JENAMA Yamaha TZM sememangnya terkenal pada pertengahan tahun 1990-an. Jentera berkuasa 150cc dengan enjin dua lejang itu pernah mendapat sambutan menggalakkan berdasarkan rekaannya yang menarik sehingga digelar superbike mini di kalangan peminat motosikal tempatan.
Diilhamkan berdasarkan rekaan sebuah motosikal superbike sebenar, TZM bukan sahaja berkuasa malah mempunyai ketahanan yang tinggi dan sesuai untuk perjalanan jauh.
Ketika itu, kebanyakan para peminat membandingkannya dengan kekuatan jentera Honda NSR 150RR.
Bagaimanapun keputusan Yamaha menghentikan pengeluaran model TZM pada 2001, membuatkan ramai orang tertanya-tanya adakah jentera baru yang bakal diumumkan nanti mempunyai kuasa yang setanding dengan 'saudaranya' itu.
Persoalan itu akhirnya terjawab tujuh tahun kemudian, dengan kemunculan model FZ150i. Model itu ternyata berjaya mencuri tumpuan para peminat jenama tersebut.
Bagaimanapun, model itu amat berbeza sekali dengan TZM. Ia merupakan jentera empat lejang dengan rekaan yang berkonsepkan naked bike yang lebih santai dan mudah dikendalikan bagi yang baru pertama kali mencubanya.
Secara umum, dari segi enjin FZ150i mempunyai kapasiti 149.8cc empat injap Single Over Head Cam (SOHC), sejukkan cecair.
|
|
Antara ciri paling hebat yang terdapat pada model itu ialah penggunaan sistem suntikan bahan api sebagai nadi penggeraknya. Malah ia merupakan motosikal pertama yang menggunakan teknologi itu di Malaysia.
Kerangkanya mempunyai persamaan dengan Yamaha TZM 150 iaitu jenis delta box, penggunaan penyerap hentak jenis monocross (monoshock) memastikannya lebih stabil dan mempunyai kelebihan ketika mengambil selekoh dan membawa pembonceng.
Kecekapan bahan api
Penggunaan silinder jenis DiASil memastikan pengeluaran haba yang sesuai dan mengurangkan ketegangan di dalam enjin. Pada masa yang sama, ia juga mampu menghalang pengurangan prestasi dan memperbaiki kecekapan bahan api.
Walaupun hanya dilengkapi lima kelajuan, namun ia masih mampu untuk menyaingi kepantasan model-model lain yang mempunyai enam kelajuan.
Paparan meter juga tidak kurang menariknya. Ia dilengkapi dengan dua meter bulat yang sama saiz. Di sebelah kiri merupakan meter penunjuk kelajuan dan di sebelah kanan meter RPM enjin. Terdapat juga penunjuk kapasiti petrol, lampu penunjuk isyarat, lampu neutral dan penunjuk suhu enjin.
Konsep naked bike yang diperkenalkan membuatkan jentera itu lebih ringan sekali gus menjimatkan minyak. Satu tangki penuh petrol berkapasiti 12 liter mampu ditunggang sejauh 280 kilometer (km) hanya dengan sekali isian.
Selepas hampir dua tahun di pasaran, Hong Leong Yamaha Motor telah melancarkan wajah baru FZ150i baru-baru ini. Antara perubahan yang dilakukan ialah lampu depan yang direka untuk memberi pencahayaan yang lebih jelas pada waktu malam dan kabus tebal.
Pada masa yang sama, kesemua model baru itu dilengkapi tayar tanpa tiub untuk memastikan kelancaran penunggangan terutama ketika berhadapan saat-saat kecemasan.
FZ150i dijual pada harga RM7,998 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan nombor plat dan didatangkan dengan tiga warna baru iaitu merah, biru dan hitam.
0 comments:
Post a Comment