Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Monday, May 10, 2010

F1 Sepanyol - Webber cipta kemenangan pertama.


WEBBER (tengah) tidak berdepan masalah untuk menjuarai GP Sepanyol semalam.


BARCELONA - Mark Webber merangkul kejuaraan pertama musim ini dan yang ketiga sepanjang karier selepas jentera Red Bull yang dipandunya terlebih dahulu melepasi garisan penamat pada perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Sepanyol semalam.

Pemandu berusia 33 tahun dari Australia yang memulakan perlumbaan dari petak utama ketiga diraihnya musim ini berjaya memanfaatkan sepenuhnya kelebihan itu.

Webber mendahului sejak dari pusingan pertama selepas berjaya mengatasi segala asakan pada selekoh pertama.

"Ia satu keputusan yang cukup menakjubkan. Semua dalam pasukan ini telah melakukan tugas mereka dan saya cukup gembira.



"Secara keseluruhannya, kejayaan ini dicapai menerusi kerja keras setiap individu dalam pasukan Red Bull," kata Webber.

Ia merupakan kemenangan pertama Webber sejak kali terakhir mengungguli GP Brazil musim lalu selepas dia muncul pemandu pertama Australia yang meraih kejayaan sejak Alan Jones melakukannya pada 1981 apabila menjuarai perlumbaan di Jerman.

Webber melepasi garisan penamat 24 saat lebih awal daripada pemandu tuan rumah yang juga juara dunia dua kali, Fernando Alonso dari Ferrari yang mengambil kesempatan daripada dua kemalangan dramatik pada penghujung perlumbaan untuk menduduki tempat kedua.

Pemandu Britain, Lewis Hamilton dari McLaren sebelum itu dilihat bakal menamatkan perlumbaan di tempat kedua tetapi nasib malang menimpa apabila jenteranya mengalami kerosakan tayar pada pusingan terakhir.

Ia membuka ruang buat Alonso merampas tempat kedua selain membolehkan rakan sepasukan Webber dari pasukan Red Bull, Sebastian Vettel menduduki tangga ketiga biarpun terpaksa memasuki pit stop tambahan selepas jenteranya terbabas ke perangkap pasir.

"Pada satu ketika di permulaan perlumbaan, ia cukup sengit apabila Hamilton dan Alonso berada di sisi jentera saya tetapi saya berjaya mengekalkan kedudukan di hadapan dan mendapat rentak sepanjang perlumbaan.

"Kami tidak mengalami masalah tayar, pit stop berjalan lancar dan kami hanya perlu mengekalkan jarak," jelas Webber.

Sementara itu, juara tujuh kali, Michael Schumacher, 41, menamatkan perlumbaan di tempat keempat di hadapan juara bertahan, Jenson Button di tempat kelima.

Pemandu Brazil, Felipe Massa dari Ferrari pula menduduki tempat keenam, Adrian Sutil dari Force India di tempat ketujuh, Robert Kubica dari Renault di tempat kelapan, Rubens Barrichello dari Williams di tempat kesembilan manakala Jaime Alguersuari dari Toro Rosso di tempat kesepuluh.

Kemenangan Webber itu berjaya menempatkan dirinya di kalangan pendahulu keseluruhan yang masih diungguli Button dengan 70 mata, diikuti Alonso dengan 67 mata.

Vettel di tangga ketiga dengan 60 mata manakala Webber di tangga keempat dengan 53 mata. - AFP


0 comments: