Bukanlah sesuatu yang menggembirakan apabila kita terpaksa menunjukkan sedikit ketegasan ke atas ahli-ahli keluarga kita bagi memastikan mereka tidak tergelincir dari landasan yang ditetapkan, namun itulah ajaran dan tuntutan agama Islam ke atas setiap umatnya yang bertaqwa.
Sehubungan dengan itu, kita ingin merakamkan jutaan kesyukuran ke hadrat Ilahi di atas anugerah kekuatan dalaman yang dilimpahkan ke atas YMM Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra, sehingga membolehkan Baginda mengambil langkah-langkah yang lebih proaktif bagi menyelesaikan kemelut yang telah melingkari Istana Kelantan selama ini.
Sesungguhnya kesediaan YMM Pemangku Raja Kelantan menggunakan kuasa yang diperuntukkan kepada Baginda oleh Perlembagaan Negeri Kelantan untuk mengeluarkan titah-titah diraja (royal decrees) kepada pihak-pihak tertentu bagi menyelesaikan kemelut ini amatlah disanjung oleh seluruh lapisan rakyat Kelantan yang telah sekian lama menanti-nantikannya.
Ketegasan YMM Pemangku Raja Kelantan di dalam menjaga nama baik institusi kesultanan Kelantan dari dicemari sangat menggembirakan rakyat Kelantan yang sebelum ini sudah sedia menyanjungi Baginda di atas sifat-sifat ketaqwaan, keadilan, kerendahan hati, ketinggian ilmu dan keprihatinan terhadap masalah rakyat jelata yang sentiasa ditunjukkan oleh Baginda.
Berhubung dengan ketaqwaan Baginda khususnya, tidak perlulah dinyatakan lagi betapa kasihnya ahli-ahli jemaah Masjid Muhammadi terhadap YMM Pemangku Raja Kelantan di atas kekerapan Baginda berjemaah di masjid itu sehingga ada di antara mereka yang tanpa segan silu terus sahaja menggelarkan Baginda dengan panggilan “al-malikul saleh” (raja yang saleh).
Betapa dekatnya Baginda dengan Allah juga dapat disaksikan apabila pernah, ketika malam sudah begitu larut, sewaktu berkereta meninjau keadaan Bandar Kota Bharu, YMM Pemangku Raja Kelantan menitahkan kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu, Dato’ Ahmad Mahmood, supaya menjaga baik-baik Masjid Muhammadi kerana “masjid ini masjid kita”.
Di dalam konteks inilah maka rakyat Kelantan amat memahami bahawa ketegasan YMM Pemangku Raja Kelantan kali ini sudah semestinya dipandu oleh pertimbangan rasional dan petunjuk Ilahi. Keluar dari seorang yang mempunyai jiwa yang amat lembut, mereka percaya keputusan ini dibuat dengan berat hati oleh Baginda setelah segala pilihan lain tidak berhasil.
Percayalah, rakyat Kelantan tetap akan berdiri teguh di belakang YMM Pemangku Raja Kelantan di dalam menghadapi kemelut ini. Mereka cukup memahami betapa remuknya hati Baginda bila Baginda langsung tidak diizinkan untuk bersua muka secara bersendirian dengan ayahanda tersayang semenjak ayahanda Baginda dibawa pulang dari Singapura pada 4 Mac 2010.
Sesungguhnya rakyat Kelantan tidak akan sesekali terpengaruh dengan tohmahan segelintir pihak bahawa YMM Pemangku Raja Kelantan telah berlaku kejam ke atas ayahanda Baginda dengan menghalang pemergian ayahanda Baginda ke Singapura pada 4 Mei 2010 kerana mereka tahu kerana Baginda terlalu kasihkan ayahanda Bagindalah maka Baginda berbuat demikian.
Anak manakah yang tidak sayu hatinya melihatkan ayahandanya yang kegeringan diusung ke sana ke mari di dalam keadaan tidak berdaya oleh pihak-pihak tertentu semata-mata untuk memenuhi keinginan mereka? Sesiapa pun yang berada di tempat YMM Pemangku Raja Kelantan sudah pasti tidak akan tergamak membiarkan ayahandanya diperlakukan sebegitu.
Sehubungan dengan usaha untuk membawa KDYMM Tuanku Ismail Petra ke Singapura pada 4 Mei 2010, timbul pertanyaan mengenai motif sebenar ia dibuat kerana sewaktu Baginda dibawa pulang ke Kelantan pada 4 Mac 2010 beberapa kenyataan telah dibuat bahawa Baginda kini hanya perlu menjalani rawatan susulan fisioterapi di Istana Mahkota, Kubang Kerian, sahaja.
Berasaskan kepada beberapa kenyataan pihak-pihak tertentu pada waktu itu, rakyat Kelantan diyakinkan bahawa KDYMM Tuanku Ismail Petra akan kembali sembuh setelah menjalani rawatan susulan fisioterapi di Istana Mahkota, Kubang Kerian, dan langsung tidak berbangkit pada waktu itu persoalan mengenai keperluan untuk Baginda dibawa kembali ke Singapura.
Sebab itulah beberapa pertanyaan timbul di kalangan rakyat Kelantan apabila perkhabaran bahawa KDYMM Tuanku Ismail Petra akan dibawa kembali ke Singapura untuk menjalani rawatan susulan di Hospital Mount Elizabeth tiba-tiba muncul: Apakah keadaan kesihatan Baginda semakin teruk? Tidak bolehkah pakar perubatan di sana diterbangkan ke sini sahaja?
Kami percaya persoalan mengapa KDYMM Tuanku Ismail Petra tiba-tiba sahaja mahu dibawa kembali ke Singapura ini boleh dirungkaikan jika kita dapat menyemak apa-apa peristiwa signifikan yang berlaku di antara tarikh kepulangan Baginda ke Kelantan, iaitu pada 4 Mac 2010, dan tarikh usaha untuk membawa Baginda ke Singapura dibuat, iaitu pada 4 Mei 2010.
Terselit di antara pelbagai peristiwa yang berlaku di dalam tempoh ini ialah ziarah Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, ke atas KDYMM Tuanku Ismail Petra di Istana Mahkota, Kubang Kerian, pada 23 April 2010, dan kami percaya bahawa Peguam Negara mungkin sahaja telah menyampaikan apa-apa perutusan kepada pihak-pihak tertentu di dalam ziarahnya itu.
Persoalan apa perutusan yang mungkin telah disampaikan oleh Peguam Negara kepada pihak-pihak tertentu ini juga boleh dirungkaikan jika kita dapat mengenal pasti isu sebenar di sebalik kemelut yang telah melingkari Istana Kelantan selama ini. Jika diamat-amati, adalah amat jelas bahawa isunya hanya satu sahaja, iaitu status sebenar kesihatan KDYMM Tuanku Ismail Petra.
Perlu diingati bahawa setelah KDYMM Tuanku Ismail Petra mengalami kegeringan, Kerajaan Kelantan telah melantik satu panel enam pakar perubatan untuk membuat penilaian status kesihatan Baginda. Pakar-pakar perubatan ini adalah terdiri daripada:
1. Prof Dato’ Dr Mafauzy Mohamed: Profesor Perubatan dan Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian, Kelantan.
2. Prof Dato’ Dr Wan Mohamad Wan Bebakar: Profesor Perubatan dan Ketua Jabatan Endokrin, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan.
3. Prof Madya Dr Kamaruddin Jaalam: Pensyarah Perubatan dan Penyelaras Fasa III, Jabatan Anestesiologi, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan.
4. Dato’ Dr Md Hanip Rafia: Ketua Jabatan Neurologi, Hospital Kuala Lumpur, Kuala Lumpur.
5. Dato’ Dr Rosli Mohd Ali: Pakar Perunding Kardiologi, Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur.
6. Dr Rosemi Salleh: Ketua Jabatan Perubatan, Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan.
Kerajaan Malaysia, melalui Kementerian Kesihatan, pula, di samping turut memperakui enam pakar perubatan yang telah dilantik oleh Kerajaan Kelantan ini, turut memasukkan empat lagi pakar perubatan tambahan ke dalam panel ini. Pakar-pakar perubatan ini adalah terdiri daripada:
1. Dato’ Dr Suam Singh a/l Jasmit Singh: Ketua Jabatan Psikiatri, Hospital Bahagia, Perak.
2. Dr Badi’ah Yahya: Pakar Perubatan Psikiatri, Hospital Permai, Johor.
3. Prof Madya Dr Teoh Hsien Jin: Pakar Psikologi, Sunway University College, Petaling Jaya, Selangor.
4. Nooraini Darus: Pegawai Psikologi Klinikal, Hospital Kuala Lumpur, Kuala Lumpur.
Di dalam cubaan pertama mereka untuk menemui KDYMM Sultan Kelantan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura, pakar-pakar perubatan yang dilantik oleh Kerajaan Kelantan untuk membuat penilaian status kesihatan Baginda ini malangnya telah tidak dibenarkan berbuat demikian menyebabkan laporan yang mereka sediakan pada 24 Disember 2009 dipertikaikan.
Sebelum KDYMM Sultan Kelantan dibawa pulang ke Kelantan pada 4 Mac 2010, pakar-pakar perubatan yang dilantik oleh Kerajaan Kelantan ini telah sekali lagi cuba menemui Baginda di Hospital Mount Elizabeth, Singapura, pada 3 Mac 2010, tetapi cubaan mereka ini juga turut menemui kegagalan disebabkan oleh halangan yang dikenakan oleh pihak-pihak tertentu.
Malah, sehari sebelumnya, iaitu pada 2 Mac 2010, Menteri Kesihatan dan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, sendiri cuba menemui KDYMM Sultan Kelantan di tempat yang sama, tetapi cubaan mereka ini juga turut menemui kegagalan disebabkan oleh halangan yang dikenakan oleh pihak-pihak tertentu.
Setelah KDYMM Sultan Kelantan dibawa pulang ke Kelantan pula, gabungan pakar-pakar perubatan yang dilantik oleh Kerajaan Kelantan dan Kerajaan Malaysia telah cuba menemui Baginda di Istana Mahkota, Kubang Kerian, pada 10 April 2010, tetapi cubaan mereka ini juga turut menemui kegagalan disebabkan oleh halangan yang dikenakan oleh pihak-pihak tertentu.
Bukan setakat itu sahaja, cubaan YMM Pemangku Raja Kelantan dan YAB Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mendapatkan laporan-laporan perubatan KDYMM Sultan Kelantan dari Hospital Mount Elizabeth, Singapura, pada 15 Januari 2010 juga telah ditolak oleh ketua pegawai eksekutif hospital itu, iaitu Dr Kelvin Loh, pada 1 Februari 2010.
Halangan demi halangan yang dikenakan oleh pihak-pihak tertentu dan kegagalan demi kegagalan yang dialami oleh pakar-pakar perubatan di dalam menentukan status sebenar kesihatan KDYMM Tuanku Ismail Petra menimbulkan satu persoalan besar kepada seluruh rakyat jelata: Apakah ada apa-apa perkara yang cuba disembunyikan dari pengetahuan mereka?
Sebagai seorang Sultan, KDYMM Tuanku Ismail Petra bukanlah sekadar menjadi milik peribadi sesiapa sahaja kerana Baginda juga sebenarnya adalah menjadi milik seluruh rakyat jelata. Pakar-pakar perubatan sepatutnya dibenarkan menemui Baginda supaya rakyat jelata dapat memperolehi maklumat tepat mengenai status sebenar kesihatan Baginda dari masa ke semasa.
Apa yang berlaku sekarang menunjukkan bahawa pihak-pihak tertentu berada di dalam ketakutan untuk membenarkan pakar-pakar perubatan menemui KDYMM Tuanku Ismail Petra sedangkan, jika mereka benar-benar ikhlas, mereka sepatutnya membuka ruang seluas-luasnya kepada pakar-pakar perubatan ini, mahupun kepada pakar-pakar lain, untuk berbuat demikian.
Selain untuk memastikan rawatan susulan terbaik dapat diberikan kepada KDYMM Tuanku Ismail Petra, tindakan membenarkan pakar-pakar perubatan menemui Baginda juga adalah amat penting sekali kerana keengganan pihak-pihak tertentu berbuat demikian inilah yang menjadi penyebab utama kepada berlakunya insiden-insiden yang menjejaskan keharmonian di dalam negeri.
Berbalik kepada ziarah Peguam Negara ke atas KDYMM Tuanku Ismail Petra di Istana Mahkota, Kubang Kerian, pada 23 April 2010, kami percaya bahawa Peguam Negara mungkin sahaja telah meminta pihak-pihak tertentu untuk membenarkan pakar-pakar perubatan menemui Baginda di dalam tempoh yang ditetapkan atau untuk menghadapi tindakan undang-undang.
Sama ada motif sebenar usaha untuk membawa KDYMM Tuanku Ismail Petra ke Singapura ini adalah untuk tidak membenarkan pakar-pakar perubatan menemui Baginda, untuk melarikan diri dari dikenakan tindakan undang-undang atau untuk apa sahaja tujuan lain, seluruh rakyat Kelantan tetap berdiri teguh di belakang YMM Pemangku Raja Kelantan yang mereka kasihi.
Semua pihak perlulah menerima dengan tenang takdir Ilahi ini. YMM Pemangku Raja Kelantan sendiri tidak pernah meminta untuk dilahirkan sebagai anak lelaki pertama kepada KDYMM Tuanku Ismail Petra, sebagai Tengku Mahkota dan sebagai Pemangku Raja, tetapi apabila Allah mentakdirkan ia berlaku maka adalah menjadi tanggungjawab Baginda untuk menerimanya.
Usahlah digentari akan cubaan mana-mana peguam untuk mencabar kesahihan tindakan YMM Pemangku Raja Kelantan. Segala tindakan Baginda ini adalah didasarkan kepada kuasa yang diperuntukkan kepada Baginda oleh Perlembagaan Negeri Kelantan di mana titah-titah diraja (royal decrees) adalah bersifat mengikat (binding) kepada pihak-pihak yang menerimanya.
Akhirnya, marilah kita sama-sama memanjatkan doa ke hadrat Ilahi agar mengurniakan YMM Pemangku Raja Kelantan dengan ketabahan untuk menghadapi detik-detik yang paling mencabar di dalam kehidupan Baginda ini. Semoga Baginda tetap tenang menghadapi segala tekanan yang maha hebat, termasuklah laporan mengenai kewujudan komplot untuk membunuh Baginda, ini.
Percayalah, kebenaran akan muncul juga akhirnya.
Hanya kepada Allah kita menyerahkan diri kita.
A. Petikan kenyataan media Pengelola Istana DiRaja, Dato’ Abdul Halim Hamad, pada 5 Mei 2010:
“YMM Pemangku Raja Kelantan telah mengeluarkan titah arahan kepada YDH Dato’ Ketua Polis Kelantan supaya segala pergerakan KDYMM Tuanku Al-Sultan perlulah mendapat ampuni perkenan YMM Pemangku Raja Kelantan. YDH Dato’ Ketua Polis Kelantan juga dititah untuk memastikan keselamatan KDYMM Tuanku Al-Sultan diberi perhatian berat dan langkah-langkah perlu diambil sekiranya keadaan memerlukan bagi menjaga keselamatan dan kesihatan Baginda. Berdasarkan titah-titah arahan tersebut maka, bermula pada 4 Mei 2010, pihak polis telah mempertingkatkan kawalan. Ini disebabkan peristiwa yang berlaku minggu lepas.”
“KDYMM Tuanku Al-Sultan telah dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, pada 4 Mei 2010. Baginda sedang dirawat oleh pakar di HUSM. Baginda telah dibawa ke HUSM dengan iringan ketat polis dan ditempatkan di Wad DiRaja supaya doktor pakar dapat memeriksa dan memberi pandangan kepada YMM Pemangku Raja Kelantan dan Kerajaan Negeri untuk rawatan dan tindakan selanjutnya. Sebelum pada ini, pihak-pihak tertentu juga telah menghalang doktor-doktor pakar dari membuat rawatan susulan dan terapi untuk pemulihan KDYMM Tuanku Al-Sultan.”
“YMM Pemangku Raja Kelantan amat prihatin dan amat menyayangi KDYMM Tuanku Al-Sultan dan akan berusaha untuk membuat yang terbaik bagi kebahagiaan dan kesejahteraan KDYMM Tuanku Al-Sultan yang masih gering dan makanan masih diambil menggunakan ‘tubing’.”
B. Petikan laporan akhbar The Malay Mail pada 5 Mei 2010:
“Police believe the attempted murder on a Kelantan palace guard last Friday was part of a conspiracy to assassinate Kelantan Regent, Tengku Muhammad Faris Ismail Petra. The Malay Mail was informed that it was for this reason that police detained the Regent's younger brother, Tengku Temenggong Kelantan Tengku Muhammad Fakhry, and his bodyguards outside Istana Mahkota in Kubang Kerian about 7.30pm yesterday. Muhammad Fakhry and his bodyguards were released later but police seized firearms found on them. The Malay Mail was also informed that investigations into the shooting of 50-year-old palace guard, Ramli Mohamed, revealed that he was targeted as he knew of the alleged assassination plot.”
“Polis percaya cubaan membunuh ke atas seorang pengawal keselamatan Istana Kelantan Jumaat lalu adalah sebahagian daripada satu konspirasi untuk membunuh Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Ismail Petra. The Malay Mail dimaklumkan bahawa atas sebab inilah maka polis menahan adik lelaki Pemangku Raja, Tengku Temenggong Kelantan Tengku Muhammad Fakhry, dan pengawal-pengawal peribadi beliau di luar Istana Mahkota di Kubang Kerian pada kira-kira pukul 7.30 malam semalam. Muhammad Fakhry dan pengawal-pengawal peribadi beliau dibebaskan kemudiannya tetapi polis merampas senjata-senjata api yang ditemui pada mereka. The Malay Mail juga dimaklumkan bahawa siasatan-siasatan terhadap penembakan ke atas pengawal keselamatan berusia 50 tahun, Ramli Mohamed, menunjukkan bahawa dia dijadikan sasaran kerana dia mengetahui tentang dakwaan plot pembunuhan itu.”
Dipetik dari sumber ini
Friday, May 7, 2010
SEGALANYA TELAH DITAKDIRKAN - Kemelut Istana Kelantan.
Posted by Suhaimi at 3:30 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment