Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Thursday, May 20, 2010

Festival bogel tarikan baru Jepun


FESTIVAL unik tahunan ini mula menarik perhatian pelancong asing untuk datang melawat Jepun.

TOKYO - Hadaka matsuri atau festival bogel merupakan acara yang mewajibkan pesertanya memakai pakaian seringkas mungkin. Lazimnya, cawat tradisional Jepun digelar fundoshi menjadi pilihan ramai bagi festival tahunan ini.

Saat paling mengujakan berlaku pada malam festival tersebut apabila setiap lelaki yang berpakaian paling menjolok mata dan hampir bogel bersaing antara satu sama lain bagi merebut tangkal yang kononnya membawa tuah.

Bertempat di kuil Saidai-ji di kota Okayama, festival bogel tersebut merupakan salah satu daripada tiga festival aneh terbesar yang berlangsung di Jepun setiap minggu ketiga bulan Februari.

Dengan hanya memakai cawat, seramai 9,000 lelaki bertungkus-lumus berebut kayu bertuah yang berukuran diameter empat sentimeter (sm) dan sepanjang 20sm. Ia dicampak ke arah orang ramai oleh sami dari tingkap kuil setinggi empat meter.

Sesiapa yang berjaya memegang kayu tersebut atau shingi sebelum menolaknya ke dalam sebuah kotak yang dipenuhi beras atau masu, lelaki tersebut dianggap bertuah dan bakal dilimpahi kegembiraan sepanjang tahun.

Antara barangan bertuah lain ialah 100 ikatan pokok willow. Walaupun nampak senang, ia tidak semudah yang disangkakan untuk mendapatkannya.

Festival itu bermula kira-kira 500 tahun lalu apabila penganut Shinto, agama rasmi Jepun, berlumba-lumba menerima kertas azimat dipanggil Go-o yang dilemparkan oleh ketua sami mereka.

Bagi mereka yang pernah menerima tangkal azimat itu, banyak perkara baik berlaku sehingga permintaan terhadap acara tersebut meningkat dari tahun ke tahun.

Oleh kerana kertas azimat itu mudah terkoyak, ia ditukar kepada kayu ofuda seperti digunakan sekarang sambil peserta menjerit 'Wasshoi! Wasshoi!' ketika sampai di pinggir bandar.
Walaupun festival itu berlangsung ketika suhu dingin, ia tidak menghalang ribuan lelaki menunggu dengan tidak sabar, malah ada yang tidak dapat bernafas dengan teratur sekali gus menyebabkan mereka terpaksa disimbah air.

Sebaik sahaja tiba tengah malam, apabila lampu dipadamkan serentak, kayu azimat tersebut dicampakkan ke arah orang ramai, menandakan keseronokan festival itu bermula.

PESERTA festival bogel di Jepun turut melumurkan lumpur pada tubuh mereka bagi memohon keberkatan rezeki.

Untuk membuatkan ia lebih meriah, beberapa tempat di daerah itu memilih kawasan berlumpur sebagai tempat berlangsungnya acara. Festival itu turut dianjurkan dua musim setahun iaitu pada musim panas dan sejuk.

Hadaka matsuri yang dilakukan pada musim panas melibatkan peserta memakai cawat sambil membawa mikoshi iaitu alatan suci mudah alih.
Bagi sambutan ketika musim sejuk, ia merangkumi ritual penyucian dengan menggunakan air. Kemudian diikuti perlawanan mendapatkan objek keramat seperti barangan kemas, kayu suci dan sebagainya.

Kebanyakan peserta ialah lelaki dewasa yang cuba menjelmakan imej kekuatan. Namun, lelaki muda dan gadis juga dikatakan mula melibatkan diri dalam festival itu.

Lebih menarik, di sesetengah tempat terutama di barat Jepun, mereka mengubah tradisi acara Hadaka matsuri kepada karnival sumo wanita.
Meskipun terdapat kontroversi mengenai festival itu, masyarakat moden Jepun masih menganggapnya sebagai satu elemen kesihatan, suci dan bukannya satu kelucahan. - Agensi

Sumber : Kosmo

0 comments: