Ada orang ketawa gembira bila menerima sesuatu
kejayaan. Ada yang senyum, ada yang berpesta. Ada juga
yang agresif, tunjuk perasaan, merusuh sana-sini untuk
tunjukkan pada musuhnya, “Kami menang!”
Tapi amat sedikit yang benar-benar mendalami apa
hakikat kejayaan sebenar yang patut dicapai oleh
setiap wanita.
Kejayaan boleh dinilai di sudut duniawi dan ukhrawi
(akhirat). Ia boleh ditakrifkan dengan berbagai erti
mengikut matlamat dan cita-cita hidup seseorang. Orang
yang mengejar matlamat hidup duniawi menganggap
kejayaan adalah apabila dia dapat membina satu
kehidupan materialistik yang ideal iaitu serba
sempurna. Dia merasa puas dengan nikmat kebendaan yang
diperolehinya. Semakin banyak, semakin berjayalah dia.
Tetapi berbeza ukuran kejayaan bagi orang-orang yang
memandang matlamat hidup di sudut ukhrawi. Kejayaan
mereka adalah apabila mereka dapat memperhambakan diri
untuk Allah semata-mata kerana menuntut keredhaan-Nya.
Proses ini dilalui dengan memiliki sifat taqwa dalam
diri.
Orang yang mengejar kejayaan duniawi semata-mata
dengan mengabaikan kejayaan akhirat adalah tercela dan
dilarang oleh agama atau syariat. Firman Allah swt
yang bermaksud:
“Buatkan perbandingan kepada mereka, kehidupan di
dunia ini adalah seperti air hujan yang Kami turunkan
dari langit, menjadi subur dengan tumbuh-tumbuhan di
bumi dengan sebabnya, kemudian ia menjadi kering
kerana dihembus angin, dan Allah Maha Kuasa atas
segala sesuatu. Harta benda dan anak itu adalah
perhiasan dunia, dan amal perbuatan yang kekal lagi
baik tentu lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu dan
lebih baik pula dicita-citakan. – Al Khafi: 45,46
Rasulullah saw bersabda:
Kalau sekiranya dunia ini di sisi Allah sebanding
dengan sayap nyamuk atau dengan sayap burung, nescaya
Allah tidak memberikan kepuasan minum kepada orang
kafir dengan seteguk pun air dari dunia ini.
Begitu Rasulullah menerangkan tentang celanya dunia.
Kalau ia bernilai, tentu Allah tidak memberi walau
sedikit nikmat kepada orang-orang yang derhaka
kepadanya.
Sebab itulah tiada ertinya kita mengejar kejayaan
duniawi semata-mata, tanpa memikirkan kejayaan di
akhirat. Kejayaan duniawi adalah sementara yang mana
tidak semua orang Allah izinkan mencapainya. Sedangkan
kejayaan akhirat itu adalah lebih kekal lagi abadi dan
boleh dicapai jika kita bersungguh-sungguh melaluinya.
Ada wanita yang amat berbanggga jika dia berjaya dalam
kerjayanya. Terutamanya jika kerjaya itu mencabar,
iaitu bidang yang dimonopoli oleh kaum lelaki. Wanita
tersebut merasa berjaya jika mereka dapat memecahkan
tradisi itu. Sebab itu tidak hairanlah kalau kita
lihat ada wanita yang gigih berusaha untuk menjadi
pemimpin samada pemimpin politik atau pemimpin
persatuan, pertubuhan dan sebagainya. Maka timbullah
wanita menceburi bidang-bidang ketenteraan, lakonan,
gusti, bina badan dan lain-lain, yang setengahnya
jelas bertentangan dengan sifat-sifat semulajadi
seorang wanita, lebih-lebih lagi dengan syariat Islam
yang maha suci.
Mereka merasa di situlah kejayaan dalam hidup seorang
wanita, apabila mereka berjaya di bidang-bidang
tersebut. Mereka merasakan dengan menceburkan diri di
bidang tersebut, status wanita akan meningkat di sisi
Allah. Tetapi tanpa sedar sebenarnya langkah itu
menjatuhkan maruah wanita itu sendiri.
Di bidang pendidikan, ibu-ibu berbangga kalau
anak-anak berjaya memiliki jawatan tinggi, rumah
besar, kereta berderet dan lain-lain kemewahan hidup.
Pada mereka itulah kejayaan mendidik anak-anak. tetapi
adakah anak-anak yang telah berjaya itu benar-benar
dapat memberi kebahagiaan hidup kepada kedua ibu
bapanya nanti, lebih-lebih lagi kebahagiaan di negeri
yang kekal abadi kelak? Selalunya, kemewahan hidup
menjadikan anak-anak lebih sombong, bangga dengan
diri, ego dan setengahnya lupa pada kedua orang tuanya
dan lupa pada Tuhannya. Kejayaan dan kemewahan hidup
jarang menjadikan seseorang itu rendah hati dengan
Tuhannya.
Apabila anak-anak telah mulai melupakan kedua ibu
bapanya, maka bukan sahaja ibu menderita di akhirat
tetapi di dunia lagi hati telah terseksa. Anak yang
derhaka akan meragut semua kebahagiaan daripada hati
seorang ibu. Kalau ini terjadi apalah ertinya anak
yang berjaya dengan mempunyai segala kemewahan hidup
dan kaya harta dan kaya ilmu tetapi miskin dengan
akhlak dan budi pekerti?
Namun bukan bermakna merebut kejayaan di bidang
duniawi adalah salah atau tidak dituntut oleh Islam,
tetapi ianya harus ditunjangi terlebih dahulu dengan
kejayaan merebut akhirat. kalau tidak , kejayaan itu
hanyalah kejayaan yang palsu dan menipu.
Nilai kejayaan seorang wanita Islam yang dipanggil
ibu adalah apabila berjaya mendidik anak-anaknya
cintakan kepada Islam, mengamalkan dan menghayati
perjuangan membangunkan agama Allah. Inilah medan
perjuangan seorang ibu yang sangat besar sumbangannya
pada Islam. Dan di sinilah letaknya kejayaan seorang
wanita/ibu dalam mendidik anak-anaknya.
Sesetengahnya pula berpendapat kalau dapat membina
satu keluarga yang ideal, itulah kejayaan. Lumrahnya,
ukuran sebuah keluarga yang ideal adalah bila mereka
dapat menyediakan segala kelengkapan rumah, alat-alat
perhiasan, perabut dan lain-lainnya yang selalunya
melebihi kadar keperluan dan kemudahan. Dengan kata
yang lain, sudah melampau-lampau hingga ke tahap
membazir.
Setiap kali wang ada di tangan, akan difikir apa yang
patut dibeli lagi untuk melengkapkan harta dan
perhiasan di rumah. Sayangkan harta benda lebih dari
anak. Harta biar banyak. Anak seorang dua cukup.
Kadangkala bila ditanya mengapa, mereka akan berkata,
“Kami terpaksa merancang keluarga untuk mengukuhkan
kewangan rumahtangga.”
Masa banyak dihabiskan bekerja saban hari demi untuk
mengumpul wang setiap bulan, hingga lupa tanggungjawab
pada ahli keluarga. Oleh kerana itu, kasih sayang
dalam rumahtangga terkorban. Tiada lagi hubungan mesra
suami isteri, pertautan hati retak, perhubungan antara
ibu bapa dan anak-anak renggang. Akhirnya
masing-masing mencari ‘jalan keluar’ sendiri di luar
rumah. Rumahtangga menjadi porak peranda, apa yang
dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran.
Ketika itulah, di sudut hati seorang ibu akan timbul
penyesalan. Harta dan semua kelengkapan rumah yang
mewah dan indah tidak ada ertinya lagi. Penat lelah
selama ini sia-sia. Kajayaan yang dirasakan ada,
rupa-ruapanya hanya bayang-bayang, dilihat ada,
ditangkap hilang!
Berbeza dengan kajayaan yang dikejar oleh orang yang
memandang negara akhirat itu sebagai negara yang kekal
lagi abadi. Kejayaan yang paling bererti buat seorang
wanita adalah kejayaan mengejar menjadi orang yang
bertaqwa.
Tidak kira bidang apa pun kejaya seorang wanita itu,
ataupun dia hanya seorang suri rumahtangga, tetapi
kalau dia berjaya memiliki sifat taqwa bermakna dia
telah berjaya membina hidupnya di dunia lebih-lebih
lagi akan berjaya juga di akhirat.
Taqwa adalah pangkat atau darjat di sisi Allah di
dunia dan di akhirat. Jika iman menyelamatkan manusia,
taqwa pula adalah darjat manusia di sisi Allah. Ia
lebih penting dan berharga.
Hati yang bertaqwa akan mendorong diri sentiasa taat,
syukur dengan pemberian Allah, redha dengan
ketentuan-Nya, dan sentiasa merasai diawasi Allah.
Maka kalau dia seorang anak, jadilah anak yang taat
kepada ibu bapanya. Kalau dia seorang isteri jadilah
dia isteri yang taat pada suaminya, dan kalau dia
seorang ibu jadilah dia ibu yang begitu
bertanggungjawab terhadap anak-anaknya.
Namun lumrahnya, sesuatu yang tinggi nilainya lebih
susah untuk dimiliki dan sukar juga untuk mengawal
iman dan taqwa di dalam diri. Ia sentiasa turun naik
dan jika tidak benar-benar dikawal ia akan luntur
semula.
Bukan mudah untuk mendapat sifat taqwa. Kalau setakat
kuat beribadah sunat; sembahyang tahajud, zikir, wirid
belum boleh lagi dikatakan bertaqwa. Itu cuma orang
yang kuat beribadah. Ramai orang yang kuat beribadah
tetapi tidak dapat benar-benar mengamal syariat di
dalam diri, keluarga dan masyarakat. Anak isteri tidak
tutup aurat lagi. Masih terlibat dengan riba lagi.
Masih terlibat dengan rasuah lagi. Masih terlibat
dengan maksiat dan lain-lain lagi. Ini hanya dinamakan
abid. Jika kuat berderma, bersedekah dan mudah
membelanjakan harta untuk Islam belum tentu dikatakan
bertaqwa. Kadang-kadang mereka pemurah dengan harta
tetapi malas sembahyang. Mereka ini adalah munafik
(pemurah). Jika seseorang itu gigih berjuang berjihad
belum juga boleh dikatakan bertaqwa kalau dia tidak
ambil berat soal syariat, soal makan minumnya yang
halal. Mereka hanya digelar mujahid.
Para ulama ul Amilin telah membuat kesimpulan bahawa
orang yang bertaqwa ialah orang yang memiliki semua
sifat mahmudah (sifat hati yang baik) dan berjaya
mengikis semua sifat mazmumah (sifat hati yang jahat).
Sehubung dengan itu, Syeikh Junaid Al Baghdadi
berpendapat, taqwa adalah melaksanakan segala suruhan
Allah meninggalkan segala larangan-Nya.
Untuk mendapatkan taqwa perlu lalui empat langkah:
1. Bersihkan diri dari dosa sama ada berkaitan dengan makhluk dan dengan Allah.
2. Jauhkan diri dari dosa-dosa besar.
3. Bersihkan anggota dari maksiat kecil
4. Bersihkan hati dari segala sifat mazmumah.
Ini perlu dilakukan dengan mujahadah yang
bersungguh-sungguh kerana nafsu sentiasa memusuhi
kebaikan yang ingin kita buat.
Bila kita sudah melalui proses-proses mendapatkan
sifat taqwa dan memilikinya, barulah akan terserlah
kejayaan yang sebenar dalam diri. Inilah kejayaan yang
hakiki yang akan menyelamatkan kita dunia dan
akihirat.
Ketaqwaan sentiasa menuntut kita berbuat kebaikan
kerana Allah swt. Ertinya, apa yang kita buat semuanya
kerana dan untuk Allah. Kalau ada kemewahan harta,
dilaburkan sebahagiannya ke jalan Allah. kalau ada
anak, kita didik supaya menjadi hamba Allah yang
tawaduk dengan-Nya. Kalau ada kedudukan, ilmu
pengetahuan dan apa sahaja, semuanya kita gunakan
kelebihan pada diri kita itu untuk mengejar keredhaan
Allah. Kita korbankan segala yang ada dalam diri untuk
kepentingan agama Allah.
Semua itu dilakukan dengan penuh kerelaan dan ikhlas.
Bukan dipaksa-paksa. Jalan inilah yang perlu dirintis
oleh para wanita Islam. Jiwa dan raga perlu
dikorbankan, banyak air mata yang tumpah tak mengapa,
biar memiliki sekeping hati yang bertaqwa. Kerana di
situlah letaknya erti kejayaan seorang wanita mukmin.
Oleh: Puan Solehah
Friday, May 14, 2010
ERTI KEJAYAAN BAGI SEORANG WANITA MUKMIN
Posted by Suhaimi at 8:50 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment