Oleh HAMZAH ABDUL HAMID
Kewujudan lubang-lubang berdiameter besar dengan kedalaman hingga beratus-ratus meter sering dianggap fenomena luar biasa.
RONGGA bumi yang digelar Devil's Sinkhole di Texas, Amerika Syarikat kini diwartakan sebagai taman negara.
PASTI ramai di kalangan pengguna Internet pernah dikejutkan dengan e-mel rantaian yang menunjukkan gambar-gambar pelik dan ngeri tentang kejadian lubang gergasi di atas muka bumi.
Bagi yang curiga, kesahihan gambar seperti itu segera disangkal dengan tanggapan ia dimanipulasi perisian suntingan imej. Dalam mencerna kesimpulan, manusia perlu mengambil kira banyak penjelasan terutama dari sudut ilmu geologi.
Antaranya adalah seperti kejadian hakisan batu kapur, pergerakan air bawah tanah ataupun impak meteor yang terjadi ratusan atau ribuan tahun sebelumnya.
LOKASI lombong berlian di bandar Mirna, Siberia ini membentuk lubang yang dilihat jelas dari angkasa.
China, misalnya, mempunyai lubang gergasi atau rongga bumi terbanyak di dunia, iaitu kira-kira 50 kesemuanya. Rekod penemuan fenomena landskap alam itu dalam istilah tempatan dipanggil tiankeng.
Senarai rongga bumi di China didahului tiankeng Xiaozhai. Ia mempunyai kedalaman 660 meter dan berkapasiti 119 juta meter kubik dan dikatakan mengumpul sumber air hingga berkemungkinan menjadi punca aliran Sungai Yangtze. "Anda boleh menyembunyikan beberapa Bangunan Empire State di dalamnya. Rakyat China sendiri tidak mengetahui tentangnya hinggalah ia didedahkan media 15 tahun lalu. "Laluan belantara dan ketiadaan infrastruktur menyukarkan sesiapa untuk sampai ke lokasi ini," ulas pakar geologi dari Pennsylvania State University, Prof. William White.
PENENGGELAMAN tanah di Guatemala City ini berpunca daripada kebocoran sistem paip bawah tanah.
White membentangkan penemuan tiankeng Xiaozhai selepas mengikuti pelawaan ekspedisi ke lokasi terpencil itu pada tahun 2005 oleh pakar dari Institut Geologi Guilin, Zhu Xuewen.
"Ciri rongga bumi sangat unik. Faktor utama yang perlu diberi perhatian adalah kemungkinan wujudnya aliran sungai bawah tanah. Ia kelihatan seperti lembah, namun jika diteliti, 'lembah' itu tidak mempunyai jalan keluar," ujar White.
Di Texas, Amerika Syarikat, rongga bumi yang digelar Devil's Sinkhole sudah dijadikan destinasi pelancongan ekstrem yang amat popular. Penerokaannya dari sudut komersial telah menjadikan tempat itu boleh dikunjungi mereka yang mahu mencuba aktiviti seperti menuruni cenuram batu dan merentas lereng.
Paling menggemparkan adalah tentang kejadian lubang gergasi yang mengorbankan tiga mangsa di Guatemala City pada 23 Februari 2007. Diameter lubang ini mencapai ukuran 20 meter sementara berkedalaman 204 meter. Kerosakan sistem pengaliran air banjir bawah tanah dikatakan menjadi punca bagi tragedi yang meninggalkan landskap kekal itu.
Selain lubang yang terbentuk secara alami atau tanpa diduga, terdapat juga lubang besar yang dibuat oleh manusia atas agenda perlombongan.
TIANKENG Xiaozhai tidak diketahui rakyat China sendiri sehingga ia didedahkan media 15 tahun lalu.
Sebagai contoh, lombong berlian di di Mirna, Siberia meninggalkan lubang bersaiz 525 meter dalam dan berdiameter 1.25 kilometer. Saiz berbentuk kawah itu sangat jelas dikesan daripada rakaman satelit.
Impak meteor juga dipercayai menyebabkan rongga besar di dasar Laut Caribbean.
Digelar sebagai Great Blue Hole, ia merupakan sebahagian daripada Rizab Terumbu Karang Belize iaitu sebuah tapak warisan dunia seperti yang diisytiharkan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Air membentuk kaviti
Menurut pensyarah geologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Che Abdul Aziz Ali, fenomena itu juga pernah berlaku di Malaysia tetapi tidak ketara saiznya.
"Seperti lubang berbentuk kawah bulat yang ditemui di Pulau Langkawi, ia dipercayai adalah tinggalan impak meteor suatu masa dahulu. Tenaga dan sudut hentaman itu menentukan jenis dan bentuk lubang yang terhasil pada muka bumi," terangnya.
Selain meteor, kemungkinan kes penenggelaman mengejut pada kawasan tertentu juga disumbangkan punca-punca seperti penurunan mendadak paras air bawah tanah akibat kemarau, aktiviti perlombongan, kebocoran sistem pengairan, dan tekanan beban di permukaan.
IMPAK meteor yang 'melubangkan' dasar samudera di Laut Caribbean ini diiktiraf tapak warisan UNESCO.
Air, menurut Abdul Aziz, menjadi penyebab utama jika mengulas tentang proses kaviti yang membentuk rongga dalam batu kapur. Pembentukan Gua Mulu, Sarawak dan Batu Caves, Selangor adalah contoh terbaik tentang penyusutan atau perubahan formasi batu kapur yang disebabkan oleh aliran air di bukit batu kapur.
Kalau bukan kerana kaviti yang membentuk gua, permukaan atas batu kapur boleh mengalami penenggelaman lalu membentuk lubang yang besar. Itulah misteri alam yang manusia sendiri tidak tahu bila akan terjadi.
"Air hujan adakalanya mengandungi asid yang memiliki keupayaan menghakis batu dari semasa ke semasa. Untuk jangka masa panjang, perubahan struktur akan berlaku," ujarnya yang turut memberitahu bahawa 40 peratus daripada muka bumi Kuala Lumpur terbentuk di atas batu kapur.
Sumber : Kosmo
Thursday, May 20, 2010
Lubang gergasi bumi
Posted by Suhaimi at 11:43 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment