa dia tidak menyeleweng dari ketetapan Allah dan sentiasa mematuhi arahan dan laranganNya.

Ibnu Qudamah berkata: “Pengertian muhasabah ialah melihat keadaan modal, keadaan keuntungan dan kerugian, agar dapat mengenalpasti sebarang penambahan dan pengurangan. Modalnya dalam konteks agama ialah perkara yang difardhukan, keuntungan ialah perkara sunat dan kerugiannya pula ialah maksiat.”

Ibnul Qaiyim pula berkata: “Muhasabah ialah membezakan antara apa yang diperolehinya dan apa yang perlu ditanggungnya. Setelah mengetahui yang demikian, maka dia hendaklah membawa apa yang diperolehinya dan melunaskan apa yang ditanggungnya. Dia seolah-olah seorang musafir yang tidak akan kembali.”

Dalil-dalil yang menyuruh melakukan muhasabah diri terdapat di dalam al-Quran, hadith dan kata-kata salafusoleh.

Firman Allah Taala: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan”. (Surah al-Hasyr:18).

Ayat di atas memerintahkan mukminin agar bertakwa kepada Allah Taala dan sentiasa memerhati dan mengawasi amal perbuatan mereka agar tidak menyalahi perintah Allah Taala. Setiap jiwa “diarahkan oleh Allah Taala agar memerhati amalannya untuk masa depan, sama ada baik atau jahat. Arahan itu merupakan amaran bahawa amalan yang dilakukannya itu akan dihitung sama ada baik atau jahat.

Tujuan pemerhatian itu ialah agar seseorang itu membuat persediaan yang sempurna untuk menghadapi hari yang dijanjikan dan mengemukakan amalan yang boleh menyelamatkannya dari azab seksa Allah Taala serta memutihkan wajahnya di hadapan Allah Taala.

Ibnu Kathir berkata dalam menafsirkan ayat di atas: “Hitunglah diri kamu sebelum kamu dihitung dan perhatikan amalan soleh yang kamu simpan untuk dirimu pada hari yang dijanjikan dan ketika kamu dihadapkan di hadapan Tuhan kamu”

Dalam hadith pula, daripada Syidad bin Aus, berkata: Sabda Rasulullah s.a.w.: “Orang yang bijak ialah orang yang menundukkan hawa nafsunya dan beramal untuk hari selepas mati. Orang yang lemah ialah orang yang mengikuti hawa nafsunya dan berangan-angan sesuatu di sisi Allah” (Riwayat Ibnu Majah dan berkata: Hadith Hasan). Maksud “menundukkan hawa nafsu” ialah menghitung diri di dunia.

Daripada Umar bin al-Khattab, berkata: “Hitunglah diri kamu sebelum kamu dihitung, timbanglah amalanmu sendiri sebelum ia ditimbangkan untukmu, dan bersedialah untuk hari pembentangan amal yang besar, sesungguhnya hisab pada hari kiamat menjadi ringan bagi sesiapa yang melakukan muhasabah diri di dunia ini”.

Daripada Maimun bin Mehran: “Seseorang itu tidak bertakwa sehinggalah dia memuhasabah dirinya seperti mana dia memuhasabah rakan kongsinya … dari manakah makanan dan minumannya”.

Ibnul Qaiyim berkata: “Sesiapa yang tidak memuhasabah dirinya di dunia, maka dia berada di dalam kelalaian”.

Al-Hasan berkata: “Sesungguhnya seseorang hamba itu dalam keadaan baik selama mana dia mempunyai penasihat dalam dirinya dan muhasabah menjadi perkara yang penting baginya”.

Umar menulis kepada Abu Musa al-Asyari: “Hitunglah dirimu dalam keadaan selesa ini sebelum waktu hisab yang ketat”.


0 comments: