Oleh Tamrin Ghafar
Assalamualaikum w.b.t.
Segala puji bagi Allah swt, Tuhan Yang Maha Mengasihani dan Menyayangi hamba-hamba-Nya. Dialah Tuhan yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk manusia berbanding manusia itu sendiri.
Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w yang sangat kasih kepada umatnya. Baginda sentiasa merasa begitu berat melihat penanggungan umatnya di dunia lebih-lebih lagi di akhirat.
Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Jamil Khir Baharom.
Terlebih dahulu saya berdoa agar Allah s.w.t agar memberi keterbukaan di hati Dato’ sewaktu membaca surat ini seperti mana saya cuba membuka hati saya sewaktu menulisnya. Saya penuh sedar bahawa saya bukanlah insan yang tidak berdosa, tetapi saya yakin Dato’ sedia maklum bahawa dosa-dosa kita sama ada yang terdahulu, kini dan masa akan datang tidaklah wajar menjadi penghalang untuk kita mengingatkan sesama muslim.
Maka atas dasar itulah saya memberanikan menulis surat ini. Rasulullah saw bersabda: “Barangsiapa di antara kalian yang melihat kemungkaran, hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya; jika tidak mampu, hendaklah dengan lisannya; jika tidak mampu, hendaklah dengan hatinya. Akan tetapi, yang demikian itu (dengan hati) adalah selemah-lemahnya iman.” [HRMuslim]. Dalam riwayat lain disebut, “dan di luar itu, sudah tidak ada lagi sebutir keimanan pun”.
Surat ini ditulis dengan tujuan menyatakan pendirian terhadap isu kelulusan lesen perjudian bola sepak sempena kejohanan Bola Sepak Piala Dunia akan datang yang telah diluluskan oleh Kerajaan baru-baru ini. Mudah-mudahan dengan misi surat ini Dato’ sebagai menteri yang dipertanggungjawabkan dalam hal ehwal agama, akan memikirkan dengan wajar, bijaksana dan penuh berhati-hati terhadap hak Allah dan hak sesama manusia.
Saya memilih menulis surat ini secara terbuka kerana media cetak dan elektronik aliran perdana lebih berminat membesar besarkan isu seperti pernikahan yang menyalahi undang-undang syarak walaupun ianya telah menepati hukum ALLAH. Mereka seolah-olah mendapat arahan untuk melenyapkan pandangan dan teguran-teguran yang tidak menyokong tindakan Kerajaan meluluskan lesen perjudian tersebut.
Ini terbukti apabila saya selaku Naib Presiden Pertubuhan Mantan Wakil Wakil Rakyat UMNO (PAKKU) mengeluarkan kenyataan akhbar pada 18hb Mei 2010 meminta Kerajaan membatalkan serta merta lesen judi tersebut tidak ada satu pun media cetak dan elektronik aliran perdana mengeluarkan kenyataan tersebut.
Yang Berhomat Dato’,
Sesunguhnya, pertimbangan pengeluaran lesen judi atas alasan untuk mengawal dan mengetahui jumlah wang pertaruhan (seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussien) adalah tertolak di sisi Islam. Dalil pengharaman judi adalah qatie’ dan tidak boleh dipertimbangkan lagi. Kawalan seharusnya tertumpu pada usaha kerajaan menyekat judi yang gelap mahupun terang dengan melipatgandakan modus operandi agensi-agensi penguatkuasaan dan mengenakan hukuman yang lebih berat, bukan ‘menghalalkan’nya. Saya ingin bertanya di manakah letaknya kesahihan kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman bahawa polis sudah mengenal pasti suspek dan lokasi sindiket judi bola itu? Jika demikian, mengapa tidak dihapuskan kegiatan itu sama sekali? Apakah polis tidak berupaya menghapuskan sindiket-sindiket tersebut? Apakah meluluskan lesen judi tersebut merupakan pendekatan terbaik untuk mengatasi ketidakupayaan polis?
Jika itu alasannya maka mengapa tidak Kerajaan menghalalkan sahaja perkara-perkara haram yang lain seperi pelacuran, pengedaran dadah dan lain-lain kemungkaran atas alasan untuk ‘mengawalnya’ pada masa akan datang?
Padahal, kerajaan seharusnya mesti lebih serius, kreatif dan komited untuk membanteras semua perkara haram itu sama ada melalui kaedah dakwah dan tarbiah (pendidikan) mahupun dengan penguatkuasaan undang-undang. Kita seharusnya berfikir ke arah bagaimana hendak mengikut hukum yang telah ditetapkan Allah, bukan mencari jalan untuk menyimpang daripada hukum-Nya. Saya dimaklumkan bahawa kedua-dua mantan Perdana Menteri sebelum ini telah menolak permohonan syarikat tersebut untuk mendapatkan lesen judi ini. Kelulusan lesen judi yang terbaru ini juga menimbulkan persoalan apakah keuntungan RM500 juta yang dikaut oleh individu tertentu dalam sekelip mata itu tidak mengalir kepada beberapa lagi orang tertentu?
Saya ingin bertanya apakah Yang Berhormat Dato’ selaku Menteri yang bertanggung jawab tentang hal-hal Agama telah turut sama merestui meluluskan lesen judi ini apabila Menteri Kewangan mengemukakan cadangan tersebut. Walaupun jika sekiranya atas sebab-sebab tertentu cadangan tersebut tidak dibincangkan dalam msuarata kabinet apakah Dato’ sebagai orang yang jauh lebih arif dari saya tentang hukum ALLAH tidak menyatakan pendirian dan menentangnya habis-habisan?
Marilah sama-sama kita merenung kembali firman Allah yang telah kita dengar sejak dahulu lagi tentang pengharaman judi ini.
Ertinya : Mereka bertanya kepada mu tentang arak dan judi. Katakanlah: ""Pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat kecil bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya" ( Al-Baqarah : 219)
Dan juga larangan selanjutnya: Ertinya ; Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) arak, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan Syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan. ( Al-Maidah : 90)
Yang Berhormat Dato’
Saya amat terpegun apabila ada teriakan dari organisasi-organisasi bukan Islam termasuk parti DAP yang telah beberapa kali meminta segala bentuk perjudian dihapuskan sama sekali di negara di mana Islam adalah agama rasminya. Amatlah memalukan sekali, apabila pada masa yang sama kerajaan yang mana UMNO menjadi tulang belakangnya terus menghalalkan aktiviti yang jelas haram di sisi Islam ini. Bukankah ini nanti akan membuktikan bahawa pemimpin-pemimpin UMNO telah melanggar perlembagaan UMNO itu sendiri?
Sehubungan itu, saya menjemput ahli-ahli UMNO menyemak buku perlembagaan parti. Di manakah letaknya perjuangan UMNO dalam hal menegakkan Agama Suci ini? Hati kecil setiap manusia yang cintakan kebenaran dan kedamaian sama ada Islam atau pun bukan Islam sudah mengakui akan keburukan judi menerusi pengalaman hidup dan juga pemikiran yang waras (oleh orang Islam dan bukan Islam). Bukankah Islam itu sesuai dengan fitrah manusia? Sepatutnya kita ‘ berhijrah’ dari yang buruk kepada yang baik, bukan sebaliknya.
Saya ingin mengingatkan bahawa satu kemungkaran boleh menjadi ‘mata rantai’ kepada kemungkaran yang lain. Justeru, judi atas apa jua jenis dan bentuknya akan menyebabkan berlakunya beberapa keburukan yang berikut:
i) KUCAR – KACIRNYA INSTITUSI RUMAH TANGGA
Akan berlaku krisis antara suami isteri akibat habisnya wang belanja keperluan rumah untuk berjudi. Anak-anak akan menderita akibat krisis rumah tangga.
ii) BELUNGGU HUTANG
Orang yang berjudi tidak pernah senang. Ramai yang terpaksa berhutang kerana memburu kemenangan yang tidak pernah datang. Tidak mustahil ada yang akan kembali mencari Along untuk berhutang.
iii) PERJUDIAN SECARA ONLINE OLEH KANAK-KANAK
Ia sudah pasti akan mendorong kanak-kanak di bawah umur turut terlibat tanpa dapat diawasi oleh ibu-bapa mereka, apatah lagi kalau ibu-bapa mereka sendiri terlibat. Duit ibu bapa akan di curi jika mereka tidak mencuri di luar. Dalam erti kata yang lain ianya akhirnya akan mendorong kanak-kanak menjadi pencuri dan lain-lain kegiatan tidak bermoral.
iv) KUALITI DAN PRODUKTIVITI MENURUN
Budaya berjudi akan menyebabkan kelembapan dalam kerja dan usaha kita dalam usaha menjadi negara maju dengan acuan tersendiri. Kalau dulu ada yang leka menonton bola sepak secara keterlaluan, kini keadaan bertambah buruk apabila ketagihan judi bola sepak pula menular. Dan ada yang mula terbiasa dengan cara mencari keuntungan secara singkat dan cepat tanpa usaha dan mempertingkatkan kemahiran diri.
Yang untung dalam hal perjudian ini amat kecil dan oleh segelintir individu yang kecil pula. Yang rugi dan menderita akhirnya kelak terlalu ramai di samping kita mendapat kemurkaan Allah.
Itulah beberapa hikmah mengapa judi diharamkan Allah swt. Ia adalah hukum yang telah disepakati secara Ijmak' oleh para ulama. Malangnya tidak ramai tokoh agama seperti Mufti Perak yang berani menegur secara terbuka tindakan Kerajaan ini. Umat Islam tertanya tanya mengapakah Majlis Fatwa Kebangsaan membisu seribu bahasa dalam perkara yang amat penting ini sepertimana mereka membisu dalam isu Kerajaan membayar RM77 juta kepada Apco, sebuah syarikat Zionis Yahudi yang mana seluruh dunia tahu mereka membunuh dan berlaku kejam terhadap umat Islam di bumi Palestin dan merampas Tanah Suci Baitul Muqaddis.
Lihat saja pasport antarabangsa kita hanya sebuah negara saja yang kita rakyat Malaysia tidak boleh lawati ia itu Israel. Apakah mereka juga berfungsi seperti media cetak dan elektronik aliran perdana yang seolah-olah telah mendapat arahan tidak resmi untuk menenggelamkan isu ini?
Justeru, dengan rendah hati saya merayu agar DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dan Raja-Raja Melayu selaku Ketua Agama memainkan peranan agar lesen perjudian ini dibatalkan serta merta. Saya sering mengingatkan diri saya sendiri pangkat, kedudukan dan kemewahan di dunia ini adalah sementara sahaja. Kita semua akan menghadapi-Nya jua suatu masa nanti. Semua pihak akan dipertanggungjawabkan di mahkamah Allah Khadi Rabbul Jalill.
Saya yakin kita sama-sama akan berpegang kepada peringatan Allah melalui firman-Nya:
“Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut-sebut oleh lidah mu secara dusta ‘ini halal dan ini haram’, untuk mengada-adakan kebohongan terhadap Allah. Sesungguhnya orang-orang yang mengadakan kebohongan terhadap Allah tiadalah beruntung” an-Nahl 16:116.
Akhir sekali, saya memohon agar Yang Berhormat Dato’ memikirkan juga apakah akibat yang akan berlaku jika kemungkaran judi ini diteruskan oleh pihak yang berkuasa. Saya, Dato’ dan kita semua tidak mahu azab Allah turut terkena ke atas Malaysia yang tercinta ini kerana kealpaan dan kederhakaan kita. Sabda Nabi SAW,
“Allah tidak menghukum suatu bangsa kerana kesalahan beberapa orang di antara mereka, sampai mereka melihat kemungkaran (dilakukan) di antara mereka, sedangkan mereka mampu menghentikannya, tetapi mereka tidak menghentikannya. Apabila mereka berbuat seperti itu (tidak menghentikan kemungkaran), maka Allah akan mengazab (orang yang melakukan kemungkaran) secara khusus dan (bangsa itu) secara keseluruhan” [HR Ahmad].
Saya akan menyokong siapa sahaja sama ada individu mahu pun mana- mana organisasi yang menentang segala bentuk perjudian di negara tercinta ini. Saya berdoa agar seluruh rakyat Islam bangkit bersama menentang sekeras-kerasnya perjudian ini kerana cintakan bangsa, negara dan agama adalah teras kebahagiaan kita di dunia dan akhirat.
Untuk yang Berhormat Dato’ saya ucapkan terima kasih atas kesudian membaca seterusnya meneliti isi surat ini. Semoga Allah mengurniakan taufik dan hidayah buat kita untuk menjalankan amanah-Nya sebagai hamba Allah dan khalifah di muka bumi. Amin.
Sekian. Wassalam.
Yang benar,
TAMRIN TUN GHAFAR
Sk : Kebawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Kebawah DYMM Raja Raja Melayu
YAB Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak, Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO
YAB Tan Sri Haji Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Presiden UMNO
Ahli Ahli Majlis Tertinggi UMNO
Ahli Ahli Majlis Fatwa Kebangsaan
Mufti Mufti
Media Cetak dan Elektronik
0 comments:
Post a Comment